Sukan

Siapa Yang Bakal Mara Ke Pusingan Ketiga Piala FA?

Saingan pusingan kedua Piala FA 2019 akan mula membuka tirainya hari ini dengan 30 pasukan membabitkan 15 perlawanan bakal berentap sesama sendiri bagi merebut tiket ke pusingan ketiga.

Piala FA Malaysia yang merupakan pertandingan bola sepak kalah mati yang dipertandingkan Persatuan Bola Sepak Malaysia.

JDT Bernasib Baik Untuk Dapat Slot Pengecualian Piala FA

Pada awal bulan Mac yang lalu undian pusingan kedua Piala FA telah berlangsung di Pusat Seni Persembahan Damansara (DPAC) dengan wakil negara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT), mendapat undian pengecualian untuk terus mara ke pusingan ketiga walaupun mereka tersingkir di tangan Pahang dalam suku akhir edisi lalu.

Keputusan itu, bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya JDT bernasib baik untuk mengisi slot FA 3 (slot pengecualian) berdasarkan cabutan undi yang dilakukan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam.

 

Pahang Mendapat Laluan Mudah Kerana Menentang Pasukan Amatur?

Juara bertahan, Pahang, pula mendapat laluan mudah apabila diundi menentang pasukan amatur, PIB FC.

Juara lima kali, Selangor, berdepan ranjau berliku dengan dijadual berdepan Kelantan, yang kali terakhir menjulang piala itu pada 2013.

Kedah pula akan menantikan cabaran pendatang baru Liga Perdana, Selangor United.

Secara keseluruhan, 30 pasukan akan berentap dalam 15 perlawanan pusingan kedua bulan depan.

 

Satu Pasukan Amatur Sudah Mengesahkan Tiket Ke Pusingan Ketiga Piala FA

Namun, satu pasukan amatur sekurang kurangnya sudah mengesahkan tiket ke pusingan ketiga apabila Jerantut FA diundi bertemu JBFA dan undian sekali lagi akan dijalankan pada pusingan ketiga bagi menentukan lawan masing masing.

Sementara itu, ketua jurulatih Tun Razak FC yang juga legenda bola sepak negara, Azman Adnan mengakui anak buahnya begitu menanti-nantikan aksi bertemu Kuala Lumpur dan menyifatkan pertembungan itu sebagai impian menjadi kenyataan.

“Barisan pemain saya begitu gembira kerana mereka memang mahu bertemu dengan pasukan Liga Super dan mahu merasai pengalaman itu. Bukan senang untuk mereka mendapat pengalaman ini apatah lagi beraksi di stadium besar.

“Pasukan ini beraksi dalam liga amatur M3 dan hanya berlatih tiga kali seminggu kerana mereka semua bekerja. Pada saya untuk sampai ke tahap ini adalah satu pencapaian yang baik,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker