Hiburan

‘One Two Jaga’ Menang Besar di Festival Filem Malaysia 30

One Two Jaga, filem yang memaparkan sisi gelap segelintir anggota polis yang menyalahgunakan kuasa, memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM 30) malam tadi (30 Mac).

Pengarahnya, Namron menerima anugerah Pengarah Terbaik dan pelakon utamanya, Dr Rosdeen Suboh membawa pulang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk peranannya sebagai anggota polis terdesak dalam filem itu.

Filem itu juga memenangi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik.

Sementara itu, filem Guang yang berkisahkan tentang seorang pemuda autistik yang mempunyai bakat tersembunyi, juga memenangi beberapa anugerah untuk Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen), Sinematografi Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Image result for one two jaga festival filem malaysia 30

Datin Seri Umie Aida yang memainkan watak menakutkan dalam filem seram Dukun membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik.

Untuk Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, trofi itu dibawa pulang oleh Jake Eng yang memainkan watak muda wira badminton negara dalam Rise Of The Legend: Lee Chong Wei.

Hasnul Rahmat memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Polis Evo 2 manakala Nabila Huda Suhaimi menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Makrifat Cinta.

Paskal The Movie, Vedigundu Pasangge dan Busker telah menerima anugerah khas dalam Anugerah Khas Juri.

AR Badul menjadi penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala penulis lirik terkenal Habsah Hassan memenangi anugerah Behind The Scenes.

Sebanyak 42 filem – 25 dalam bahasa Melayu, lapan dalam bahasa Mandarin, dua dalam bahasa Kantonis dan tujuh dalam bahasa Tamil – bersaing untuk 24 kategori.

FFM 30 telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada jam 9 malam dan dipancarkan secara langsung di Astro Ria yang juga penyiar rasmi.

Kira-kira 3,000 orang menghadiri acara yang berlangsung selama 150 minit yang dianjurkan oleh pengacara TV dan pelawak terkenal Nabil Ahmad dan penyanyi serta pelakon Adibah Noor.

Penyampai anugerah termasuk Datuk Afdlin Shauki, Datin Diana Danielle, Fazura, Jason Chong, U-Wei Hani Saari dan Sangeeta Krishnasamy.

FFM30 turut dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Innuendo, Syamel dan Ernie Zakri.

Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), telah dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Komunikasi dan Multimedia Shakib Ahmad Shakir, Pengerusi Finas Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker