MalaysiaPolitik

Pembangkang Sudah Beranjak, Kerajaan Masih Di Takuk Sama

Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kuasa dengan menaburkan janji-janji manis dan juga dengan memberi harapan bahawa mereka akan melakukan perkara yang lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Tetapi, setelah hampir setahun memerintah, apa yang dapat dilihat hanyalah pendakwaan terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan prototaip sebuah kereta terbang yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Kegembiraan 9 Mei 2018 telah terhakis. Bahkan, terdapat perasaan marah rakyat terhadap ekonomi yang perlahan, ketegangan kaum, pertikaian antara parti-parti PH dan kekurangan arah tadbir urus kerajaan.

Kerajaan PH dilihat seperti hanya meneruskan kepimpinan kerajaan terdahulu. Tiga sesi persidangan parlimen telah berlalu, tetapi hanya undang-undang Berita Palsu sahaja yang berjaya dimansuhkan.

Sama ada mereka kurang imaginasi atau tidak berpandangan jauh, tumpuan mereka seolah-olah hanya untuk membuang dasar-dasar kerajaan BN tanpa membuat percubaan untuk merealisasikan Buku Harapan mereka.

Sebagai contoh, pengumuman mengenai tol dalam masa beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Semenyih sebenarnya dilihat sebagai pengkhianatan kepada manifesto kerana ia tidak benar dan mengelirukan. Pada dasarnya, tol akan dipanggil caj kesesakan dan hanya mereka yang menggunakan tol semasa waktu lapang yang tidak perlu membayar.

Sebaliknya di blok pembangkang, Umno dan Pas telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan memformalkan kerjasama mereka.

Dalam pilihan raya kecil Cameron Highland, gabungan Umno dan Pas mendapat sembilan daripada 10 undi Melayu. Di Semenyih, gabungan yang sama menerima tujuh daripada 10 undi Melayu.

Pilihanraya kecil Semenyih adalah tamparan hebat untuk PH memandangkan Umno dan PAS kini sedang merampas kawasan mereka. BN juga berjaya menarik pengundi muda di Semenyih yang juga menjadi asas sokongan teras PH sebelum ini.

Pemimpin PH sama ada meremehkan kuasa politik baru ini atau sangat kritikal terhadapnya. Lim Guan Eng berkata ia adalah “pengisytiharan perang” terhadap orang bukan Melayu, manakala Liew Chin Tong berkata Umno dan PAS sedang mengamalkan taktik “bumi hangus”.

Sejak 2008, parti-parti PH, terutama DAP dan PKR, telah berjaya menarik sokongan bukan Melayu. Malah, pendekatan mereka berjalan dengan baik sehingga berjaya menjadi kerajaan dalam masa tiga kali PRU.

Tetapi kerjasama terkini antara PAS dan UMNO yang pastinya bakal menerima sokongan hebat orang Melayu, akan menjadi saingan sengit mereka.

Sementara PH sedang bergelut untuk beralih daripada pembangkang kepada kerajaan, pada masa yang sama, Umno dan PAS telah menemui jalan mereka bersama.

PH seharusnya memahami bahawa rakyat sudah bosan dengan pendekatan “ini bukan salah saya, ini angkara BN”. Memandangkan mereka kini adalah kerajaan Malaysia, rakyat mahukan dan mengharapkan tindakan daripada mereka.

Selain itu, pembangkang juga perlu memainkan peranan mereka secara membina. Isu perkauman dan agama tidak membantu dan akan mengasingkan sokongan bukan Melayu. Taktik ini mungkin memberi manfaat dalam jangka pendek tetapi ia akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan kepada negara dalam jangka panjang.

Semua kuasa politik perlu mengambil langkah yang terbaik untuk Malaysia. Mereka perlu sedar bahawa negara kini dipecahbelahkan oleh ahli politik yang mahu memenangi pilihan raya dan tidak memelihara generasi akan datang.

Walau bagaimana sekali pun politik dimainkan dalam era yang dipanggil Malaysia Baharu ini, kerajaan perlu bertindak seiring dengan pembangkang atau mendahului mereka. Jika masih di takuk yang sama, PH mungkin hanya menjadi kerajaan satu penggal sahaja.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button