AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Benar Jet Pejuang F-16 Pakistan Ditembak Jatuh Oleh Tentera Udara India?

Pada 14 Februari lalu, seorang anggota militan telah melancarkan serangan bom berani mati di Pulwama, selatan Kashmir.

Serangan itu meletupkan konvoi trak yang membawa anggota tentera palamiter India lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang.

Sebagai tindak balas, jet pejuang India memasuki ruang udara Pakistan dan melancarkan serangan berhampiran bandar Balakot, ke atas sebuah kem yang didakwa menjadi tempat latihan kumpulan pengganas Jaish-e-Muhammed.

Jaish-e-Muhammed dilaporkan menjadi dalang disebalik serangan bom berani mati, dan India menuduh bahawa kerajaan Pakistan turut memainkan peranan dalam insiden itu, namun tuduhan tersebut dinafikan secara keras oleh Pakistan.

Sehari selepas serangan ke atas ‘kem militan’ itu, jet pejuang India dan Pakistan pada 27 Februari telah terlibat dalam pertempuran udara di sempadan Jammu dan Kashmir.

Dalam pertempuran itu, Paksitan berjaya menembak jatuh pesawat tempur India, menahan juruterbangnya, dan kemudian membebaskannya dalam usaha menjernihkan situasi tegang di antara kedua-dua negara.

TETAPI, BETUL KE TENTERA INDIA ADA TEMBAK JATUH JET PAKISTAN?

Sementara itu, kerajaan India dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa bahawa salah seorang juruterbangnya juga berjaya menembak jatuh sebuah jet F-16 milik Pakistan.

Kenyataan yang dikeluarkan menjelang pilihan raya India yang akan berlangsung tidak lama lagi berkata bahawa tembakan tersebut dilakukan oleh Komander Sayap, Abhinandan Varthaman yang membawa pesawat tempur MiG-21 Bison.

“Terdapat saksi dan bukti elektronik bahawa Pakistan mengerahkan pesawat F-16, dan F-16 itu telah ditembak jatuh oleh seorang juruterbang India,” ujar jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar.

Tetapi, adakah ia benar?

Memetik laporan majalah Foreign Policy yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dua pegawai kanan pertahanan AS yang mengetahui insiden itu secara langsung menyatakan bahawa kiraan telah dibuat ke atas semua jet F-16 milik Pakistan, dan tiada satu pun yang telah ‘hilang’.

Kerajaan Pakistan juga secara konsisten berkata bahawa ia tidak kehilangan satu pun jet F-16, dan sebaliknya telah menggunakan pesawat JF-17 yang menembak jatuh dua jet India.

“Tiada F-16 milik Pakistan ditembak jatuh oleh tentera udara India,” menurut satu kenyataan oleh tentera Pakistan.

ADAKAH BERITA KEJAYAAN ‘INDIA MENEMBAK JATUH JET PAKISTAN’ AKAN MEMPENGARUHI UNDIAN PILIHAN RAYA?

Vipin Narang, seorang profesor madya sains politik di MIT menjelaskan bahawa perkara ini mungkin tidak akan mempengaruhi pengundi-pengundi India.

Namun begitu, ia sebaliknya berpotensi menjejaskan usaha India untuk menghalang Pakistan pada masa akan datang.

“Berdasarkan maklumat semasa, ia dilihat menjadi semakin buruk untuk India. Ia dilihat seolah-olah India gagal memberi impak besar ke atas Pakistan, dan sebaliknya kehilangan pesawat dan helikopter miliknya dalam proses itu,” jelas Narang.

Sumber: Foreign Policy, Straits Times

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker