Gaya HidupKesihatanPercutian

Mahu Cuba Teknik Urutan Menggunakan Pisau?

Tukang urut biasanya melakukan rutin mengurut menggunakan tangan mereka tetapi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang, yang dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Masyarakat Sedunia, menawarkan jenis urutan baru di Occupy Beach Street, iaitu urutan menggunakan pisau.

Sukarelawan organisasi, Ong Chong Jin, 64, berkata urutan pisau atau terapi pisau berasal dari China dan dia mempelajari seni urutan itu di Taiwan pada tahun 2010.

“Ia adalah teknik urutan dari China, sangat tradisional. Ia wujud semasa Perang Dunia. Entah bagaimana ia tidak diamalkan, hilang dan muncul semula dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Jepun.

“Jadi penduduk dari Taiwan pergi ke Jepun untuk mempelajarinya dan kami belajar dari Taiwan. Taiwan secara rasmi mengiktiraf teknik urutan pisau ini.

“Perbezaan di antara urut tangan dan urut pisau ialah urutan menggunakan pisau agak keras, tajam dan ia boleh menyerap dengan baik semua benda dalam tubuh anda,” katanya kepada Bernama.

Ong, yang menyediakan perkhidmatan itu setiap hari Ahad dari jam 8 pagi hingga tengah hari dari tahun 2015, berkata dia dan tujuh sukarelawan lain juga belajar seni mengurut dengan menggunakan dua bilah pisau pada satu masa.

“Pelanggan tidak perlu risau. Pisau yang digunakan tidak tajam dan sesuai untuk urutan belakang, bahu, kepala dan kaki,” katanya.

Urut pisau di kedai Ong dijalankan oleh 20 anggota persatuan, yang mengambil giliran untuk mengendalikan perniagaan.

Menurut Ong, para sukarelawan yang terlibat termasuk jurutera dan pengurus pemasaran yang bekerja separuh masa sebagai tukang urut.

“Sebahagian daripada pembayaran yang diterima daripada pelanggan disalurkan kepada persatuan dan selebihnya adalah untuk operasi kami,” katanya, sambil menambah bahawa pelanggan dikenakan caj antara RM13 dan RM88 untuk urut antara 10 minit dan satu jam.

Ong berkata mereka menyediakan perkhidmatan urutan pisau sebagai alternatif kepada orang ramai dan sambutannya baik. Mereka menerima antara 20 hingga 30 orang pelanggan setiap hari.

“Pada mulanya, mereka takut kerana mereka fikir pisau itu tajam. Kami menunjukkan kepada mereka bagaimana ia dilakukan dan biarkan mereka mencuba selama 10 minit. Kebanyakan mereka mendapati urut pisau sangat santai dan mampu melepaskan rasa sakit di bahagian tertentu badan,” katanya.

Selain kedai di Lebuh Acheh, Georgetown, Ong juga mempunyai kedai lain yang menawarkan urut pisau di Sungai Petani, Kedah dan ia dibuka setiap hari.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker