Isu SemasaTempatan

Eh? Malaysia Sudah Tarik Diri Daripada Statut Rom?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada Jumaat, 5 April 2019 mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pengumuman tersebut dilakukan beberapa jam selepas UMNO Selangor berkata ia akan menghantar satu memorandum kepada Sultan Selangor bagi menzahirkan bantahan terhadap perkara itu, dengan mendakwa bahawa Statut Rom akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Terdapat banyak kekeliruan tentang Statut Rom, jadi kita tidak akan meneruskannya.

“Ini bukan kerana kita menentangnya, tetapi kerana kekeliruan politik tentang apa yang terkandung di dalamnya, yang dicetuskan oleh individu-individu yang mempunyai kepentingan,” kata Dr Mahathir.

ICC ‘MAHKAMAH PILIHAN TERAKHIR’

Statut Rom merupakan satu perjanjian di peringkat antarabangsa yang telah dipersetujui oleh wakil-wakil negara di dunia pada Julai 1998 dan kemudian dikuatkuasakan pada Julai 2002 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang berpangkalan di The Hague, Belanda.

Kuasa ICC hanya terhad untuk membicarakan empat jenayah besar iaitu:

1. Pembunuhan beramai-ramai (Genocide)

2. Jenayah terhadap kemanusiaan (Crimes against humanity)

3. Jenayah perang (War crimes)

4. Jenayah pencerobohan (Crimes of aggression)

Turut dikenali sebagai “mahkamah pilihan terakhir,” ICC hanya boleh mendakwa individu, dan bukan mana-mana kumpulan atau negara.

AMERIKA SYARIKAT, CHINA TIDAK TANDATANGANI STATUT ROM

Setakat 18 Mac, terdapat 122 buah negara di seluruh dunia yang menjadi ahli Statut Rom. Antara negara yang tidak menandatangani perjanjian ini terasuk Amerika Syarikat (AS), China, Rusia dan India.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani surat cara penyertaan Malaysia dalam Statut Rom pada 4 Mac lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra (Kementerian Luar), Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Sultan Ahmad Shah juga telah dimaklumkan tentang keputusan Kabinet untuk meratifikasikan perkara tersebut.

Pada 26 Disember tahun lalu, Dr Mahathir juga dilaporkan pernah memaklumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang menjadi pemangku YDPA pada waktu itu.

RAMAI PIHAK BANTAH PENYERTAAN MALAYSIA

Walau bagaimanapun, keputusan Malaysia untuk menyertai Statut Rom telah mengundang pelbagai reaksi, di mana kebanyakan pihak meluahkan kebimbangan mengenai impak ICC ke atas kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Pada bulan lepas, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Twitternya, turut berkata bahawa kerajaan tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja dalam keputusannya untuk menyertai Statut Rom.

Tunku Ismail yang lebih mesra dikenali sebagai TMJ menyatakan bahawa keputusan yang diambil kerajaan telah melemahkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Bukan itu sahaja, malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berpandangan bahawa kerajaan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menandatangani Statut Rom.

Untuk mengetahui mengetahui penjelasan pakar tentang bagaimana Statut Rom boleh menggugat kedudukan dan kuasa YDPA dan Raja-Raja Melayu, sila klik di sini.

“HANYA PERUNTUKAN YANG BAIK-BAIK SAHAJA AKAN DILAKSANAKAN”

Sebagai respon kepada pelbagai dakwaan tentang penyertaan Malaysia dalam Statut Rom, Dr Mahathir pada 24 Mac lalu berkata bahawa hanya “peruntukan yang baik-baik sahaja” akan digunapakai sekiranya negara meratifikasikan perjanjian itu.

“Kita mahu meratifikasi (Statut Rom) tetapi ia bergantung kepada keadaan di negara ini. Ada beberapa perkara yang mereka mahu di bawah Statut Rom yang kita tidak boleh laksanakan.

“Sebagai contoh Statut Rom memberi kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan semua benda. Kini ada lelaki berkahwin dengan lelaki, perempuan berkahwin dengan perempuan, dan saya sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan selepas berkahwin.

“Mereka ini orang yang pelik dan kita tidak mahu jadi pelik seperti mereka. Itu kita tidak boleh terima. Kita hanya mahu lakukan perkara yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

YDPA SUDAH DIMAKLUMKAN, TETAPI MAJLIS RAJA-RAJA TIDAK DIRUJUK

Awal bulan ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri memfailkan sebuah Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen, menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Pada Jumaat pula, beliau menyatakan bahawa UMNO Selangor sebulat suara bersetuju bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana menandatangani perjanjian tersebut tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Tegas beliau, walaupun kerajaan sudah memaklumkannya kepada YDPA, ia tidak bermakna Majlis Raja-Raja telah dirujuk.

“Agong dan Majlis Raja-Raja adalah dua entiti berbeza, sama seperti perdana menteri dan kerajaan.

“Perkara 38(4) menyatakan bahawa sebarang undang-undang yang menyentuh kepentingan Raja-Raja Melayu tidak boleh dilaksanakan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

“Menyetujui Statut Rom juga bercanggah dengan Perkara 160(2) yang menyentuh kepentingan orang Melayu,” jelasnya.

Tambah Ismail, UMNO Selangor menentang Statut Rom kerana ia menggugat imuniti Raja-Raja Melayu.

“Perlembagaan kita menetapkan bahawa Raja-Raja Melayu yang melakukan salah laku akan dibicarakan dalam mahkamah khas, tetapi dengan penandatanganan Statut Rom, Raja-Raja Melayu boleh dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan segera.

“Ini akan membolehkan campur tangan asing dalam kedaulatan Raja-Raja Melayu,” ujar beliau.

Sumber: The Star, Asia News Network, Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button