AntarabangsaIsu Semasa

China Sedang Cuba Untuk ‘Menakluk’ Filipina?

Lebih daripada 1,000 penunjuk perasaan telah mengadakan protes di hadapan kedutaan China di Manila pada Rabu bagi membantah pengaruh gergasi Asia itu yang semakin meningkat di Filipina.

Sehubungan dengan itu, ketegangan di Laut China Selatan akibat kehadiran Beijing yang semakin meningkat juga dikecam oleh penunjuk perasaan.

Ketika protes tersebut berlangsung, penunjuk perasaan mengibarkan bendera Filipina sambil melaungkan “Keluar China” dan turut membawa sepanduk yang menulis “Pertahankan hak kedaulatan kami”, merujuk kepada tuntutan besar Beijing ke atas kawasan perairan yang kaya dengan sumber itu.

“Kerajaan pimpinan Presiden (Rodrigo) Duterte tidak memberi sebarang tindak balas. Apa yang sedang dilakukan oleh China adalah hampir sama dengan penaklukan,” kata Alex Legaspi, 53, salah seorang penunjuk perasaan yang juga merupakan seorang guru.

Walaupun sebelum ini Duterte telah mengenepikan sebahagian besar wilayah yang dipertikaikan di perairan tersebut, ketegangan dilaporkan semakin meningkat berikutan kehadiran lebih daripada 200 bot China berhampiran Pulau Thitu milik Filipina.

Kerajaan Filipina menyifatkan kehadiran bot-bot itu sebagai “tidak sah di sisi undang-undang”, dan Duterte turut mengugut untuk mengamil tindakan ketenteraan ke atas China sekiranya ia ‘menyentuh’ pulau berkenaan.

“Kehadiran bot China berdekatan Pag-asa dan ciri-ciri maritim lain di kepulauan Kalayaan adalah tidak sah,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis lalu, meurjuk kepada pulau Thitu.

Sehari kemudian, Duterte memberitahu China untuk meninggalkan kepulauan di Laut China Selatan itu yang dimiliki oleh Filipina, dan berikrar untuk mengerahkan tentera-tenteranya sekiranya pulau tersebut ‘disentuh’ oleh Beijing.

Namun jelas presiden itu, beliau bukanlah memberi amaran kepada China, tetapi lebih kepada “nasihat kepada rakan.”

“Saya tidak akan memohon atau merayu, tetapi saya haanya memberitahu anda untuk meninggalkan Pag-asa kerana saya mempunyai tentera di sana.

“Jika anda (China) menyentuhnya, itu sudah menjadi cerita lain. Saya akan mengarahkan tentera untuk bersedia melancarkan ‘misi berani mati,” tegasnya dalam satu ucapan.

Sebelum ini, Duterte berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak akan berperang dengan China kerana ia ibarat “membunuh diri.”

Beliau juga dikritik oleh rakyat tempatan kerana dilihat terlalu bersemangat untuk meningkatkan hubungan dengan Beijing dan melepaskan terlalu banyak pengaruh berhubung isu Laut China Selatan.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) juga dilihat mahu memulihkan dan mengukuhkan lagi hubungannya dengan Filipina.

Sejak Duterte mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2016, kerajaan Filipina semakin beralih kepada China dan membelakangkan AS.

Beliau turut memberi kata-kata kesat seperti “pergi jahanam” kepada bekas Presiden AS, Barack Obama apabila kuasa barat itu tidak mahu menjual senjata kepada Filipina, dan tidak menolak kemungkinan Filipina berpotensi untuk ‘berpisah’ dengan AS.

Walau bagaimanapun pada masa kini, AS menzahirkan kesediaan untuk membantu Filipina dari segi pertahanan.

Bulan lepas, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memberi jaminan bahawa ia akan melindungi Filipina sekiranya “diserang” di Laut China Selatan.

Sumber: AFP, Reuters, Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button