Isu SemasaTempatan

Pindaan Akta MKN Gugurkan Kuasa PM Isytihar ‘Zon Keselamatan’

Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan sebuah undang-undang keselamatan yang dikuatkuasakan pada tahun 2016, di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Undang-undang berkontroversi ini mengundang kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak kerana ia memberi kuasa yang terlalu banyak kepada Perdana Menteri, termasuk kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana sahaja kawasan di Malaysia sebagai “zon keselamatan.”

Hal ini sekali gus mencetuskan kebimbangan kerana wujud kemungkinan akta ini berpotensi untuk disalahgunakan bagi tujuan yang salah atau kepentingan peribadi.

Pakatan Harapan (PH) di dalam manifestonya berikrar untuk memansuhkan “akta-akta yang zalim”, termasuk MKN.

Walau bagaimanapun, kerajaan baru memutuskan untuk tidak memansuhkan MKN, dan sebaliknya akan melakukan pindaan ke atas akta tersebut.

KUASA PM ISYTIHAR ZON KESELAMATAN AKAN DIGUGURKAN

Cadangan pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggugurkan kuasa Perdana Menteri untuk mengisytiharkan zon keselamatan.

Kuasa tersebut sebaliknya akan dipindahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), di mana baginda boleh mengisytiharkan zon keselamatan di atas nasihat Majlis berkenaan.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri masih kekal sebagai pengerusi MKN.

Pindaan Akta MKN tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada Selasa, 9 April 2019 di Dewan Rakyat.

Selain itu, antara pindaan yang akan dilakukan membabitkan Seksyen 37 mengenai kewajipan kerahsiaan bagi mereka yang berkhidmat dalam majlis itu, atau jawatankuasanya semasa atau selepas tempoh perkhidmatannya.

Sebelum ini, sesiapa yang melanggar kewajipan kerahsiaan itu boleh berdepan hukuman penjara maksimum selama 2 tahun, bayaran denda RM100,000, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah pindaan yang dicadangkan, hukuman penjara tersebut akan ditingkatkan daripada 2 tahun ke 5 tahun.

Rang undang-undang (RUU) baru ini juga mengusulkan pengarah operasi MKN boleh, berkaitan dengan zon keselamatan, meminta individu atau entiti, untuk memberi maklumat bagi kepentingan keselamatan negara.

Justeru, mana-mana individu atau entiti yang gagal berbuat demikian boleh berdepan bayaran denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

APA TUJUAN MKN DIPINDA?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa tujuan Akta MKN dipinda adalah supaya seseorang perdana menteri itu tidak akan dapat “melanggar undang-undang secara sah.”

Ini adalah kerana di bawah undang-undang semasa MKN, perdana menteri dilihat seolah-olah mempunyai ‘kuasa mutlak’.

“Apabila anda memberi kuasa itu kepada seorang perdana menteri (mengisytihar zon keselamatan), beliau berpotensi mengisytiharkan kawasan-kawasan tertentu sebagai zon keselamatan dan di kawasan itu, beliau boleh menahan orang tanpa perlu pergi ke mahkamah, dan jika seseorang meninggal dunia, tidak akan ada penyiasatan.

“Jadi ini beri Perdana Menteri kuasa tentang hidup mati seseorang. Ini dahsyat, Perdana Menteri tidak harus punya kuasa itu.

“Kuasa itu harus ada pada Agong. Sekurang-kurang ada sekatan,” katanya.

NGO KECEWA PH MUNGKIR JANJI

Badan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty membantah sekeras-kerasnya langkah kerajaan meminda Akta MKN kerana melanggar janji mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mahu memansuhkan undang-undang zalim.

“Kita menggesa kerajaan Pakatan untuk menegakkan ikrar dan janji kempen mereka sendiri dengan menarik balik pindaan RUU yang dibentangkan pada hari ini dan sebaliknya memansuhkan Akta MKN 2016 secara menyeluruh,” kata penasihat Lawyers for Liberty, N.Surendran dalam satu kenyataan pada Selasa.

Surendran berkata, akta ini juga tidak berperlembagaan dan bukan undang-undang yang sah kerana ia dikuatkuasakan oleh “rejim BN” tanpa mendapatkan Perkenan Diraja, mengikut Perkara 66(4) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, mana-mana undang-undang yang dikuatkuasakan tanpa Perkenan Diraja adalah tidak berperlembagaan.

 

“MKN JADI SAMA SEPERTI ISA”

Tegas beliau, meminda RUU itu akan terus mengekalkan peruntukan-peruntukan yang yang kejam dan berbahaya di dalam Akta MKN 2016 – sama seperti yang dibantah oleh pemimpin-pemimpin Pakatan ketika kerajaan terdahulu membentangkannya pada tahhun 2016.

“Peruntukan-peruntukan yang menindas ini termasuk kuasa untuk mengetepikan inkues di ‘zon keselamatan’, dan ini sama seperti memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk melakukan pembunuhan yang tidak sah.

“Peruntukan-peruntukan lain turut membolehkan pihak berkuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai zon keselamatan, menggunakan kekerasan, menguatkuasakan perintah berkurung, melakukan pemeriksaan dan rampasan tanpa waran dan merampas atau memusnahkan harta peribadi,” katanya.

Ujar Surendran, kuasa-kuasa ekstrem ini adalah sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan dahulu.

“Membantah secara keras kuasa-kuasa tersebut sebelum ini, mengapa Pakatan dan pemimpin-pemimpinnya tidak mengubah (kuasa-kuasa) itu dalam pindaan RUU baru ini?

“Ia adalah perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan,” tegasnya.

 

Sumber: The Star, Kosmo, Astro Awani

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker