AntarabangsaIsu Semasa

Amerika Akan Kekal Sebagai “Satu-Satunya” Tentera Sekutu Filipina

Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina, Teodoro Locsin dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata bahawa Amerika Syarikat (AS) akan terus kekal sebagai tentera sekutu tunggal Filipina.

Kenyataan tersebut dikeluarkan di tengah-tengah peningkatan kehadiran China berdekatan sebuah pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

“AS adalah satu-satunya kuasa dunia yang menjadi kubu demokrasi dan hak asasi manusia, (dan) akan terus kekal sebagai tentera sekutu tunggal kami.

“Kita tidak memerlukan mana-mana (tentera sekutu) yang lain,” kata Locsin menerusi akaun Twitter rasminya pada Ahad, 7 April 2019.

Memetik laporan Bloomberg, hubungan di antara AS dan Filipina kini bertambah pulih selepas Manila dilihat semakin beralih kepada China sejak Presiden Rodrigo Duterte mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2016.

Difahamkan, lebih daripada 7,000 anggota tentera Filipina dan AS terlibat dalam latihan ketenteraan bersama tahunan di antara kedua-kedua negara itu bagi edisi 2019.

Latihan berkenaan masih akan dilangsungkan walaupun Duterte mengancam untuk ‘berpisah’ dengan AS pada tahun 2016.

Beliau turut memberi kata-kata kesat seperti “pergi jahanam” kepada bekas Presiden AS, Barack Obama apabila kuasa barat itu enggan menjual senjata kepada Filipina.

Sehubungan dengan itu, Duterte menegaskan bahawa beliau tidak bimbang dengan keputusan AS itu memandangkan Rusia dan China “sanggup menjadi pembekal senjata” kepada Filipina.

“Tidak mustahil suatu hari nanti saya akan berpisah dengan Amerika,” katanya dalam satu kenyataan pada tiga tahun lalu.

Pemimpin berkontroversi yang dikenali sebagai “The Punisher” kerana kempen perang dadah brutalnya itu turut mempersoalkan sama ada AS akan mempertahankan Filipina jika China merampas terumbu karang dan beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Justeru, Setiausaha Negara AS, Michael Pompeo memberi jaminan bahawa perjanjian pertahanan akan dikuatkuasakan sekiranya kapal atau pesawat filipina diserang di kawasan perairan tersebut.

Walau bagaimanapun, Duterte sejak kebelakangan ini pula dilihat seperti sudah ‘berpaling tadah’ daripada China.
Duterte turut memberi amaran keras sekiranya China tidak berundur dari Pulau Thitu yang diduduki Filipina, beliau akan mengarahkan tentera-tenteranya untuk mempertahankan pulau itu dengan melancarkan “misi berani mati.”
Terdapat lebih daripada 200 kapal milik China dilaporkan berada di Pulau Thitu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sumber: Bloomberg

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker