Isu SemasaTempatan

Tahukan Anda Apa Itu ‘Kehilangan Secara Paksa’?

Minggu lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyatakan bahawa aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh adalah mangsa ‘kehilangan secara paksa.’

Kedua-dua mangsa itu didakwa dihumban ke dalam kereta pacuan empat roda oleh individu-individu bertopeng dan berpakaian hitam. Sejak itu, mereka tidak lagi kelihatan sehingga ke hari ini.

Sebuah inkuiri awam Suhakam mendapati bahawa ‘kehilangan secara paksa’ Amri dan Koh, yang hilang pada November 2016 dan Februari 2017, dilaksanakan oleh ejen-ejen kerajaan, atau secara khususnya Cawangan Khas Bukit Aman.

Justeru, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan kini akan membuka siasatan baru berhubung laporan Suhakam, tetapi hanya selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersara pada bulan depan.

APA ITU ‘KEHILANGAN SECARA PAKSA’?

Kehilangan secara paksa diiktiraf sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan” oleh kebanyakan negara di dunia.

Perbuatan ini adalah penculikan secara rahsia ke atas seseorang yang dianggap sebagai “ancaman” oleh kerajaan, di mana kerajaan tersebut kemudian akan menafikan melakukan perkara berkenaan serta nasib atau keberadaan mangsa.

Keengganan kerajaan dalam mengakuinya, atau menafikan sebarang pengetahuan berhubung perkara tersebut berikutan kekurangan bukti, meletakkan individu yang telah hilang itu dalam kedudukan yang berbahaya di luar perlindungan undang-undang.

Malah, kehilangan secara paksa juga adalah salah satu daripada 11 jenayah di bawah kategori jenayah terhadap kemanusiaan, seperti yang termaktub di dalam Perkara 8, Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia mentakrifkan kehilangan paksa sebagai “penangkapan, penahanan atau penculikan seseorang dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan, kerajaan atau pertubuhan politik, diikuti dengan keengganan untuk mengakui perampasan kebebasan atau memberi maklumat mengenai nasib atau keberadaan orang tersebut, dengan niat untuk mengeluarkan mereka daripada perlindungan undang-undang untuk tempoh masa yang lama.”

SIAPAKAH YANG SELALU MENJADI MANGSA?

Walau bagaimanapun, kehilangan secara paksa bukanlah sesuatu isu yang baru.

Perbuatan jenayah ini telah dilaksanakan oleh komunis, rejim demokratik dan junta (tentera), kumpulan paramiliter, dan kartel dadah di seluruh dunia ke atas aktivis atau musuh politik yang mempunyai ideologi bertentangan, untuk ‘mediamkan’ mereka.

Kehilangan secara paksa juga pada kebiasaannya membabitkan penahanan dan soal siasat dengan penyeksaan, diikuti pembunuhan mangsa secara rahsia dan pelupusan mayat mereka.

Difahamkan, kehilangan paksa pada asalnya dianggap sebagai ‘taktik’ untuk menghapuskan pengaruh komunis dalam kalangan negara-negara Latin Amerika.

Namun, penggunaannya kemudian dilihat diperluaskan lagi ke atas suspek-suspek gerila, aktivis, dan juga pelajar yang mempunyai kepercayaan/ideologi yang berlainan dengan kerajaan.

Sementara itu, terdapat juga beberapa kes kehilangan paksa yang kemudian membawa kepada genosid (pembunuhan beramai-ramai), seperti genosid Anfal pada lewat tahun 1980an yang menyaksikan pembunuhan sekurang-kurangnya 182,000 kaum Kurdish ketika perang Iran-Iraq.

Dalam Operation Condor pula, iaitu kempen anti-Komunis Soviet yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan kematian kira-kira 60,000 mangsa di Afrika Selatan.

Individu-individu yang menjadi ‘sasaran’ dalam konflik tersebut termasuk pelajar, paderi, biarawati, serta golongan intelektual.

Di negara-negara jiran pula, terdapat ramai rakyat Thailand dan Filipina yang menjadi mangsa kehilangan paksa.

Kebanyakan mangsa di Thailand adalah aktivis hak asasi manusia dan agama, di mana salah seorang daripadanya adalah bekas peguam.

Namun, Filipina merekodkan jumlah kes yang lebih membimbangkan. Sekurang-kurangnya 2,300 orang dilaporkan masih hilang, termasuk aktivis pelajar dan wartawan sejak zaman pemerintahan kuku besi diktator Marcos Ferdinand pada 1970an lagi.

PERUNDANGAN

Pada awal tahun 1980an berikutan konflik Operation Condor, Mahkamah Hak Asasi Manusia Inter-Amerika menyabitkan kesalahan ke atas negara Honduras kerana mencabul hak asasi manusia berhubung kes seorang pelajar hilang yang didakwa diculik oleh individu bersenjata yang mempunyai kaitan dengan sebuah puak paramiliter gerila.

Memandangkan tiada undang-undang khusus membabitkan kehilangan paksa pada waktu itu, mahkamah hak asasi manusia terpaksa bergantung kepada peruntukan-peruntukan yang lain tetapi serupa daripada Konvensyen Hak Asasi Manusia Amerika pada 1969.

Kemudian pada tahun 2006, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan Konvensyen Antarabangsa bagi Kehilangan Orang Secara Paksa, iaitu sebuah perjanjian antarabangsa yang pada asalnya diratifikasikan oleh 20 negara.

Namun, perjanjian itu didraf semula dan ditandatangani pada 2010, dan dinamakan semula menjadi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

 

PERLUKAH MALAYSIA MERATIFIKASIKAN ICPPED?

ICPPED merupakan sebuah konvensyen antarabangsa yang mengiktiraf kehilangan secara paksa sebagai satu perbuatan jenayah.

Di bawah perjanjian ini, negara-negara anggota yang telah menandatanganinya perlu menyedari keseriusan kehilangan secara paksa, mengiktirafnya sebagai perbuatan jenayah, dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah dan menanganinya.

Berikut adalah petikan daripada Artikel 2 ICPPED yang mentakrifkan kehilangan secara paksa:

For the purposes of this Convention, “enforced disappearance” is considered to be the arrest, detention, abduction or any other form of deprivation of liberty by agents of the State or by persons or groups of persons acting with the authorisation, support or acquiescence of the State, followed by a refusal to acknowledge the deprivation of liberty or by concealment of the fate or whereabouts of the disappeared person, which place such a person outside the protection of the law.

Laporan Suhakam menggariskan bagaimana penculikan Amri dan Koh didakwa dilaksanakan oleh Cawangan Khas Bukit Aman, di bawah arahan kerajaan terdahulu yang memenuhi bahagian pertama Artikel 2.

Justeru, Suhakam mencadangkan kerajaan Malaysia untuk meratifikasikan ICPEED atau sekurang-kurangnya menggunapakai rangka kerja perundangannya untuk mengiktiraf kehilangan secara paksa sebagai jenayah.

Suruhanjaya itu berkata bahawa kedua-dua kes Amri dan Pastor Raymond memenuhi definisi kehilangan secara paksa, dan peristiwa ini tidak patut berulang lagi.

Difahamkan, sebanyak 98 negara telah meratifikasikan ICPPED termasuk Thailand, Iraq, Indonesia, Jerman dan Perancis.

Negara-negara yang tidak menandatangani perjanjian ini pula termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Sumber: Malay Mail Online

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker