Gaya HidupKesihatan

Ia Menyerang 1 Daripada 10 Lelaki Malaysia!

Salah satu kanser yang semakin ketara di kalangan penduduk Malaysia dan seluruh dunia secara amnya ialah kanser hati ataupun hepatoma. Ini adalah hasil daripada program penyaringan kesihatan yang lebih terperinci kebelakangan ini.

Hepatoma telah di kenal pasti sebagai penyebab kematian bagi 250,000 hingga 1,000,000 individu pada setiap tahun di seluruh dunia.

Kajian menunjukkan hepatoma menduduki tangga ketiga bagi kematian berpunca dari kanser pada keseluruhannya.

 

Punca Kanser Hati

Punca utama hepatoma adalah jangkitan kronik hepatitis B dan C (anggaran 80 % daripada keseluruhan kes hepatoma).

Kawasan tertinggi merekodkan kes hepatoma adalah kawasan Asia Timur seperti China, Taiwan dan Hong Kong. Malaysia termasuk dalam kawasan pertengahan disamping Indonesia dan Thailand.

Perangkaan daripada `National Cancer Registry`, Malaysia terbitan tahun 2004 menunjukkan bahawa kanser hati telah dikesan pada 2.8/100,000 populasi rakyat di semenanjung Malaysia dan merupakan salah satu dari 10 kanser utama di golongan lelaki.

Adalah di anggarkan sebanyak 5.24% daripada populasi rakyat Malaysia mengidap penyakit hepatitis B secara kronik dan sebanyak 2% mengidap penyakit hepatitis C secara kronik. Mereka yang mengidap penyakit hepatitis B dan C secara kronik adalah berisiko untuk mendapat hepatoma.

Hepatitis akan menyebabkan pembentukan parut di hati (sirosis) dan keadaan ini meningkatkan risiko untuk menghidap hepatoma.

 

Sukar Untuk Mengesan Gejala Kanser Hati Pada Peringkat Awal

Pada peringkat awal, kemungkinan pesakit tidak mempunyai apa-apa gejala. Walau bagaimanapun, tanda-tanda berikut mungkin terdapat pada pesakit hepatoma :

1. Sakit di bahagian abdomen terutama bahagian rusuk kanan
2. Keletihan, hilang berat badan dan demam yang kerap
3. Pengesanan pembengkakan hati di bahagian abdomen
4. Jaundice (kuning di bahagian mata dan kulit)
5. Sakit tulang akibat dari penyebaran kanser ke tulang
6. Ascites (pengumpulan cecair akibat sirosis di bahagian abdomen)
7. Pendarahan dari kekurangan faktor pembekuan darah

Secara amnya, gejala hanya dapat dirasai apabila kanser hepatoma ini sudah membesar.

Oleh itu orang yang berisiko (penghidap hepatitis kronik dan sirosis hati dari punca-punca lain) adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan ujian ultrasound dan ujian darah alpha feto protein (tumour marker).

Ujian seterusnya seperti CT scan atau MRI mungkin diperlukan untuk mengesahkan diagnosis hepatoma dan menjadi rujukan untuk rawatan kemudian.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

 

Sumber Imej Terencana: islampos.com

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button