Ibu dan Anak

Tekanan Perasaan Juga Berlaku Pada Bayi & Kanak-kanak

Menghisap ibu jari, menggigit, memukul, menendang adalah antara petanda anak anda sedang stress. Tetapi mengapa perkara ini boleh terjadi? Seperti kita dewasa, bayi, kanak-kanak, remaja semuanya juga boleh mengalami tekanan perasaan atau stress.

 

Mengapa Bayi dan Kanak-kanak Boleh Stress?

Untuk bayi, mereka berkemungkinan stress apabila keperluan makanan dan keselesaan tidak dipenuhi dan apabila mereka membesar, mereka mungkin mengalami stress apabila sedang belajar untuk berjalan, bercakap atau makan sendiri.

Beranjak ke proses memasuki alam pergaulan di tadika pula mereka juga boleh mengalami tekanan berada di luar rumah dengan penjagaan oleh orang lain untuk pertama kali dan apabila membesar, mereka pula berada dalam tekanan di sekolah untuk mendapatkan keputusan akademik yang baik. Selain itu, terdapat peraturan lain yang perlu mereka patuhi yang berkemungkinan besar menambahkan stress dalam diri anak.

 

Tidak Semua Tekanan Itu Negatif

Namun begitu, sudah tentu sesetengah tekanan perasaan atau stress ini adalah perkara yang baik untuk kanak-kanak kerana stress juga boleh memberi motivasi kepada diri mereka untuk melakukan yang terbaik bagi mencapai keinginan diri.

Tetapi sama seperti kita yang sudah dewasa, stress yang terlalu banyak dan tinggi boleh menyebabkan kita mengalami impak yang negatif.

Ia berkemungkinan terjadi apabila anak anda mungkin terdedah dengan persekitaran yang memberi tekanan seperti konflik keluarga, kehilangan orang tersayang atau hanya sekadar tidak pandai menguruskan tekanan yang dialami.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh University of Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat pada tahun 2017 telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengalami tekanan perasaan yang kronik dan tinggi memiliki risiko masalah tingkah laku, masalah psikologi dan fizikal yang berkemungkinan besar berlarutan sehingga dewasa.

 

Adakah anak saya sedang mengalami tekanan?

Dengan kesibukan ibubapa yang menjalani hari-hari bekerja, mungkin adakalanya kita terlepas pandang dengan kelakuan anak kita.

Jadi menurut sebuah rencana oleh TheStar, petunjuk yang paling utama seorang kanak-kanak sedang mengalami tekanan ialah apabila tingkah laku mereka berubah.

Ini kerana kanak-kanak memilki keupayaan yang terhad untuk meluahkan perasaan mereka dalam bentuk perkataan. Oleh itu mereka sering meluahkan perasaan mereka melalui tingkah laku atau gerak langkah.

Adakalanya tekanan perasaan bagi kanak-kanak ini juga membuat mereka sukar untuk tidur, sukar untuk makan atau makan berlebihan tanpa alasan dan mula kencing malam.

Selain itu, petanda fizikal juga boleh dilihat apabila mereka mengalami masalah penghadaman, degupan jantung yang kuat atau kesukaran untuk bernafas.

Namun kunci sebenar untuk melihat sama anak anda berada dalam tekanan atau tidak ialah dengan memerhatikan tingkah laku mereka, kekuatan dan kekurangan yang mereka miliki. Apabila ibubapa dapat memahami keadaan anak kita, ia dapat membantu dalam menangani masalah tekanan ini. Tetapi harus diingatkan bahawa setiap anak memiliki sifat yang berbeza-beza.

 

Menguruskan tekanan

Setelah mengesan bahawa anak anda mungkin berada dalam tekanan, ini mungkin dapat membantu anak anda menangani masalah tekanan yang dihadapi.

  1. Berhenti menambahkan aktiviti kepada anak anda

Sesetengah ibubapa yang mahukan yang terbaik untuk anak mereka akan memasukkan mereka ke kelas tuisyen, kelas muzik atau kelas menari dan sebagainya sehingga anak tidak memiliki masa untuk berehat sepenuhnya.

Masa terluang yang tidak ditetapkan untuk sebenarnya membantu anak untuk membuat keputusan dan menguruskan tekanan.

2. Galakkan waktu tidur yang sihat

Waktu tidur adalah perkara yang penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Malah ia boleh memberi kesan terhadap tingkah laku, cara pembelajaran dan tumbesaran secara keseluruhan anak anda.

Apa yang penting juga ialah untuk mengelak daripada memberi anak-anak gajet sebelum tidur dan pastikan bilik tidur mereka berada dialam keadaan gelap, dingin dan senyap.

3. Menangani tekanan dan kegelisahan ibubapa

Anak anda sebenarnya tahu perasaan ibubapa mereka dan boleh merasai keadaan yang negatif serta berada dalam tekanan. Oleh itu apabila ibubapa berada dalam keadaan tertekan, anak anda boleh mengalaminya juga. Maka, ia adalah penting bagi ibubapa untuk menangani emosi dan menjadi model bersikap positif untuk mereka.

4. Dengar, cakap, fikir bersama dan selesaikan masalah

Sentiasa menggalakkan anak untuk bercakap dengan anda tentang masalah yang mungkin mereka sedang hadapi. Cuba dengan dalam keadaan tenang dan memberikan perhatian anda terhadap luahan perasaan yang mereka berikan.

Jangan terlalu cepat untuk memberi komen, menuduh dan membebel. Sebagai ibubapa, idea utamanya ialah untuk mendengar masalah mereka dan berfikir bersama untuk menangani masalah yang dihadapi.

Ia sangat penting untuk menggalakkan penyertaan aktif anak untuk membina keyakinan dan menyelesaikan masalah serta kemahiran mengatasi masalah.

5. Cuba melakukan aktiviti yang boleh menyelesaikan tekanan yang dihadapi

Teknik secara fizikal selalunya ialah dengan melakukan penarikan nafas secara mendalam dan menghembuskannya, meregangkan otot, mendengar muzik, melukis dan memberi kesedaran.

Sebagai ibubapa, anda boleh cuba untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang mana ia boleh memberi kegembiraan kepada ibubapa dan anak.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker