AntarabangsaIsu Semasa

NATO Adalah “Pertubuhan Yang Paling Kuat Dan Berjaya Di Dunia”

2019 menandakan ulang tahun ke-70 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara atau lebih dikenali sebagai “NATO“.

NATO yang ditubuhkan pada tahun 1949 ketika era Perang Dingin (Cold War) pada asalnya diasaskan oleh 12 buah negara iaitu Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Iceland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway, Portugal, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Pada hari ini, pertubuhan itu, secara keseluruhannya, sudah mempunyai 29 negara anggota, malah bakal menerima anggota baru iaitu Macedonia Utara.

“NATO adalah perikatan yang paling kuat dan paling berjaya dalam sejarah…kerana kita mampu berubah,” kata Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg.

Kata-kata beliau ternyata benar. Pada usia 70 tahun, organisasi ini masih kekal sebagai pertubuhan yang amat kukuh.

Kebanyakan perikatan-perikatan lain yang pernah diwujudkan di dunia tidak kekal. Sebagai contoh, perjanjian Rusia dengan Nazi hanya bertahan selama 2 tahun sahaja.

Selain itu, tiada satu pun daripada tujuh gabungan ketika Perang Napolean yang mampu bertahan lebih daripada 5 tahun.

Berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan oleh sebuah pusat pemikir AS, Brookings Institution pada tahun 2010, sebanyak 63 gabungan tentera yang besar sepanjang tempoh lima abad yang lalu mempunyai ‘jangka hayat’ purata selama 15 tahun sahaja.

Daripada kesemua gabungan itu, hanya sepuluh sahaja yang berjaya mencapai usia 40 tahun.

BANTERAS ANCAMAN SOVIET

Pada 40 tahun pertama NATO, pertubuhan itu berusaha keras dalam membanteras ancaman Kesatuan Soviet.

Peranannya pada waktu itu adalah untuk “mengeluarkan Rusia, memasukkan AS, dan menjatuhkan Jerman,” seperti yang dikatakan oleh setiausaha agungnya yang pertama, Lord Ismay.

Tetapi selepas komunisme runtuh, NATO tidak mengisytiharkan kemenangan dan ‘tutup kedai’, tetapi sebaliknya terus mengukuhkan kedudukannya dan membantu menstabilkan demokrasi-demokrasi baru di timur Eropah.

SERANGAN KE ATAS SATU ANGGOTA, ADALAH SERANGAN TERHADAP SEMUA

Seperti yang termaktub di bawah perjanjian pertubuhan itu, Perkara 5 menyatakan bahawa serangan bersenjata yang dilancarkan ke atas satu anggota NATO, adalah serangan ke atas semua negara anggota.

Namun, satu-satunya peristiwa yang menyaksikan pelaksanaan perkara tersebut adalah pada 12 September 2001, sehari selepas berlakunya tragedi 9/11 yang didakwa dilakukan oleh pengganas Al-Qaeda.

Tetapi selepas penguasaan penuh Rusia ke atas Crimea pada tahun 2014, NATO kembali memberi fokus terhadap ‘misi’ utamanya dalam membanteras ancaman daripada ‘jirannya’ di bahagian Timur.

Buat julung kalinya pada zaman ini, NATO perlu menangani krisis pertahanan dan pengurusan dalam satu masa yang sama.

 

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-70 “SEDERHANA” SAHAJA

Sambutan ulang tahun ke-70 NATO menyaksikan pertemuan dalam kalangan menteri-menteri luar negara anggota di Washington, DC Amerika Syarikat pada 4 April baru-baru ini.

Pertubuhan ini juga mahu mengelak konfrontasi yang pernah berlaku di sidang kemuncaknya pada Julai 2018, apabila Presiden AS, Donald Trump mengecam sekutu-sekutunya dalam NATO kerana tidak berusaha dengan cukup dalam isu pertahanan.

Malah, Trump turut mengugut bahawa sekiranya negara-negara anggota tidak meningkatkan usaha, AS akan pertimbang untuk keluar daripada NATO dan membawa haluan sendiri.

 

ADAKAH NATO AKAN TERUS KEKAL SELAMA-LAMANYA?

Selain itu, pertubuhan ini juga bimbang mengenai berapa lama lagi ia mampu ‘hidup’.

“Kita tidak mempunyai jaminan bahawa NATO akan kekal selama-lamanya,” kata Stoltenberg.

Lebih membimbangkan lagi, Trump juga menyatakan bahawa kadang kalanya, beliau gembira untuk melihat NATO runtuh.

Beliau juga dilihat tidak menyokong ikrar keselamatan bersama NATO, dan sebaliknya hanya melihat pertubuhan berkenaan sebagai “sebuah lagi perjanjian” yang hanya ‘mengikis’ wang cukai yang dibayar oleh rakyat AS.

 

 

Sumber: The Economist

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker