AntarabangsaIsu Semasa

Walaupun Dikecam Dunia, Brunei Tetap Akan Laksanakan Undang-Undang Islam

Walaupun menerima kritikan secara global, Brunei mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap kesalahan perzinaan dan homoseksual dengan hukuman rejam sampai mati.

Brunei, negara majoriti Muslim yang mempunyai populasi kira-kira 400,000 penduduk, akan melaksanakan undang-undang Syariah bermula 3 April ini meliputi kesalahan liwat, zina dan rogol dengan hukuman mati termasuk rejam, dan kesalahan mencuri dengan hukuman memotong tangan.

Undang-undang Syariah yang mula diguna pakai pada 2014 dan telah dilancarkan secara berperingkat sejak itu, akan dilaksanakan sepenuhnya bermula minggu depan, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.

“Undang-undang Syariah, selain daripada menghalang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, juga bertujuan untuk mendidik, menghormati dan melindungi hak-hak yang sah dari semua individu, masyarakat atau warganegara dari setiap agama dan bangsa,” kata pernyataan itu.

Beberapa aspek undang-undang Syariah itu juga akan turut terpakai kepada warganegara bukan Islam, lapor Reuters.

Kesultanan Brunei merupakan monarki kedua paling lama yang memerintah di dunia dan Sultan Hassanal Bolkiah, 72, merupakan Sultan dan Perdana Menteri di negara yang kaya dengan sumber minyak itu. Baginda merupakan salah seorang daripada individu terkaya di dunia.

Brunei, yang berjiran dengan Malaysia di pulau Borneo, telah melaksanakan ajaran Islam dengan lebih ketat berbanding Malaysia dan Indonesia, negara-negara Islam yang lain di Asia Tenggara. Penjualan alkohol dan penyebaran agama selain Islam turut dilarang.

Negara itu tidak mengadakan pilihan raya, tetapi sebarang rasa tidak puas hati rakyat akan dibalas dengan dasar-dasar kerajaan yang kaya termasuk dasar sifar cukai, perumahan bersubsidi, dan penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma.

Pelaksanaan undang-undang Islam yang ketat itu telah menimbulkan kritikan yang meluas. Ahli politik di Eropah dan Amerika Syarikat telah menyerang rancangan itu dan menimbulkan rasa kebimbangan terhadap Brunei.

“Orang-orang yang merejam perbuatan homoseksual atau perzinaan adalah mengerikan dan tidak bermoral. Tidak ada alasan untuk melaksanakan hukuman yang menyebarkan kebencian dan sifat tidak berperikemanusiaan seperti ini,” kata bekas naib presiden A.S. Joe Biden di Twitter pada hari Jumaat.

Pelakon yang memenangi Oscar, George Clooney telah menyeru orang ramai untuk memboikot hotel mewah yang dimiliki oleh Syarikat Pelaburan Brunei, seperti Beverly Hills Hotel, Dorchester di London dan Plaza Athenee di Paris sebagai usaha untuk merencatkan pelaksanaan undang-undang terbabit.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker