AntarabangsaIsu Semasa

India: WhatsApp Lancar Perkhidmatan Baru Perangi Berita Palsu – Checkpoint Tipline

Aplikasi WhatsApp pada Selasa, 2 April 2019 telah melancarkan sebuah perkhidmatan baru yang dikenali sebagai “Checkpoint Tipline” bagi membolehkan rakyat di India menyemak kesahihan sesuatu berita atau maklumat.

Perkhidmatan ini diperkenalkan dalam usaha memerangi gejala berita palsu yang berleluasa menjelang pilihan raya negara itu yang akan berlangsung pada bulan ini.

Dalam satu kenyataan, WhatsApp berkata bahawa ia bekerjasama dengan sebuah syarikat startup bernama Proto, untuk menentukan sama ada mesej-mesej yang dihantar menerusi aplikasi itu adalah benar, palsu, mengelirukan, atau dipertikaikan.

Kedua-dua syarikat itu juga akan membina sebuah pangkalan data bagi kandungan-kandungan tersebut untuk memahami kesalahan/ketidaksahihan sesuatu maklumat yang tersebar.

Difahamkan, pelancaran perkhidmatan ini juga dilaksanakan selepas WhatsApp menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang mendakwa bahawa aplikasi itu digunakan sebagai platform untuk menyebarkan maklumat palsu, sementara syarikat-syarikat media sosial lain di seluruh dunia bertungkus-lumus berusaha membanteras gejala itu, khususnya ketika waktu-waktu sensitif seperti pilihan raya.

Di India, terdapat lebih daripada 200 juta pengguna WhatsApp, dan penyebaran fitnah dan maklumat palsu telah mencetuskan pelbagai insiden yang tidak diingini, termasuk pembunuhan.

Pada Isnin, gergasi media sosial, Facebook Inc yang memiliki WhatsApp berkata, ia telah membuang 712 akaun dan 390 laman di India dan Pakistan kerana “tingkah laku yang tidak betul”.

Kebanyakan akaun dan laman yang dibuang dilaporkan berkaitan dengan parti pembangkang India, Parti Kongres, dan selebihnya berhubung kait dengan tentera Pakistan.

WhatsApp turut menghadapi cabaran yang serupa ketika pilihan raya Brazil pada tahun lepas, apabila ahli-ahli politik didakwa menyebarkan maklumat palsu menggunakan aplikasi tersebut.

Checkpoint Tipline dikatakan boleh menerima mesej dalam bentuk gambar dan video, serta teks dalam Bahasa Inggeris dan empat bahasa serantau lain.

Dalam pada itu, parti-parti politik utama India didakwa mempunyai strategi canggih untuk mewujudkan maklumat palsu, termasuk menerbitkan gambar dan video palsu yang sudah dimanipulasi.

Hal ini sekali gus meletakkan Facebook, yang enggan menyekat kebebasan bersuara, dalam keadaan yang ‘kekok’.

Justeru sejak tahun lepas, Facebook telah bergantung kepada dua organisasi bebas, iaitu sebuah syarikat tempatan bernama “Boom” dan juga agensi berita terkemuka, Agence France-Presse (AFP), untuk menyemak dan memeriksa kesahihan terbitan di India setiap hari.

Dua bulan lepas pula, Facebook menambah lima lagi organisasi untuk membantunya.

Fasa pertama pilihan raya India dijadualkan untuk bermula pada 11 April, dan keputusan akhir dijangka akan dikeluarkan pada 23 Mei.

Sumber: NY Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker