Sukan

Nasib Malang Piya & Kemelut The Red Warriors Yang Belum Berkesudahan

Nasib bintang veteran The Red Warriors (TRW), Mohd. Badhri Radzi seperti jatuh ditimpa tangga apabila tidak sampai sebulan beliau kembali ke TRW, Badhri yang lebih dikenali sebagai Piya telah menghantar surat untuk meninggalkan pasukan tersebut akibat telerainya kerjasama antara KAFA dan My Inspiration Sdn. Bhd menerusi Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd. dan isu tunggakkan gajinya belum selesai.

Namun begitu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menuntut legenda TRW untuk turun menjalani latihan bersama pasukan tersebut kerana menurutnya Piya perlu mematuhi kontrak yang telah ditandatangani.

Katanya, KAFA mempunyai asas yang kukuh kenapa Piya perlu kembali ke pangkuan pasukan walaupun sebelum ini dia mengikat perjanjian dengan KRW Sdn. Bhd.

“Kalau dahulu semua berdasarkan kontrak Kafa yang kena patuh, jadi (sekarang) rasanya baik Piya ikut kontrak dahulu,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

 

Jangan Buat-buat Lupa Ye! – Piya Kepada KAFA

Piya membalas kenyataan Bibi dengan berharap KAFA tidak buat-buat ‘lupa’ dalam isu melunaskan gajinya yang tertunggak.

“Dalam kontrak tertera gaji harus dibayar pada setiap 7 hari bulan, namun sehingga hari ini saya belum menerima sebarang bayaran,” kata Badhri.

Pada Disember lalu, Badhri telah meninggalkan pasukan Kelantan untuk menyertai Perlis tetapi ia turut mendapat nasib yang sama di pasukan Singa Utara sehingga pasukan tersebut disingkirkan daripada saingan Liga Perdana kerana masalah tunggakan gaji.

Badhri telah bersetuju untuk kembali ke pangkuan Kelantan selepas menerima tawaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) My Inspiration, Ahmad Fazli Mohammad.

Malangnya, My Inspiration kemudian menamatkan kerjasama dengan KAFA kerana gagal menemui kata sepakat.

 

Siapakah My Inspiration Sdn. Bhd. Kepada Pasukan TRW?

My Inspiration Sdn. Bhd menjadi pemegang saham terbesar KRW Sdn. Bhd menerusi proses pengambilalihan pegangan saham 70 peratus dimiliki Bibi Ramjani pada 24 Januari 2019.

Namun terjadi persengketaan apabila Ketua Pegawai Eksekutif My Inspiration Sdn. Bhd., Ahmad Fazli Mohammad berkata Bibi Ramjani gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan seperti akaun bank, buku cek, kontrak pemain, penajaan serta hutang lama KAFA sebagaimana yang tercatatkan dalam perjanjian.

Setelah lebih dua bulan dari tarikh perjanjian, Bibi Ramjani terus gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan termasuklah akaun, Ahmad Fazli serta rakan-rakan kongsinnya menganggap kontrak itu dibatalkan.

 

‘Kami Mahu Membantu Menstruktur Semua Hutang’

Ahmad Fadli berkata, My Inspiration ke Kota Bharu bukan untuk mengambil wang KAFA, tetapi mahu membantu menstruktur semula hutang yang membelenggu persatuan dan menguruskan persatuan serta pasukan secara lebih profesional.

“KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.

“Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani; Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affendi Hamzah dan Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri serta membatalkan perjanjian yang ditandatangani kerana sudah tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen-dokumen seperti yang diminta,” katanya.

 

KRW Sdn. Bhd. Terkilan Dituduh

Katanya lagi, beliau turut terkilan apabila banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn Bhd di sebalik segala masalah yang membelenggu bola sepak Kelantan, sedangkan Bibi Ramjani sendiri gagal menyerahkan akaun bank dan buku cek kepada pihaknya.

“Kami telah bertolak ansur begitu banyak daripada segi wang ringgit yang sepatutnya bukan tanggungjawab kami. Berdasarkan senarai kami telah dahulukan RM300,000 sebagai pinjaman untuk membayar gaji pemain selain RM100,000 bagi bayaran lain.

“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani Ilias.

“Tanpa akaun bank dan tanpa buku cek syarikat semestinya tiada kemasukkan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya lagi.

 

KAFA Mengambil Keseluruhan Hasil Jualan Tiket Perlawanan?

“Selain itu, pembatalan ini juga dibuat kerana KAFA mengambil keseluruhan hasil jualan tiket perlawanan Kelantan menentang Sabah, pada 8 Februari berjumlah RM130,000 sedangkan KAFA tidak ada hak kerana mengikut perjanjian, sepatutnya duit itu dimasukkan ke dalam akaun KRW.

“Yang saya terkilan, mereka (Kafa) tahu perkara sebenar tapi masih tuding jari kepada KRW sedangkan kita tidak ada keupayaan disebabkan kelemahan mereka,” ujarnya.

 

Hasil Jualan Tiket Akan Digunakan Untuk Bayar Gaji Pemain TRW

Terkini Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd., Syed Abdullah Syed Mahmood telah mengumumkan bahawa hasil kutipan jualan tiket setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan digunakan sepenuhnya untuk membayar gaji barisan pemain The Red Warriors (TRW) musim ini.

“Segala hasil kutipan tiket akan digunakan untuk bayar gaji pemain dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dan timbalannya Datuk Seri Affandi Hamzah.

“Tugas KAFA selesaikan bayaran sewa stadium dan belanja pengurusan semasa perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi selepas program bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook.

 

KRW Sdn. Bhd. Bantu Kos Ditangung oleh TRW

Syed Abdullah yang juga Presiden Kelab Penyokong KAFA memberitahu, untuk tahun ini KRW Sdn. Bhd hanya akan membantu melicinkan dan mengurangkan kos yang ditanggung oleh TRW selain menarik penyokong ke stadium.

Katanya, itu juga salah satu usaha menjaga kebajikan barisan pemain TRW musim ini.

“Saya amat menitik beratkan soal kebajikan pemain. Jangan sesiapa membuat onar dengan pemain TRW.

“Tak kira presiden atau barisan exco KAFA, jika ada membuat onar maka mereka perlu berdepan dengan saya,” ujarnya.

 

Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd. Mahu Bekas CEO KRW Menjelakan Ke Mana Wang Pergi

Dalam pada itu, Syed Abdullah mahu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd. Ahmad Fazli Mohammad menjelaskan ke mana pergi wang hasil kutipan tiket aksi pertama dan kedua The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, bagi saingan Liga Perdana Musim 2019.

Dia mempersoalkan tindakan tersebut selepas mendapat tahu kesemua wang hasil kutipan yang dianggarkan berjumlah RM120,000 itu tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Menurutnya, wang kutipan itu perlu dipulangkan semula kepada KRW Sdn. Bhd atau pihak berkenaan bakal berdepan tindakan lanjut.

“Kami (KRW Sdn. Bhd) tiada wang (dalam akaun ketika ini) dan ia amat diperlukan untuk tujuan pembayaran gaji pemain.

“Jadi kembalikanlah (wang) untuk pemain TRW. Kalau duit itu masuk ke akaun (KRW Sdn. Bhd) tetapi tidak bayar, itu cerita lain.

“Tetapi….kalau tak masuk (dalam akaun KRW Sdn. Bhd) itu menjadi persoalan dan skripnya pasti berbeza,” katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook, di sini malam tadi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker