AntarabangsaIsu Semasa

Jet Pejuang F-35 Jepun Terhempas Di Lautan Pasifik

Pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai bangkai jet pejuang F-35 milik Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun (ASDF) yang terhempas di Lautan Pasifik berhampiran utara negara itu.

Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan Jepun, Takeshi Iwaya berkata, juruterbangnya masih belum ditemui.

“Kami sudah menemui sebahagian daripada ekor pesawat itu dan operasi mencari masih diteruskan dengan bantuan beberapa pesawat serta kapal,” katanya.

Menurut seorang pegawai pertahanan, pesawat yang berusia kurang daripada setahun itu adalah F-35 yang pertama dipasang di Jepun dan hanya terbang di udara selama 28 minit pada Selasa, 9 April 2019.

Ia juga adalah pesawat F-35 yang kedua pernah terhempas dalam sejarah.

ASDF berkata, jet pejuang berkenaan sedang terbang kira-kira 135 kilometer timur dari pangkalan udara Misawa di Aomori Prefecture pada jam kira-kira 7.27 pm waktu tempatan apabila ia hilang daripada radar.

“Kita telah memperoleh bangkai pesawat dan pasti ia adalah daripada F-35 itu,” kata jurucakap ASDF.

Jelas Takeshi lagi, ketika latihan penerbangan dijalankan, pesawat itu berada di hadapan sekumpulan empat jet lain apabila ia menghantar isyarat “menghentikan latihan” dan kemudian hilang daripada radar.

“Kita perlu bekerjasama dengan tentera Amerika Syarikat (AS) dan saya percaya bahawa pengaturan sedang dilakukan untuk ini,” ujarnya sambil menambah bahawa keutamaan kini diberi kepada menentukan punca utama nahas itu berlaku.

Sebelum berlakunya insiden tersebut, Jepun memiliki 13 jet pejuang F-35, dan kini hanya 12 sahaja yang tinggal.

Jelas pegawai ASDF, pesawat yang terhempas itu adalah F-35 yang kelima yang memasuki inventori ASDF, tetapi ia adalah yang pertama dipasang oleh Mitsubishi Heavy Industries di Jepun.

Empat F-35 terawal pula telah digunakan oleh AS untuk latihan sebelum ia dihantar ke Jepun.

Difahamkan, juruterbang yang menjadi mangsa anhas mempunyai waktu penerbangan selama 3,200 jam, di mana 60 jam daripada jumlah itu, dia menerbangkan F-35.

Kini, siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menentukan punca kejadian.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker