AntarabangsaHiburanIsu Semasa

Adakah Pemenang Afghan Idol Bakal Diancam Bunuh Seperti Aryana Sayeed?

Pada akhir bulan Mac yang lalu Afghanistan telah mendapatkan pemenang wanita pertama dalam pertandingan nyanyian popular, American Idol versi tempatan yang telah berlangsung selama 14 musim.

Zahra Elham, pemenang Afghanistan Idol musim ke-14

Zahra Elham yang menganggap kejayaannya bukanlah kejayaan untuk dirinya semata-mata tetapi telah mendedikasikan kemenangannya kepada seluruh wanita Afghanistan.

Wanita yang berusia lingkungan 20-an ini sebelum ini memang telah menyuarakan hasrat untuk memecahkan tradisi pemenang Afghanistan Idol yang biasanya terdiri daripada peserta lelaki.

Namun terdapat juga netizen yang melahirkan perasaan khuwatir dengan kemenangan Zahra yang berasal dari etnik minoriti Hazara.

 

Tahniah! Tapi diharapkan anda tidak akan “Hilang”

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama ‘Tanin’ berkata, ‘Harap anda tidak akan ‘hilang’ selepas kemenangan besar ini dan berharap keadaan membolehkan anda meneruskan impian anda’.

Ini terjadi setelah seorang penyanyi wanita terkenal yang berasal dari Afghanistan sering diancam dan diugut bunuh oleh warga Afghanistan.

 

Aryana Sayeed penyanyi wanita asal Afghanistan yang berkontroversi

Aryana Sayeed, 34 tahun yang lahir di Kabul telah berpindah ke luar negara ketika perang saudara tercetus di negara kelahirannya. Aryana sekeluarga berpindah dengan Pakistan dan kemudian ke Swiss ketika dia masih berusia 8 tahun.

Setelah suaka keluarga mereka ditolak, mereka membayar penyeludup untuk sampai ke London dan tinggal di situ sehingga kini.

Walaupun tinggal di London, Aryana sering pulang ke kampung halaman dan memberikan semangat kepada kaum wanita melalui muzik gabungan pop dan tradisional.

Walau bagaimanapun, Aryana sering mendapat ugutan dan ancaman kerana pilihan pakaian yang dikenakannya.

 

Sering Diancam Bunuh

Pada tahun 2017, sebuah kontroversi hebat melanda diri Aryana kerana dia telah mengenakan pakaian berwarna-warni di sebuah konsert yang berlangsung di Paris. Para tokoh agama mengancam akan membunuhnya jika kembali untuk tampil di sebuah konsert yang sudah direncanakan di Kabul.

Namun Aryana tetap berani untuk pulang dan mengadakan pertunjukan konsert tersebut.

“Ia sangat sukar sebagai seorang penyanyi wanita untuk meneruskan kerjaya saya di Afghanistan kerana tekanan yang mereka berikan serta ugutan yang sering dilemparkan dan serangan di media sosial,” kata Aryana dalam sebuah wawancara yang diadakan di Kabul.

“Saya sering dapat mesej, ianya menakutkan sebenarnya.”

Bagi seorang pembuat filem tempatan yang sedang melakukan dokumentari tentang Aryana, Sadam Wahidi berkata Aryana disukai kerana suaranya tetapi kebanyakan mereka tidak menyukainya.

 

Menaiki kenderaan berperisai dan tinggal di tempat pengasingan

Jika Aryana berada di Afghanistan, dia akan berjalan menggunakan kenderaan berperisai dan dia harus tinggal disebuah tempat yang pengasingan.

Aryana bersama Kim Kardashian

“Saya seperti berada di dalam penjara di dalam bilik sendiri,” katanya yang sering mendapat julukan Kim Kardashian Afghanistan. “Saya hanya boleh ke bilik saya dan kembali ke set serta melakukan penggambaran rancangan.

Di Afghanistan, wanita telah mula mendapatkan hak untuk bekerja dan kanak-kanak perempuan sudah boleh memasuki sekolah setelah kerajaan Taliban tumbang.

Terdapat banyak lagi perkara yang dikekang untuk dilakukan oleh wanita di negara tersebut. Antaranya ialah tidak dibenarkan untuk berada di tempat awam tanpa ditemani oleh saudara lelaki dan adalah wajib untuk memakai niqab. Bermain alat muzik juga adalah tidak dibenarkan sama sekail.

 

Afghanistan masih negara konservatif

Walaupun wanita sudah mendapatkan hak bekerja dan bersekolah, bahagian pendalaman Afghanistan yang konservatif masih tidak boleh menerima cara berpakaian Aryana serta penglibatannya dalam menegakkan hak wanita.

“Konsert Aryana Sayeed tidak selari dengan didikan masyarakat kami dan Islam. Cara berpakaiannya boleh mempromosikan pelacuran dan menggoda,” kata seorang wanita yang tinggal di Paktika.

Aryana di Afghan Idol

Baru-baru ini Aryana tampil di acara Afghan Star dengan mengenakan pakaian berwarna putih yang ketat dan tidak mengenakan hijab atau selendang.

Stesen televisyen swasta, TOLO TV telah mengambil imejnya hanya dari aras dada dan ke atas dan mengelak melihat pakaiannya itu.

Walaupun ramai yang tidak menyukai Aryana tetapi ramai wanita berhijab masih mengaguminya.

Seorang remaja berusia 17 tahun berkata,”Pihak Taliban sentiasa ingin memutuskan suara hak wanita tetapi Aryana Sayeed telah mengajar kami untuk tidak menjadi ‘lemah’.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker