Hiburan

Yuna Tonjolkan Keindahan Malaysia Menerusi ‘Forevermore’

Kerinduan terhadap zaman persekolahan, terutama ketika menetap di Perlis, memberi inspirasi kepada penyanyi Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna, untuk mengabadikan detik dan pemandangan menarik di negeri terbabit menerusi video muzik lagu terbarunya, Forevermore.

Diambil dari album terbarunya, album studio ke-4 yang belum diterbitkan, lagu itu diilhamkan oleh melodi ‘syair’, sebuah bentuk puisi Melayu klasik, dan dimulakan dengan kelembutan melodi yang diiringi oleh gendang tradisional Melayu ‘kompang’.

“Forevermore adalah lagu yang saya tulis tentang membesar di sebuah bandar kecil dan datang dari sebuah negara kecil dan bagaimana persekitaran itu membuat saya berusaha untuk menjadi yang terbaik,” kata Yuna dalam kenyataan akhbar.

Image result for yuna forevermore

Untuk video muzik lagu itu, Yuna mengetengahkan kepakaran suaminya, Adam Sinclair, pengarah berpengalaman dan mereka melakukan penggambaran sepenuhnya di Malaysia, kebanyakannya di Kuala Lumpur dan Perlis.

Menurut Yuna, lagu itu adalah mengenai kehidupannya membesar di Perlis, dan dia ingin mempamerkan negeri kecil itu menerusi video muziknya.

“Saya mahu menonjolkan Perlis di mana saya menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanak saya dan saya ingin menunjukkan betapa cantiknya Perlis yang masih tidak berubah oleh arus pemodenan.”

Berkenaan kerjasamanya dengan Sinclair, Yuna berkata, “Ini pengalaman yang sangat istimewa untuk saya kerana ia diarahkan oleh suami saya. Walaupun kami berdua dari Malaysia, kami dari negeri berbeza dan Perlis agak asing untuknya, jadi dia berjaya mengabadikan keindahan di sana secara sederhana.”

Selain keindahan alam semulajadi di Perlis, Yuna turut menggabungkan beberapa babak yang diambil di Stadium Shah Alam, Batu Caves, kedai runcit lama, dan juga generasi pertama Proton Saga.

“Kami mahu menunjukkan Malaysia dengan cara yang berbeza daripada cara yang anda lihat dalam video promosi pelancongan. Kami ingin mempamerkan keindahan sebenar yang ‘raw’ seperti stesen minyak lama, kedai serbaneka di desa luar bandar, budaya motosikal (Mat Rempit) yang sering dipandang serong oleh masyarakat, dan rakyat Malaysia yang lebih tua yang melihat perubahan berlaku. “

Selain nilai estetik ini, Yuna turut memaparkan sisi berbeza dirinya apabila dilihat menari dalam video muzik berkenaan. Ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan artis terbabit dalam mana-mana video muziknya, sebelum ini.

“Saya memang suka menari sejak zaman sekolah lagi. Saya adalah penggemar tarian tradisional Melayu dan India. Ketika di Los Angeles, saya juga ada mengikuti kelas tarian hip hop bersama pereka tari, Karma Raines.

“Idea untuk menari timbul ketika mahu menghasilkan ‘storyboard’ video muzik ini. Tiba-tiba, saya berasa mahu melakukan eksperimen, iaitu menggabungkan elemen tarian tradisional dan hip hop. Walaupun ia sesuatu yang baharu, saya seronok kerana berpeluang mencuba sesuatu yang berbeza,” kata penyanyi Dan Sebenarnya dan Crush ini.

Behind the scenes shots of the making of the video. Photos: Zel Atif

Mengenai penampilannya yang cukup bergaya pula, Yuna berkata, memang menjadi hasratnya untuk menerapkan elemen fesyen dalam klip terbabit.

“Saya bekerja dengan ramai pereka fesyen terkenal dalam video muzik ini. Saya sangat berterima kasih kepada penata gaya yang berjaya menampilkan saya dalam pelbagai jenis gaya berbeza dan gaya yang dipilih menepati cita rasa saya,” ujar Yuna.

Terkini , Forevermore yang dikongsi di laman YouTube mulai 4 April lalu berjaya meraih lebih 500,000 tontonan dan berada pada kedudukan keempat video sohor kini di laman sosial terbabit.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker