Isu SemasaTempatan

Kalau Eropah Terus ‘Buat Hal’, Malaysia Akan Beli Jet Pejuang China?

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) bahawa Malaysia akan bertindak balas sekiranya EU terus mengenakan sekatan ke atas minyak sawit di negara ini.

Dalam satu kenyataan terbaru, Dr Mahathir berkata salah satu langkah tindak balas yang boleh diambil adalah Malaysia akan mempertimbang untuk membeli jet pejuang buatan China.

“Sekiranya mereka terus mengambil tindakan ke atas kita (menyekat minyak sawit), kami akan pertimbang untuk membeli jet pejuang dari China atau mana-mana negara lain,” katanya dalam satu sidang media selepas pelancaran Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantations, Pulau Carey pada Ahad.

Tambah beliau, teknologi jet pejuang buatan China juga sudah mengatasi teknologi Barat.

Namun, Dr Mahathir menegaskan bahawa Malaysia tidak berniat untuk “mengisytiharkan perang” ke atas EU kerana negara ini masih memerlukan produk-produk tertentu dari kesatuan itu.

Malaysia adalah pengeluar terbesar minyak sawit di dunia. Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia mengeluarkan hampir 90% minyak sawit di seluruh dunia.

Tetapi, pelobi-pelobi anti-minyak sawit mendakwa bahawa penanaman kelapa sawit menyebabkan penebangan hutan dan menyumbang kepada masalah jerebu.

Namun, mereka mengabaikan hakikat bahawa Malaysia sebenarnya mengamalkan penanaman kelapa sawit secara lestari.

Dr Mahathir turut meluahkan kekecewaannya kerana pengeluar makanan Eropah kini meletakkan label ‘Tiada Minyak Sawit’ pada lebih banyak produk mereka.

Beliau menyifatkan tindakan EU tersebut sebagai ‘propaganda’ untuk melindungi pasaran mereka.

“Mereka tidak memikirkan kesan (memboikot minyak sawit) ke atas pekerja-pekerja di ladang kelapa sawit. Kita mempunyai kira-kira 600,000 pekerja yang akan kehilangan pekerjaan jika ladang kelapa sawit ditutup,” tegasnya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi juga membidas dakwaan negara-negara Eropah yang berkata bahawa penanaman kelapa sawit akan menjejaskan hutan serta hidupan liar seperti harimau, gajah dan orang utan, kerana tuduhan itu tidak benar sama sekali.

“Untuk mengawal pasaran minyak boleh dimakan (edible oil) mereka, mereka akan membuat tuduhan bahawa minyak sawit adalah berbahaya untuk kegunaan dan kesihatan,” jelasnya.

Sumber: The Sun Daily

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button