AsiaPolitik

Seorang ‘Transgender’ Bakal Menjadi Ahli Parlimen Thailand?

Thailand yang bakal melihat keputusan pilihan raya negara tersebut pada 9 Mei 2019 ini akan menyaksikan sebuah kelainan apabila seorang transgender bakal menjadi Ahli Parlimen buat pertama kali dalam sejarah negara tersebut.

Tanwarin Sukkhapisit bertemu The Sunday Times dengan rambut hadapannya diikat dan mengenakan gaun pendek lace berwarna hitam serta kasut sneakers telah berkongsi keterujaan dirinya yang bakal menduduki kerusi parlimen.

Tanwarin Sukkhapisit ketika di temuramah oleh The Strait TImes. Sumber Imej: The Strait Times

Bagaimana Tanwarin Boleh Menjadi Ahli Parlimen Thailand?

Tanwarin, 45 tahun merupakan ahli parti ‘Future Forward’ – sebuah parti belia yang juga anti-junta (anti pemerintahan tentera).

Parti yang berusia setahun jagung ini telah memenangi 6.3 juta undian dan menjadi parti ketiga tertinggi di kalangan 80 parti yang bertanding pada pilihanraya kali ini.

Di dalam sistem pilihanraya Thailand yang baharu, pengundi hanya boleh membuang satu undian sahaja, di mana undian bagi seseorang calon MP adalah undian untuk partinya juga.

Dalam pada itu, 350 daripada 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan akan diduduki oleh calon yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya.

Baki 150 lagi pula adalah ‘kerusi parti’, yang akan diduduki oleh anggota-anggota parti politik yang dipilih oleh beberapa calon daripada setiap parti, mengikut jumlah undian yang diterima oleh parti-parti tersebut.

Parti-parti ini pada biasanya akan meletakkan ahli senior yang berpengalaman untuk menduduki kerusi parlimen bagi memastikan kerusi tersebut milik mereka.

Namun bagi parti Future Forward, mereka telah mempertaruhkan orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang merupakan mantan pekerja kilang, ahli kesatuan buruh dan atlet paralimpik.

Melihat kepada keudukan awal keputusan pilihan raya, parti Future Forward bakal memiliki 57 kerusi di Parlimen.

Tanwarin yang juga merupakan pembikin filem yang telah memenangi anugerah dan juga mantan presiden Persatuan Direktor Filem Thailand ini menduduki tempat ke-9 dalam senarai parti Future Forward.

 

Ibu Orang Pertama Mendapat Khabar Gembira

Setelah mendapat khabar gembira ini, Tanwarin terus menghubungi ibunya.

“Saya berkemungkinan akan menduduki kerusi parlimen!,” kata Tanwarin kepada ibunya yang sedang bertarung dengan kanser peringkat kritikal.

Ibunya menjawab,”Anak, anda harus yakin dan lakukan yang terbaik.”

“Saya mahu membuat ibu saya bangga,” kata Tanwarin yang juga dikenali sebagai ‘Golf’.

“Ibu saya sentiasa memberi sokongan kepada saya walaupun perjalanan hidup saya sukar. Namun, dia sentiasa berkata asalkan Golf bahagia, ia akan membahagiakan diriny juga.”

 

Merupakan Seorang Pengarah Filem

Pada tahun 2010, Tanwarin telah mengeluarkan filem bertajuk Insects In The Backyard. Sebuah filem yang menceritakan tentang seorang wanita transgender yang sedang bergelut untuk membesarkan dua anak. Walau bagaimanapun, filem tersebut telah dilarang untuk ditontonkan di Thailand.

Tanwarin tidak berputus asa dan mengajukan larangan tersebut ke mahkamah.

Setelah lima tahun, akhirnya Mahkamah Pentadbiran Thailand telah mengangkat larangan tersebut tetapi dengan syarat sebuah babak yang berdurasi 3 saat harus dipotong kerana ia menunjukkan seorang watak menonton filem lucah.

Memandangkan babak tersebut bukanlah babak yang terlalu penting, Tanwarin telah memotong babak tersebut dan akhirnya filemnya berjaya diputar dilayar perak pada tahun 2017.

 

Tekad Mengubah Dua Perkara Di Parlimen Nanti

Walaupun ramai yang tidak mengambil dirinya serius dalam arena politik dan merasakan Tanwarin hanya akan “mewarnakan” situasi politik negara tanpa memberi impak yang kuat, Tanwarin pula berkata dia sangat serius tentang masa depannya dalam perundangan negara dan telah bertekad untuk melakukan dua objektif.

Objektif tersebut ialah menggubal Akta Filem untuk memberi ruang kepada para artis meluahkan hasil karya mereka dan juga menggubal undang-undang bagi membenarkan perkahwinan kaum sejenis.

Menurutnya, undang-undang Thailand yang ada sekarang di mana sesebuah perkahwinan harus terjadi di antara lelaki dan wanita sahaja bertentangan dengan perlembagaan negara.

Ini kerana perlembagaan negara Thailand berkata setiap rakyatnya adalah sama di bawah undang-undang.

Oleh itu dengan mengadakan undang-undang istimewa untuk perkahwinan sejenis menunjukkan ketidaksamarataan.

 

Mahu Menjadi Menteri Budaya

Tanwarin juga bercita-cita untuk mendapat kedudukan sebagai Menteri Budaya.

“Budaya ialah kuasa lembut yang boleh digunakan untuk mempromosikan negara,” katanya yang menganggap kerajaan terdahulu hanya menunjukkan budaya Thailand dengan hanya sekadar senyuman dan ‘wai‘ gerak tangan yang menyatukan kedua telapak tangan.

“Budaya Thai yang selama ini dipromosikan tidak sepenuhnya menunjukkan kepelbagaian negara Thai,” kata Tanwarin yang merupakan graduan bahasa Perancis dari Khon Kaen Univerisity.

 

Ada Yang Memperlekehkan Kemampuan ‘Golf’

Tanwarin yang mendapat banyak sokongan dari ‘katoey’ – gelaran bagi orang transgender di Thailand, dia juga tidak terlepas dari tomahan di sosial media yang mempersoalkan dirinya yang keliru identiti, bagaimana hendak bekerja untuk rakyat.

Tanwarin yang yakin dengan perubahan yang bakal dia lakukan berkata dia tidak memasuki parlimen untuk bermain atau menjadi patung semata-mata tetapi dia mahu menjadi suara untuk orang yang mengundi untuk dirinya.

“Thailand bakal melihat saya sebagai seorang yang bijak, mampu melakukan tugas dengan baik dan juga seorang katoey,” kata Tanwarin yang optimis.

“Saya bakal menjadi simbol kepelbagaian rakyat Thailand yang boleh bersuara di dalam parlimen.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker