AntarabangsaIsu Semasa

Reiwa: Nama Era Baharu Imperial Jepun. Apa Maksudnya?

Mulai 1 Mei, Jepun akan memulakan era imperial baharu yang dinamakan ‘Reiwa’. Ia bakal digunakan oleh Putera Naruhito sebaik ayahandanya, Maharaja Akihito turun takhta pada akhir bulan ini sekali gus mengakhiri era ‘Heisei’.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mengumumkan nama baharu yang ditunggu-tunggu itu dengan menunjukkan papan bertuliskan aksara perkataan tersebut.

Related image

Kerajaan belum lagi mengeluarkan terjemahan rasmi erti nama itu, tetapi ia menggabungkan karakter Rei yang membawa maksud “perintah” atau “bertuah”, dan Wa bermaksud “damai” atau “keharmonian”.

Nama yang datang daripada teks kuno Jepun itu turut selaras dengan agenda Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang konservatif bagi menaikkan semangat kebangsaan.

Ia diambil daripada Manyoshu, satu koleksi puisi kuno, berbeza daripada nama-nama imperial sebelum yang kebanyakannya dipetik daripada teks China.

Apabila ditanya mengenai keistimewaan menggunakan nama dipetik daripada teks Jepun, Abe kata: “Ia satu koleksi yang mempamerkan budaya kita, yang mana kita patut merasa bangga.”

Orang ramai berkumpul di sekitar Jepun untuk menyaksikan siaran langsung pengumuman itu, ramai yang bersorak apabila ketua kabinet mengangkat papan dengan nama yang ditulis dalam kaligrafi hitam yang cantik.

Ia mungkin kelihatan biasa kepada orang luar, tetapi pengumuman nama era baru adalah peristiwa besar-besaran di Jepun, disertai dengan menunjukkan kaligrafi dan perayaan umum.

Reiwa menjadi pilihan selepas kerajaan mengambil masa berbulan-bulan mengkaji kertas cadangan daripada ahli akademik negara itu.

Cadangan-cadangan yang diterima kerajaan juga dibincangkan secara muafakat oleh sembilan orang ahli panel yang merangkumi golongan cerdik pandai antaranya bekas Pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun, Sadayuki Sakakibara, novelis terkena, Mariko Hayashi dan pemenang Anugerah Nobel yang juga saintis Shinya Yamanaka.

Image result for reiwa

Nama sesuatu era mesti mematuhi garis panduan yang ketat.

Ia hanya boleh terdiri daripada dua tulisan “kanji”, mudah dibaca dan ditulis, dan tidak menggunakan nama-nama biasa atau huruf pertama dari empat era terakhir: Heisei, Showa, Taisho dan Meiji.

Nama syarikat dan pilihan yang paling popular perlu dikecualikan, termasuk nama-nama yang dispekulasi secara meluas dalam talian.

Untuk mengelakkan kebocoran, ahli panel dikunci di bilik khas di pejabat perdana menteri tanpa sebarang alat komunikasi dan telefon mereka akan dirampas.

Tiada terjemahan rasmi yang menterjemahkan “Reiwa” tetapi Ryan Shaldjian Morrison, seorang pensyarah di Universiti Nagoya dan Pakar kesusasteraan Jepun, memberitahu AFP: “Pada hemat saya, ‘keharmonian dan ketertiban’ adalah terjemahan bahasa Inggeris yang paling sesuai.”

Jepun mempunyai hampir 250 zaman atau “gengo” sejak mengamalkan sistem ini pada abad ke-7, dan biasanya, satu era akan berlangsung sepanjang satu pemerintahan Maharaja.

Maharaja Akihito yang dilahirkan pada 1933 mewarisi takhta diraja Jepun pada 1989 menggantikan ayahandanya Maharaja Hirohito sekaligus bergelar pemerintah ke-125 dalam sejarah panjang keluarga diraja negara itu.

Baginda merupakan putera diraja pertama yang berkahwin dengan wanita kebanyakan, Michiko Shoda pada 1959.

Show More

Related Articles

Back to top button