AntarabangsaIsu Semasa

Taiwan Akan Melakukan “Pengusiran Secara Paksa” Jet Pejuang China Sekiranya…

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen pada minggu lepas telah memberi amaran keras bahawa pihaknya akan melakukan “pengusiran secara paksa” sekiranya jet pejuang J-11 milikk angkatan tentera China, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) melintasi garis tengah yang memisahkan Taiwan dari Tanah Besar China dan menceroboh ruang udaranya.

Dalam satu gambar yang disiarkan di Facebook, Tsai dilihat sedang memberi arahan menerusi telefon, dan kapsyen pada gambar itu menulis kenyataan beliau yang berkata:

“Saya telah mengarahkan tentera untuk melaksanakan pengusiran secara paksa terhadap sebarang pencerobohan berprovokasi di garis tengah.”

Tandatangan Tsai turut disertakan di dalam siaran Facebook tersebut.

Difahamkan, Taiwan telah mengaktifkan pemintas dan menyiarkan amaran ketika pencerobohan itu berlaku, namun dua buah pesawat tempur China berkenaan dilihat mengabaikannya dan meneruskan pencerobohan mereka selama 10 minit.

Peristiwa tersebut amat berbeza berbanding sebelum ini, di mana jet pejuang China selalunya akan kembali semula ke bahagian negara sempadan negara mereka selepas diberi amaran.

Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu menyatakan bahawa pencerobohan itu adalah satu tindakan yang disengajakan, sambil menyifatkannya sebagai “berprovokasi dan berbahaya.”

Jelasnya, Taiwan sudah pun memaklumkan insiden tersebut kepada “rakan kongsi serantau”.

Sementara itu, penganalisis di Taiwan berkata bahawa masih tidak jelas bagaimana China akan bertindak balas terhadap arahan Tsai untuk mengusir jet-jet pejuangnya pada masa akan datang.

Langkah yang diambil oleh Tsai juga berisiko untuk mencetuskan konflik rentas sempadan yang berpotensi untuk turut mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam situasi ini.

“Terdapat risiko sedemikian, tetapi saya mempercayai bahawa tentera (Taiwan) mempunyai prosedur operasi standardnya (SOP) dalam menangani dengan pesawat tempur China yang menceroboh ruang udara Taiwan,” kata Chieh Chung, felo penyelidik kanan bahagian keselamatan kebangsaan di National Policy Foundation yang berpangkalan di Taipei.

Ujar Chieh, Tsai perlu tahu bahawa tindakannya berisiko untuk mencetuskan konflik rentas sempadan, tetapi pada masa yang sama beliau harus bertindak secara tegas dan berani untuk terus mengekalkan kedudukannya menjelang pilihan raya pada tahun depan.

“Walau bagaimanapun, tanah besar China adalah pihak yang harus dipersalahkan kerana melanggar perjanjian dengan melakukan pencerobohan itu,” tambahnya.

Sumber: SCMP, The Drive
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button