Sukan

Setelah Mengakui Dia Memandang Rendah Pada Khabib, McGregor Umum Persaraan

Conor McGregor, bintang seni bela diri campuran (MMA) UFC hari ini mengejutkan peminat dengan mengumumkan persaraannya dari sukan itu menerusi akaun Twitternya pagi tadi.

Atlet berusia 30 tahun yang terpalit dengan pelbagai skandal sejak pertarungannya dengan Khabib Nurmagomedov menulis di akaunnya,“Hei semua, pengumuman ringkas, saya telah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan dikenali sebagai ‘Mixed Martial Art’, hari ini. Saya berharap semua rakan-rakan saya akan meneruskan pertarungan mereka dalam saingan itu. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sekerja saya. Pina Coladas yang sebenar buat rakan-rakan saya!”.

McGregor yang merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016 sebelum ini digantung daripada bertarung oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada apabila terbabit dalam pergaduhan sejurus selepas kalah kepada Khabib Nurmagomedov pada UFC229.

Dengan penggantungannya masih berjalan, perancangan untuk perlawanan seterusnya sudah diatur oleh penganjur sukan terbabit tetapi pengumuman McGregor untuk mengakhiri kariernya itu telah memberi tanda tanya.

 

Ramai Tidak Percaya

Ramai yang agak skeptikal dengan pengumuman tersebut dan menyifatkan ia hanyalah ‘taktik’ untuk mempromosikan diri serta pertarungannya yang seterusnya.

Presiden UFC, Dana White mengesahkan berita mengejutkan itu sejam selepas pengumuman McGregor di Twitter.

“Dia mempunyai wang untuk bersara dan wiskinya sedang membunuhnya,” kata White memberitahu ESPN melalui teks mesej.

“Ia benar-benar masuk akal dan jika saya menjadi sepertinya (McGregor), saya juga akan bersara”.

 

Conor McGregor akhirnya mengakui kekalahannya kepada Khabib Nurmagomedov

Sebelum itu, menurut astroawani, selepas lima bulan berlangsungnya aksi UFC229, bintang seni bela diri campuran (MMA) Conor McGregor akhirnya mengakui kekalahannya kepada Khabib Nurmagomedov adalah kerana dia terlalu memandang rendah terhadap lawannya itu.

Menurut petinju dari Ireland itu, dia gagal memberi penghormatan kepada Khabib semasa perlawanan tersebut dan terus meluru ke depan tanpa memikirkan akibat yang bakal diterimanya.

“Dia seorang lawan yang hebat, dia berlawan dengan beruang semasa kecil.

“Dia menghabis banyak masa mengasah kemahirannya dalam ‘stand up’ dan ia jauh lebih baik daripada yang saya jangkakan.

“Itu, saya perlu beri penghormatan,” katanya seperti mana dipetik portal BJPenn.com.

Meskipun begitu, McGregor berkata dia masih mengharapkan ‘rematch’ (pertarungan semula) dengan Khabib. Jadi adakah akan ada pertarungan semula atau McGregor memang mahu menamatkan kerjayanya sebagai atlet MMA?

Show More

Related Articles

Back to top button