Gaya HidupKesihatan

Setiap Seorang Dari 33 Orang Di Malaysia Berisiko Menghidap Ini

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang kanser usus besar yang menyerang 1 daripada 33 orang di Malaysia dan menjadikannya barah kedua paling biasa dihidapi hari ini.

Sebanyak 4,000 kes baru didiagnosis setiap tahun di negara ini, malah 700,000 pesakit setiap tahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, kaum Cina mencatatkan bilangan tertinggi, diikuti India dan Melayu. Risiko mendapat kanser usus bagi lelaki dan wanita hampir sama, tetapi barah yang menyerang bahagian rektum lebih banyak dihadapi wanita.

Apabila bercakap mengenai usus besar, ia sebenarnya terdiri dari kolon dan rektum.

Usus besar memainkan peranan penting dalam proses pembuangan najis.

5 hingga 6 kaki pertama usus besar adalah kolon dan rektum adalah 6 inci panjang yang terakhir sebelum dubur.

 

Faktor Risiko Kanser Kolon dan Rektum

Terdapat beberapa faktor yang akan meninggikan risiko untuk mendapat kanser kolon dan rektum.
Antara faktor tersebut ialah :

1. Usia: lebih 90% kes di Malaysia berlaku pada usia lebih 40 tahun.

2. Polip: polip jenis adenoma boleh menyebabkan kanser.

3. Penyakit radangan usus : seperti “ulcerative colitis”(luka dan radangan pada usus) dan “Crohn’s disease” (radangan pada usus,usus menebal dan luka) membentuk radangan yang berpanjangan.

4. Sejarah kanser: wanita yang mendapat kanser ovari, rahim atau payudara berkemungkinan mendapat kanser kolon dan rektum.

5. Sejarah keluarga kanser: ahli keluarga mendapat kanser kolon dan rektum, terutama sekali bila kanser didapati pada usia sebelum 60 tahun.

6. Pemakanan: makanan tinggi lemak dan kurang serat.

7. Merokok: kajian menunjukan perokok lebih ramai mati akibat kanser kolon dan rektum berbanding dengan individu yang tidak merokok.

8. Ubat penahan sakit bukan steroid: contoh aspirin boleh kurangkan risiko pembentukan kanser kolon dan rektum hasil dari sesetengah kajian.

9. Permakanan dan ubatan: makanan kaya dengan buah-buahan, sayuran dan kurang daging merah mungkin mengurangkan risiko kanser usus dan dubur. Sesetengah kajian mendapati pengambilan ubatan folic acid dan kalsium boleh mengurangkan risiko kanser kolon dan rektum.

10.Berat badan dan aktiviti fizikal: individu dengan cara hidup yang tidak aktif dan individu lebih berat badan atau obesiti meningkatkan risiko kanser kolon dan rektum.

 

Simptom Dan Gejala

1. Keluar darah melalui dubur bergantung kepada di mana usus itu berada. Jika kanser terjadi di bahagian berdekatan dubur, darah yang keluar berwarna merah terang dan cair. Jika berlaku di sebelah kanan, darah biasanya bercampur najis dan berwarna lebih pekat.

2. Perubahan tabiat buang air besar. Kadangkala pesakit mengalami cirit-birit, diselang seli dengan keadaan normal juga sembelit. Pesakit juga kadangkala tidak puas buang air besar iaitu terasa ingin membuang air besar tetapi tiada apa yang keluar.

3. Sakit perut lebih kepada bahagian kiri abdomen.

4. Berat badan berkurangan tanpa sebab.

5. Muka pucat, kurang darah (anemia), letih dan tidak bermaya.

6. Kurang 10 peratus pesakit mengalami penyumbatan usus.

 

Diagnosis

Terdapat beberapa siri ujian yang perlu dilakukan untuk membuat diagnosis kanser kolon dan rektum dan untuk mengesan samada berlaku perebakan ke organ lain sebelum pilihan rawatan diambil

1. Faecal Occult Blood Test (FOBT) iaitu ujian ringkas bagi mengenal pasti tanda awal kehadiran sel darah merah di dalam najis pesakit.

2. Double Contrast Barium Enema iaitu memasukkan sejenis cecair ke dalam dubur pesakit, kemudian diadakan ujian sinaran-X untuk mengesan kanser usus.

3. Colonoscopy iaitu memasukkan alat yang fleksibel dengan di depannya ada kamera melalui dubur untuk meninjau usus besar dan mengambil sampel tisu

5. Virtual Colonoscopy iaitu menggunakan komputer dan CT Scan. Pesakit berbaring di dalam ruang khusus untuk imbasan dan komputer akan melihat kemungkinan kehadiran kanser. Bagaimanapun, alat ini belum digunakan dengan meluas.

6. Ujian imejan
• CT scan – kesan perebakan kanser ke paru paru, hati dan organ lain.
• X-ray – untuk kesan perebakan ke paru paru.

 

Tahap/ Peringkat Kanser

Tahap kanser adalah cara menerangkan tentang kedudukan kanser berhubung lokasi dan perebakan Dengan mengetahui tahap, ia memberi panduan kepada doktor untuk menentukan rawatan dan meramalkan peluang untuk sembuh.
• Tahap I : Kanser terletak di lapisan dalam usus atau dubur
• Tahap II: Kanser merebak melalui dinding usus atau dubur
• Tahap III: Kanser merebak ke nodus limfa berhampiran
• Tahap IV: Kanser merebak ke bahagian badan yang jauh seperti hati dan paru paru.

Rawatan

Pembedahan merupakan satu-satunya peluang untuk menyembuhkan kanser usus besar ini, namun demikian ianya terhad untuk kes-kes tertentu yang dikesan pada peringkat awal. Cara pembedahan bergantung pada lokasi ketumbuhan.

Jika kanser terlalu dekat dengan dubur, pesakit mungkin memerlukan beg kolostomi sementara dan kolon disambung semula selepas beberapa bulan. Lebih awal kanser dikesan, lebih cerah peluang pesakit hidup untuk jangka masa lebih panjang.

Selepas pembedahan, pesakit akan dirujuk kepada pakar onkologi bagi menentukan samada pesakit perlu mendapat rawatan susualan radioterapi atau kemoterapi bergantung kepada tahap kanser tersebut semasa mendapat rawatan.

 

Bolehkah Kanser Usus Besar Dicegah?

Walaupun faktor risiko utama kanser kolon ialah gen anda, beberapa bukti menunjukkan ia boleh dicegah.

Antaranya, anda boleh menambah pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, mengamalkan diet kalori rendah, berhenti merokok, mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol dan selalu bersenam terbukti dapat mencegah kemungkinan mendapat kanser.

Jika anda mempunyai sejarah kanser kolon dalam keluarga, risiko anda mendapat kanser kolon adalah tinggi dan ujian pemeriksaan awal oleh doktor adalah sangat penting.

 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker