Isu SemasaPolitikTempatan

Tun Daim Dedahkan ‘Kegagalan Utama’ Barisan Kepimpinan Kerajaan Baru

Pemerintahan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini hampir memasuki 11 bulan.

Ketika kemenangan julung kali PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, rata-rata rakyat Malaysia turut merasai euforianya, dengan harapan kepimpinan kerajaan baru ini dapat menunaikan manifesto-manifesto utamanya dan membawa negara ke arah yang lebih baik.

Namun, euforia itu kini semakin pudar dan rakyat juga mula mempersoalkan kredibiliti kepimpinan PH kerana masih tiada petanda sebarang perubahan besar dilaksanakan.

Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan manifesto-manifesto PH akan memakan masa, tetapi apa yang mencetuskan kegusaran dan kegelisahan rakyat adalah kerana mereka tidak mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan semasa negara yang sebenar.

KEGAGALAN MENTERI UNTUK BERKOMUNIKASI DENGAN UMUM

Mengulas tentang perkara ini, bekas Menteri Kewangan yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata bahawa tanggungjawab untuk berkomunikasi dengan rakyat tidak boleh bermula dan berhenti dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja.

Jelas beliau, semua orang hanya bergantung kepada Dr Mahathir sahaja untuk menjelaskan keadaan negara, manakala anggota-anggota pentadbiran yang lain pula tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya.

“Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama Kabinet (Jemaah Menteri). Semua orang perlu memberi penjelasan, tetapi di sinilah kegagalannya. Ia adalah kegagalan komunikasi,” katanya dalam satu temubual bersama The Star baru-baru ini.

Setiap minggu, Daim akan menjelajah ke negeri-negeri di Malaysia untuk mendapatkan pandangan rakyat tentang prestasi kerajaan baru.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, kebanyakan rakyat kurang berpuas hati dengan pentadbiran masa kini.

“Setiap hari Ahad saya akan turun padang. Hari ini Kedah. Ahad lepas, Perak. Sebelum itu, Johor. Di antara itu, saya berada di Sabah dan syaa telah pergi ke hampir setiap negeri.

“Maklum balas (rakyat) adalah kerajaan tidak menunaikan janji-janjinya tentang manifesto. Apa yang saya tidak faham adalah mengapa menteri-menteri tidak turun padang untuk menjelaskan bahawa mereka menyediakan manifesto itu dengan bergantung kepada angka dan statistik kerajaan terdahulu pada waktu itu,” ujarnya.

MANIFESTO AKAN DITUNAIKAN, TETAPI…

Walau bagaimanapun, Daim memberi jaminan bahawa segala janji yang terkandung di dalam manifesto PH akan ditunaikan, tetapi ia akan memakan masa.

Beliau berkata, menteri-menteri baru perlu menggunakan segala yang ada, terutamanya kakitangan mereka, untuk berkomunikasi bersama umum dengan lebih baik.

“Mereka perlu menggunakan setiausaha akhbar, pasukan peribadi dan setiausaha sulit. Ini adalah pasukan utama yang akan kembali semula kepada umum. Inilah apa yang kita lakukan, tetapi tidak dilakukan oleh mereka (menteri).

“Kita juga memerlukan masa untuk membangunkan perbendaharaan agar kita mempunyai lebih banyak wang. Kita akan menunaikannya (janji-janji dalam manifesto). Kami meminta maaf di atas kelewatan. Ia boleh dilaksanakan,” jelasnya.

ISU PELANTIKAN INDIVIDU BUKAN MELAYU MEMEGANG JAWATAN BESAR

Satu lagi isu yang dipersoalkan oleh sesetengah rakyat adalah pelantikan individu bukan Melayu dalam memegang jawatan-jawatan besar.

Isu ini perlu diperjelaskan kepada umum, dan Daim berpandangan bahawa ia bukan tentang latar belakang seseorang individu itu, tetapi tentang siapa yang mampu melaksanakan tugas dengan baik.

“Sekarang kita meletakkan Cina, bukan Islam sebagai pengerusi. Pandangan saya amat mudah. Ia adalah tentang siapa yang boleh melaksanakan tugas.

“Pada saya, kalau orang asli boleh melaksanakan tugas, maka orang asli-lah. Tidak mengapa. Kita semua adalah rakyat Malaysia. Kita sedang melakukannya untuk semua orang, dan kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Masalahnya adalah mesej ini tidak disampaikan (kepada umum),” tegasnya.

