Isu SemasaTempatan

PDRM Perkenal SOP Baru Kendali Kes Individu Autisme

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baru untuk mengendalikan kes-kes membabitkan individu yang mengalami autisme, berikutan kes Ahmad Ziqri Morshidi pada tahun lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bantahan orang ramai terhadap pengendalian polis dalam kes itu menunjukkan bahawa polis perlu memikirkan semula kaedah mereka untuk mengendalikan kes-kes yang berkaitan.

Garis Panduan Autisme itu dirangka oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

“Sejurus lepas insiden itu, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan selama enam bulan untuk mewujudkan set baru garis panduan dalam menyiasat individu-individu autisme.

“Kami berhubung dengan pakar dari universiti-universiti tempatan untuk menasihati kami berkenaan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Polis ke-212 baru-baru ini.

Selain itu, Fuzi menyatakan bahawa pihak polis juga akan menubuhkan pusat autisme di Pulapol.

“Terdapat 484 kanak-kanak yang mengalami autisme dalam keluarga PDRM dan kami akan menjaga mereka.

“Sebuah lagi pusat autisme turut akan ditubuhkan di Kolej PDRM di Cheras,” tambahnya.

Mulai sekarang juga, semua kes yang membabitkan kanak-kanak dan individu autisme akan dikendalikan oleh semua anggota polis mengikut garis panduan baru ini.

Pada 11 September 2018, Ahmad Ziqri, 22, yang mempunyai autisme telah ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 24 tahun selepas sambutan hari lahirnya di sebuah restoran.

Ahmad Ziqri kemudian dibawa ke mahkamah untuk direman pada hari seterusnya, dan itu bermakna bahawa dia perlu bermalam di lokap polis.

Hasnah (ibu kepada Ahmad Zikri) bahawa anaknya yang kekurangan dari segi keupayaan mental itu tidak memahami akibat daripada tindakannya atau mengapa dia ditahan.

Menurut Hasnah, individu-individu seperti anaknya adalah “kanak-kanak dalam badan orang dewasa.”

Difahamkan, pihak polis telah memohon reman selama tempoh empat hari, namun ditolak oleh mahkamah magistrat Petaling Jaya pada 12 September.

Ahmad Ziqri kemudian dibebaskan atas jaminan polis.

Beberapa hari selepas pembebasannya, ribuan rakyat Malaysia telah menandatangani sebuah petisyen atas talian bagi menuntut keadilan untuk Ahmad Ziqri dan menggesa pihak berkuasa untuk melayannya dengan adil serta mengkaji semula SOP ketika mengendalikan kes membabitkan individu kurang upaya.

Dalam perkembangan lain, statistik terbaru menunjukkan bahawa kadar jenayah telah menurun sejak tempoh 10 tahun lalu.

“Indeks jenayah bagi 10 tahun lalu (2009 – 2018) menyaksikan penurunan sebanyak 58.3%. Bagi indeks jenayah 2018, terdapat penurunan 11,949 kes,” kata Fuzi.

Walau bagaimanapun, jenayah pada masa kini semakin bertambah rumit, dan pihak polis sentiasa menaiktaraf sistem penyiasatan dan operasi selaras dengan kemajuan teknologi.

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker