Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

MB Johor Letak Jawatan Kerana Krisis Pencemaran di Sungai Kim Kim?

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah mengesahkan bahawa Datuk Osman Sapian telah secara rasminya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Spekulasi perletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar Johor mula tular selepas beliau tidak menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia – Singapura Kesembilan yang turut berlangsung hari ini.

Osman Sapian ‘ditekan’ untuk meletak jawatan sebagai menteri besar kerana beberapa faktor, tetapi ketidakpuasan hati istana Johor baru-baru ini menjadi punca utama Osman melepaskan jawatannya.

The New Straits Times melaporkan bahawa kewibawaan Osman sebagai pemimpin dipertikaikan dan menyebabkan ketidakpuasan hati di pihak pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Seorang sumber berkata cara Osman menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim bulan lalu, di mana 5,848 orang terpaksa mendapatkan rawatan selepas menghidu gas beracun, telah menimbulkan ketidakpuasan hati istana Johor.

Prestasi menteri besar itu telah diteliti selama beberapa bulan dan nampaknya pihak istana tidak berpuas hati kerana Osman gagal membentangkan rancangan ekonomi untuk Johor.

“Telah dikatakan bahawa sultan menyatakan rasa tidak puas hati kerana Osman masih belum mengemukakan pelan tindakan untuk ekonomi Johor. Tiada arah. Sudah lama sultan meminta pelan terbabit tetapi kerajaan negeri telah menangguhkannya sehingga hari ini.

“Tetapi kes Sungai Kim Kim bulan lalu adalah kemuncak kepada krisis ini. Osman dilanda kontroversi apabila meninggalkan negara, menuju ke Batam, Indonesia ketika kes pencemaran sedang berlaku.

“Ia seolah-olah kerajaan negeri bertindak lepas tangan dalam krisis terbabit kerana tidak mengumumkan apa-apa peruntukan. Sebaliknya, sultan yang mengumumkan peruntukan RM1 juta.

“Insiden ini menyebabkan pemerintah hilang kepercayaan kepadanya,” kata sumber itu.

Sumber yang sama juga berkata Osman turut menerima tekanan dari ahli-ahli Pakatan Harapan.

Sumber berkata pemimpin PH kecewa kerana Osman “berbohong” mengenai kelayakan akademiknya berikutan kontroversi yang menjadi berita utama pada bulan Februari.

Sumber juga berkata mereka mempersoalkan pembelian hartanah Osman bernilai lebih RM1 juta untuk isterinya yang ketiga, yang mereka bimbang akan menjadi punca perbalahan politik.

“Osman membeli harta ini sebagai menteri besar dan dipercayai bernilai lebih daripada RM1 juta. Pembelian sedemikian tidak baik untuk kedudukannya sebagai MB.”

Berikutan peletakan jawatan Osman, beberapa nama disebut sebagai pengganti. Antaranya ialah pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, dari Bersatu, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker