Sukan

McGregor Tak Jadi Bersara Setelah Perbalahan di Twitter Dan Hina Isteri Khabib?

Baru seminggu yang lalu Connor McGregor, 30, mengumumkan persaraannya di laman sosial Twitter. Tetapi hari ini dia memberi isyarkat kemungkinan besar akan menarik balik hasrat untuk bersara.

Dalam status Twitter miliknya dia berkata,”Saya mahu terus mara dengan peminat-peminat saya daripada semua kepercayaan dan latar belakang.

“Semua kepercayaan mencabar kita untuk menjadi yang terbaik. Ia dunia yang satu dan satu untuk semua. Sekarang jumpa anda di Octagon.”

“Isteri anda adalah seorang tuala”

Status ini muncul selepas atlet dari Ireland itu mengecam Khabib Nurmagomedov di Twitter dengan mengatakan “Isteri anda adalah seorang tuala”.

Namun, tweet yang disertakan dengan gambar Khabib dan isterinya ketika majlis perkahwinan mereka itu telah dipadam oleh McGregor.

Gambar yang disertakan pada tweet McGregor. – Foto media sosial

 

Khabib Sempat Balas Penghinaan McGregor Terhadapnya

Khabib bagaimanapun sempat membalas penghinaan berkenaan dengan mengingatkan McGregor tentang tuduhan serangan seksual dihadapi seterusnya itu di Ireland , seperti dilaporkan New York Times.

“Anda seorang hipokrit yang tidak bertanggungjawab di atas tindakan anda.

“Keadilan akan ditegakkan terhadap anda. Kita akan lihat,” kata Khabib.

Selain Khabib yang berang dengan kenyataan itu, ia turut mendapat kecaman hebat oleh netizen di serata dunia yang menyifatkan ia sebagai hinaan terhadap Islam dan berbaur perkauman.

 

“Situasi berterusan ini sudah sampai ke tahap yang tidak boleh diterima” – Presiden UFC

Presiden UFC, Dana White turut menggesa kedua-dua pihak menarik balik kenyataan mereka.

“Saya menyedari pertelingkahan di media sosial di antara Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor.

“Situasi berterusan ini sudah sampai ke tahap yang tidak boleh diterima. Justeru, kami mengambil langkah perlu untuk mendekati kedua-dua kem atlet dan situasi ini akan ditangani oleh semua pihak secara dalaman.”

 

“Kamu keterlaluan Conor!” -Pengurus Khabib

Selain Khabib, Pengurusnya, Ali Abdelaziz turut ‘menyerang balas’ Conor McGregor dalam Tweet terbaharunya.

Ali yang terkenal dengan kelantangannya berkata “Lelaki ini menghina isteri seseorang dan mempermainkan agama dan kepercayaannya. Dia tidak sedar yang dia mengecam 1.5 bilion umat Islam.

“Jangan sentuh hal agama dan keluarga. Kamu keterlaluan Conor, kita lihat apa media akan katakan sekarang,” katanya.

 

McGregor Seperti Isteri Cemburu

Khabib juga sebelum itu menyifatkan, keputusan McGregor untuk bersara sebagai petarung MMA adalah seperti seorang isteri cemburu yang selalu berkata “saya akan tinggalkan kamu”, tetapi akhirnya kembali ke pangkuan suami.

Memetik laporan RT Sport News, Khabib, 30 tahun, dipercayai merujuk kepada pengumuman persaraan oleh McGregor pada 2016 tetapi akhirnya kembali ke gelanggang Octagon selepas empat bulan untuk bertemu dengan Nate Diaz.

 

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir Khabib dan McGregor bertarung ialah pada Oktober tahun lalu, di mana petinju Ireland itu tewas menerusi ‘submission’ pada minit 3.03 pusingan keempat.

Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button