Isu SemasaPolitikTempatan

Golongan Muda Semakin Hilang Keyakinan Terhadap Pakatan Harapan?

Walaupun masih belum setahun memerintah negara, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin kehilangan sokongan daripada golongan muda Malaysia yang berusia dalam lingkungan 20an, menurut kajian terbaru firma penyelidikan pasaran, Kajidata Research Sdn Bhd.

Kajidata mengkaji kecenderungan politik 9,071 rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Kajian tersebut mendapati bahawa kepuasan keseluruhan terhadap prestasi PH menurun sebanyak 16.4 mata pada Disember lalu.

Kehilangan sokongan yang terbesar adalah daripada golongan belia berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun, yang mencatatkan 20.6 mata.

Kajidata berkata, sokongan yang semakin merosot ini berpunca seiring dengan penurunan keyakinan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap PH.

“Walaupun penurunan keyakinan ekonomi ini membabitkan semua kumpulan umur, penurunan besar dalam kalangan belia menunjukkan bahawa mereka mungkin kecewa dengan pengurusan ekonomi negara di bawah Pakatan Harapan,” kata syarikat itu.

Sementara itu, data daripada Skor Keyakinan Ekonomi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendapati bahawa penurunan sokongan yang terbesar adalah daripada mereka yang berusia 20 sehingga 29 tahun, yang merekodkan 13.7 mata.

“Petunjuk-petunjuk ini mendedahkan bahawa belia, yang kemungkinan besar menyokong Pakatan Harapan pada PRU14, kini sudah menjadi kumpulan yang cenderung untuk membantahnya.

“Generasi muda adalah golongan yang paling kurang berpuas hati dengan Pakatan Harapan selain daripada mempunyai keyakinan ekonomi yang paling rendah (terhadap PH),” tambah Kajidata.

Salah satu perkara yang mencetuskan ketidakpuasan hati belia adalah tindakan PH yang membuat ‘U-Turn’ dalam isu penangguhan pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun jelas Kajidata, kajian lanjutan diperlukan untuk mengetahui berapa besar ‘U-Turn’ dalam dasar menyumbang kepada penurunan sokongan terhadap PH, atau jika terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkannya.

Dalam pada itu, Kajidata menjelaskan bahawa golongan muda kini mempunyai persepsi yang lebih positif terhadap Barisan Nasional (BN) yang kini berperanan sebagai pembangkang.

Perubahan trend ini dilaporkan sudah bermula sejak awal bulan September lalu lagi.

Justeru, Kajidata berkata bahawa PH perlu menangani isu penurunan sokongan belia sebelum PRU yang akan datang pada 2020 memandangkan pengundi muda adalah kumpulan pengundi atas pagar paling besar yang masih belum mempunyai kesetiaan politik yang kukuh.

“Berdasarkan pelbagai petunjuk sejak tahun 2015 lagi, ia adalah jelas bagi Kajidata bahawa sokongan terhadap Pakatan Harapan, terutamanya dalam kalangan belia telah menurun dengan ketara sejak kemenangannya itu pada 9 Mei 2018.

“Ia adalah penting untuk Pakatan Harapan memahami secara terperinci mengapa belia sudah berpaling tadah daripadanya dan apa yang boleh dilakukan untuk memenangi (hati) mereka semula,” ujar Kajidata.

Kajian Kajidata dilaksanakan menerusi temuduga telefon berbantukan komputer di seluruh 222 kawasan Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak, dari 1 Januari sehingga 1 Disember 2018.

Sumber: Malay Mail

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button