TAK DAPAT JAWATAN, TERUS ‘SERANG’

Sementara itu, Daim juga meluahkan kekecewaannya tentang segelintir individu yang masih mengamalkan budaya politik lama dan mempunyai kepentingan peribadi.

“Malangnya, mereka yang menyokong Pakatan sebelum ini menyokong perubahan….Tetapi mereka yang lantang bersuara pada masa ini mempunyai kepentingan peribadi dan apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak diberi jawatan, mereka mula menyerang kerajaan.

“Jadi pada penghujungnya, jika anda dapat lihat, sikap masih tidak berubah,” katanya.

Serangan-serangan itu juga dilihat lebih berbentuk peribadi, bukannya mengutamakan orang lain. Ini bukanlah apa yang diperjuangkan oleh kerajaan baru.

“Kami terbuka kepada kritikan, tetapi ia perlulah berlandaskan fakta dan penghujahan yang kukuh. Ini pula sudah bersifat peribadi,” tambah Daim.

KEKELIRUAN RAKYAT TENTANG PERBICARAAN DATUK SERI NAJIB

Perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan berlangsung pada Rabu ini akan menjadi perbicaraan yang terbesar dalam sejarah negara.

Tetapi, kelewatan perbicaraan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana mereka menjangkakan bahawa jika seseorang itu bersalah, dia sepatutnya akan terus didakwa dan disabitkan kesalahan.

“Selama ini, rakyat, khususnya penduduk luar bandar, menjangkakan bahawa jika kerajaan mendakwa bahawa seseorang individu itu bersalah, dia akan terus didakwa dan disabitkan bersalah.

“Sekarang, mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana kelewatan yang terlalu lama. Tetapi mereka lupa, badan kehakiman adalah bebas. Terdapat cawangan bebas kerajaan iaitu kehakiman, eksekutif, dan Parlimen.

“Mereka merasakan bahawa pada masa dahulu kesemua itu adalah bersama, namun kini terpisah sepenuhnya. Hakim perlu mengambil notis kehakiman bahawa rakyat mahu kes ini untuk dibicarakan.

“Jika ia (tuduhan-tuduhan) tidak benar, beliau (Najib) akan dibebaskan. Jika beliau melakukan kesalahan, beliau akan disabitkan bersalah. Pada masa ini, kepentingan kes ini amat tinggi. Ini adalah kes berprofil yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Di peringkat antarabangsa, orang ramai sedang memerhatikan kes ini,” katanya.

“SAYA MAHU HARGA BARANG TURUN”

Bercakap tentang isu kos sara hidup, Daim menyatakan bahawa masalah sebenar terletak pada orang tengah.

Kebanyakan keuntungan dalam rangkaian pembekal akhirnya akan “masuk poket” orang tengah, dan perkara ini perlu diselesaikan oleh menteri dan pegawai-pegawai mereka untuk menyelesaikan isu peningkatan harga.

Bukan itu sahaja, malah orang asing juga dilihat mendominasi pasaran.

“Saya tidak kisah sesiapa pun yang mentadbir. saya mahu harga barang untuk turun,” ujar Daim.

Beliau juga mahu agar kementerian-kementerian serta agensi-agensi kerajaan untuk lebih terlibat dalam usaha menurunkan harga makanan kerana “masih banyak yang perlu dilakukan.”

BERI TUMPUAN TERHADAP KAWASAN PEDALAMAN

Agensi-agensi kerajaan digesa untuk memberi fokus yang lebih terhadap kawasan pedalaman. Ia juga adalah penting untuk memberi tumpuan terhadap pertanian bagi menambah pendapatan penduduk-penduduk di sana, khususnya penduduk Felda.

Terdapat 54 kerusi Parlimen yang dipengaruhi oleh peneroka-peneroka Felda dan oleh itu, adalah menunaikan janji-janji manifesto adalah mustahak untuk mereka.

“Saya berada di Johor dua minggu lalu dan berjumpa dengan peladang. Terdapat 110,000 ahli. Mereka mempunyai ternakan, ayam, nenas, buah-buahan dan mereka melakukannya dengan baik. Ini perlu diserlahkan,” ujarnya.

Sumber: The Star

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker