AntarabangsaIsu Semasa

Betul Ke China Hantar Tentera Ke Venezuela?

Minggu lepas, terdapat laporan-laporan yang mendakwa bahawa China telah mengerahkan 120 anggota angkatan tenteranya ke Venezuela untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan bekalan ketenteraan kepada pasukan tentera pimpinan kerajaan Presiden negara itu, Nicolas Maduro.

Difahamkan, China menghantar 65 tan bekalan perubatan, dan Naib Presiden Venezuela, Tareck El Aissami menyambut baik bantuan yang diberi sambil memuji perkongsian di antara Beijing dan Caracas yang “penting dan strategik.”

Selepas menghantar bekalan-bekalan berkenaan, kesemua anggota Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China itu dikatakan telah dipindahkan ke sebuah fasiliti ketenteraan Venezuela.

Tetapi, adakah dakwaan ini benar?

Memetik laporan media Rusia, RT, China telah menafikan laporan-laporan yang mendakwa ia menghantar 120 anggota tenteranya ke Venezuela berserta bantuan kemanusiaan.

“Saya tidak tahu dari mana anda mendapat maklumat ini atau untuk tujuan apa ia dihasilkan, tetapi saya boleh memberitahu anda ini: apa yang anda kata sememangnya tidak benar,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang.

“Pendirian kerajaan China tentang isu Venezuela adalah konsisten dan jelas,” tambahnya.

Shuang berkata, China membantah sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Venezuela dan mempercayai bahawa pihak kerajaan dan pembangkang negara tersebut perlu mencari penyelesaian politik menerusi dialog secara aman.

Laporan mengenai kedatangan tentera China di Venezuela muncul kurang daripada dua minggu selepas tentera Rusia tiba di sana.

Penghantaran kira-kira tentera Rusia ke Venezuela dilaksanakan di bawah perjanjian kerjasama di antara Moscow dan Caracas pada tahun 2001, dan ini ternyata membimbangkan Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, kakitangan tentera Rusia ditugaskan untuk menubuhkan sebuah fasiliti latihan helikopter tentera.

Walau bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump secara tegas berkata Rusia perlu “keluar dari Venezuela”, sambil memberi amaran bahawa “semua pilihan adalah terbuka” apabila bercakap tentang tindak balas yang boleh diambil oleh AS.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia, menegaskan bahawa penghantaran tenteranya ke sana dilakukan mengikut perlembagaan dan mematuhi semua aspek undang-undang.

Jurucakap Kremlin, Maria Zakharova turut menempelak Trump dan meminta Washington untuk “menunaikan janji-janjinya kepada masyarakat antarabangsa” dan keluar dari Syria.

Sumber: RT, Global Research

Show More

Related Articles

Back to top button