MalaysiaPolitik

KJ Buka Mulut Tentang Isu Hangat Terkini Dalam Politik

Dalam wawancara bersama R.AGE The Star, Khairy Jamaluddin membuka mulut berkenaan beberapa isu panas yang sedang berlaku dalam negara. Berikut adalah antara intipati wawancara terbabit:

> Adakah Barisan Nasional bergerak ke arah yang betul?

Umno sedang bergerak untuk bekerjasama dengan PAS kerana kebangkitan politik Melayu dan Islam. Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang mempromosikan kerjasama itu kerana ia menghasilkan keputusan sekarang.

Tetapi bagi saya, melihat jangka panjang, kita tidak boleh menolak pengundi Cina dan India selama-lamanya kerana saya merasakan bahawa kerajaan yang lebih stabil adalah salah satu yang disokong oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

> Apa markah kerajaan Pakatan Harapan?

Saya bagi “D”. Bukan “F”, kerana saya fikir ada perkara-perkara tertentu yang telah mereka lakukan, tetapi tentunya bukan “C” kerana janji-janji manifesto mereka belum terlaksana.

Saya menjaga bahagian kewangan dalam Kabinet bayangan dan ramai ahli perniagaan memberitahu saya bahawa mereka tidak membuat pelaburan bukan sahaja kerana masalah ekonomi global, tetapi kerana kekurangan arah dan kejelasan dari kerajaan.

Kos sara hidup tidak bertambah baik. Walaupun sudah sembilan bulan, tidak ada tanda-tanda bahawa Pakatan mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Rakyat boleh berhujah bahawa Umno dan PAS mencetuskan ketegangan kaum dan agama, tetapi anda juga tidak boleh menafikan bahawa kerajaan Pakatan sendiri yang menimbulkan ketidakpuasan ini dalam kalangan orang Melayu.

Mereka mahukan banyak perubahan, bukan hanya ekonomi tetapi juga dalam masyarakat. Tahap keyakinan rakyat terhadap kecekapan menteri sangat rendah. Terdapat beberapa menteri yang bagus dan ada yang saya fikir masih memerlukan banyak bantuan.

> Menteri mana yang mengagumkan anda setakat ini?

Saya dapat melihat bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bertugas dengan baik.

Saya nilai berdasarkan interaksi mereka di Parlimen, maka jika Anthony atau seseorang seperti Gobind menjawab soalan, mereka menjawab dengan profesional dan terus, manakala yang lain merapu, mengelak atau menyerang.

> Apa pendapat anda tentang Icerd?

Ia boleh dilakukan, tetapi perlu melalui banyak tentangan orang ramai. Kita perlu faham bagaimana ratifikasi ini berfungsi dan sama ada ia adalah masa yang tepat atau tidak kerana Icerd adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh banyak orang Melayu dan Islam.

Kerajaan Pakatan bertindak terburu-buru. Saya sudah berikan amaran kepada kerajaan bahawa ini akan berlaku, tetapi mereka tidak ambil peduli dan sebelum konsultasi pertama Icerd berlaku, beberapa demonstrasi telah meletus di seluruh negara.

> Adakah anda fikir kedudukan istimewa orang Melayu terancam?

Saya tidak fikir kedudukan istimewa orang Melayu berada dalam ancaman, tetapi isu-isu yang sensitif terhadap masyarakat Melayu telah menjadi permainan politik semasa.

Terdapat banyak lagi retorik terhadap Islam dan agenda Melayu, dan ini merupakan kebimbangan yang sangat nyata di kalangan masyarakat Melayu.

> Apa pendapat anda tentang peningkatan populariti Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosial?

Sebagai seorang ahli politik, beliau berhak meneruskan popularitinya. Setiap ahli politik perlu relevan dan popular kerana kami menjalankan tugas berdasarkan bilangan orang yang suka dan mengundi kami, jadi jelas dia cuba menjenamakan semula dan mencipta semula dirinya.

Bagi saya, saya melihatnya sebagai seorang lelaki yang cuba menyelamatkan warisannya, dan dia mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana dia adalah seorang ahli politik. Tetapi hakikatnya, saya fikir dia mempunyai masalah yang lebih besar.

>Jika anda seorang PM, apa yang akan anda lakukan?

Sekiranya saya menjadi perdana menteri, saya pasti akan menjadi perdana menteri bagi semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tidak menyokong atau tidak mengundi saya, kerana saya rasa jawatan ini hanya berfungsi jika anda cuba mendapatkan yang terbaik untuk semua orang.

Jika anda berpecah dari segi etnik, agama dan politik, anda tidak mendapat yang terbaik dari rakyat. Oleh itu, sesiapa yang menjadi perdana menteri mesti cuba menyatukan negara ini dengan apa cara sekali pun.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker