AntarabangsaIsu Semasa

Rupa-Rupanya, Ini Sebab Mengapa AS Gantung Penghantaran Peralatan Jet Pejuang F-35 Kepada Turki

Pentagon baru-baru ini telah menggantung penghantaran peralatan-peralatan berkaitan jet pejuang F-35 buatan syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin kepada Turki.

Langkah ini dilaksanakan berikutan kenyataan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang berkata bahawa Ankara komited dengan perjanjian untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu canggih buatan Rusia, S-400, dan sudah membincangkan tarikh penghantarannya.

Seorang jurucakap kerajaan AS mengesahkan bahawa penghantaran peralatan latihan F-35 ke Turki telah digantung.

“Sementara menunggu keputusan Turki untuk melepaskan penghantaran S-400, penghantaran dan aktiviti berkaitan dengan keupayaan operasi F-35 Turki telah digantung sementara dialog tentang perkara mustahak ini diteruskan bersama Turki,” kata jurucakap itu.

Namun, AS akan menarik balik sekatan ini sekiranya Turki membatalkan hasrat untuk menerima penghantaran S-400 itu.

Sebelum ini, AS telah memberi amaran berkali-kali kepada Turki bahawa S-400 yang dibeli olehnya dari Rusia mampu memintas sistem keselamatan F-35.

Memetik laporan media antarabangsa, Turki adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan juga menjadi rakan kongsi pengeluar dalam pembinaan jet pejuang halimunan itu.

Walau bagaimanapun, negara itu masih kekal dengan pendirian tegasnya untuk meneruskan pembelian S-400.

Perselisihan pendapat berhubung isu ini adalah konflik diplomatik terkini yang berpotensi menjejaskan hubungan AS-Turki.

Kedua-dua buah negara berkenaan sudah pun tidak sehaluan dalam dasar Timur Tengah mereka, termasuk peperangan di Syria dan sekatan yang dikenakan oleh AS ke atas Iran.

Ankara juga telah menuntut agar Washington menghantar pulang Fethullah Gulen, seorang bekas Imam warga Turki yang dituduh sebagai dalang disebalik cubaan rampasan kuasa beberapa tahun lalu.

Tindakan AS menggantung penghantaran peralatan F-35 ke Turki dijangka akan merumitkan lagi lawatan Cavusoglu ke Washington pada minggu ini untuk menghadiri sidang kemuncak NATO.

Bukan itu sahaja, malah AS juga sedang membuat pertimbangan sama ada akan membuang terus Turki daripada pengeluaran F-35 atau tidak.

Difahamkan, gear pendaratan, skrin paparan kokpit, dan badan pesawat tempur itu dibina di Turki.

Sementara itu, Washington masih cuba untuk memujuk Ankara untuk membatalkan hasrat membeli S-400 dengan menawarkan diskaun bagi sistem anti-peluru berpandu Patriot buatan AS yang mahal.

Turki menunjukkan minat untuk membeli sistem Patriot itu, tetapi pada masa yang sama enggan membatalkan niat memiliki S-400.

Sumber: Al-Jazeera, CNN

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button