AntarabangsaIsu Semasa

Pakistan Mahu Berdamai Dengan India

Ketika perarakan ketenteraan sempena sambutan Hari Pakistan yang diadakan pada Sabtu, 23 Mac 2019 baru-baru ini, Presiden Arif Alvi menyatakan bahawa negara itu mahu berdamai dengan ‘musuh ketatnya’, India.

Konflik di antara kedua-dua negara itu menjadi semakin tegang sejak kebelakangan ini berikutan serangan bom berani mati yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan.

Serangan yang berlaku di wilayah Kashmir bahagian India tersebut mengorbankan 40 polis paramiliter.

“Kami tidak mahukan peperangan dan ingin menyelesaikan masalah menerusi dialog.

“Daripada berperang, lebih baik kita memberi fokus terhadap pendidikan dan kesihatan,” kata Arif ketika menyampaikan ucapan beliau.

Selain itu, jet pejuang Pakistan dan India juga terlibat dalam pertempuran pada 27 Februari, sehari selepas India menyeberangi ruang udara Pakistan dan melancarkan serangan udara ke atas ‘kem militan.’

Dalam pertempuran tersebut, jet Pakistan berjaya menembak jatuh pesawat India dan menahan juruterbangnya.

Juruterbang itu kemudian dibebaskan oleh Pakistan sebagai tanda keamanan dan bagi menjernihkan situasi tegang antara kedua-dua kuasa nuklear tersebut.

Walau bagaimanapun, Arif menyifatkan tindakan India yang menuduh Pakistan menjadi dalang disebalik serangan bom itu tanpa sebarang bukti sebagai tidak bertanggungjawab.

“Perarakan pada hari ini (Sabtu) menghantar mesej bahawa kita adalah orang-orang yang aman, namun kita tidak akan mengabaikan pertahanan,” ujarnya.

Perarakan ketenteraan itu turut menyaksikan persembahan udara jet pejuang JF-17 buatan Pakistan.

Ia juga dihadiri oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tetamu kehormat.

Menurut Imran, beliau telah menerima ucapan tahniah bagi sambutan perayaan itu oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Modi juga menyeru agar kedua-dua negara boleh mencapai keamanan dan menjalinkan hubungan kerjasama serantau.

“Saya mengalu-alukan mesej PM Modi kepada rakyat kami. Saya percaya bahawa sudah tiba masa untuk mengadakan dialog komprehensif bersama India untuk menangani dan menyelesaikan semua isu,” ujar Imran.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker