Isu SemasaPolitikTempatan

Kerajaan Perlu Faham Mengapa Kemarahan Rakyat Semakin Meningkat

Euforia kemenangan julung kali Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan Mei tahun lepas kini semakin pudar.

Prestasi dan kredibiliti kepimpinan kerajaan baru turut dipersoalkan kerana masih gagal untuk melaksanakan janji-janji utama yang terkandung di dalam manifesto PRU14 seperti memansuhkan tol, menangguhkan pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga pendapatan mencecah RM4,000 dan sebagainya.

Pelbagai pihak, termasuk pihak pembangkang telah memberi ‘gred’ yang rendah pada prestasi pentadbiran PH.

Walau bagaimanapun, apa yang paling penting sekali adalah penilaian rakyat kerana mereka adalah penentu utama sama ada sesuatu kerajaan itu akan terus kekal atau tidak.

Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, kegembiraan atau “feel good factor” daripada PRU14 semakin cepat menghilang, dan sebaliknya digantikan dengan pelbagai aduan dan rintihan yang semakin meningkat.

“Kerajaan Pakatan perlu memahami mengapa kemarahan rakyat semakin meningkat. Anda perlu jujur dan terbuka tentang kegagalan yang dihadapi.

“Pada saya, kita perlu memberi perhatian kepada aduan tentang kos sara hidup dan juga ketidakupayaan kerajaan untuk menunaikan janji-janji manifestonya.

“Pakatan menaburkan terlalu banyak janji dalam jangka masa yang amat singkat,” katanya dalam satu temubual ekslusif bersama The Star baru-baru ini.

JANGAN LAYAN RAKYAT SEPERTI “ORANG BODOH”

Daim berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat secara jelas bahawa sesetengah janji berkenaan memerlukan masa yang lebih untuk dilaksanakan.

Kerajaan juga dinasihatkan untuk mengadakan lebih banyak dialog dan berkomunikasi dengan rakyat demi menangani segala masalah ini serta memberi jaminan bahawa segala aduan diberi perhatian dan akan ditangani.

“Saya mempunyai kepercayaan sebenar kepada rakyat, mereka lebih bijak daripada anda fikirkan.

“Jika anda jujur dengan mereka, mereka akan memahami. Jangan ambil kesempatan terhadap rakyat. Rakyat tidak suka jika anda melayan mereka seperti orang bodoh,” tegas Daim. Q

TIDAK SEMUA ORANG “MEMENTINGKAN ORANG LAIN”

Daim turut mendedahkan bahawa berlaku masalah perkongsian kuasa dalam kalangan anggota Kabinet (Jemaah Menteri) dan parti komponen PH.

Namun, perkara ini hanyalah “masalah sementara.”

“Ia adalah sifat biasa seorang manusia apabila anda tidak memegang kuasa, anda sanggup berkongsi segala-galanya dengan semua orang. Tetapi hakikatnya, apabila anda memperoleh kuasa itu, sikap murah hati anda juga akan pudar.

Jelas bekas Menteri Kewangan itu lagi, kerjasama dalam gabungan Barisan Nasional (BN) telah dibina selama bertahun-tahun, manakala gabungan PH pula masih lagi terlalu baru.

Oleh yang demikian, isu perkongsian kuasa akan timbul memandangkan tidak semua orang mempunyai nilai altruistik (mementingkan orang lain) yang tinggi.

“Tetapi, Kabinet mempunyai perwakilan yang sama rata dari setiap parti komponen. Tidak seperti Barisan, Pakatan tidak mengamalkan perwakilan berkadar. Semua anggota adalah sama rata,” ujar beliau.

SIAPA CALON YANG IDEAL UNTUK GANTIKAN TUN M SEBAGAI PM?

Enggan menyatakan secara terperinci, Daim berkata bahawa individu yang meraih sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen (MP) adalah calon yang layak menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kata beliau, “perkara ini sudah pun diputuskan” – merujuk kepada keputusan Dr Mahathir yang berhasrat untuk menyerahkan kuasa kepada bekas anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak faham mengapa perkara ini terus dibangkitkan. Kita mempunyai beberapa individu yang gemar mencetuskan ketidakstabilan.

“Biarlah kita memberi tumpuan kepada ekonomi dan menangani isu-isu supaya dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia,” tegasnya.

 

‘PERKAHWINAN’ UMNO DAN PAS TIADA MASALAH, TETAPI…

Kerjasama di antara UMNO dan PAS tidak ada salahnya.

Bagaimana pun ujar Daim, masalah mula timbul apabila kerjasama tersebut hanya untuk memperjuangkan bangsa dan agama tertentu sahaja.

“Kerjasama itu tidak menjadi masalah – tetapi perjuangan kerjasama itu adalah masalahnya.

“Apabila kita mencapai satu tahap di mana pengundi membuang undi berdasarkan kaum dan agama dan bukan nilai-nilai universal, maka kita berada dalam masalah yang amat besar. Dan inilah apa yang ditunjukkan oleh (kerjasama) PAS-UMNO,” tambah beliau.

PH MASIH TERLALU ‘MUDA’

Daim berpandangan bahawa gabungan Pakatan Harapan masih lagi terlalu muda.

Justeru, pemimpin-pemimpin PH perlu mencari matlamat serta prinsip sama yang boleh diperjuangkan oleh semua parti komponennya.

“Pakatan perlu menumpukan pada kekuatannya – komitmennya kepada demokrasi dan janji-janjinya untuk mengukuhkan institusi-institusi perlembagaan.

“Selepas insiden 13 Mei, kita telah mengamalkan Rukun Negara. Jika kita mematuhi semua prinsip Rukun Negara, kita tidak akan menyimpang jauh,” katanya.

 

Sumber: The Star

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker