AntarabangsaIsu Semasa

Lt Kol Norhana – Juruterbang Helikopter Wanita Pertama Di Malaysia

Leftenan Kolonel (Lt Kol) Norhana Abd Manaf merupakan wanita pertama di Malaysia untuk dilantik menjadi juruterbang helikopter.

Sudah mempunyai minat yang tinggi terhadap helikopter sejak zaman tadika lagi, tempat kediaman keluarganya di Hulu Langat, Selangor yang terletak berdekatan dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) membolehkan beliau melihat juruterbang helikopter menjalani latihan.

“Adik beradik saya dan saya akan melambai kepada helikopter dari jauh. Ketika helikopter hendak mendarat, kami akan berlari ke padang itu untuk merasai angin kuat (yang dihasilkan oleh kipas helikopter).

“Saya sentiasa terpegun dengan helikopter, sejak saya berada di tadika lagi,” katanya.

Daripada kesemua 15 adik-beradiknya, Lt Kol Norhana adalah satu-satunya individu yang menyertai angkatan tentera.

Walau bagaimanapun, bapa beliau yang pernah bekerja bersama Tentera British di Singapura, pada asalnya tidak berapa menyokong impiannya untuk menjadi juruterbang helikopter.

“Pada asalnya, bapa saya tidak berapa menyokong saya untuk menyertai tentera. Jadi saya mengambil diploma dalam bidang Sains Kesetiausahaan dari UiTM.

“Tetapi selepas itu, Abah akhirnya memberi restunya dan saya memohon untuk menyertai Tentera Udara,” jelas beliau.

Kini berusia 45 tahun, Lt Kol Norhana memulakan latihannya di Flying Training Centre One, Kolej Tentera Udara di Alor Setar, Kedah pada 1995.

Selain daripada latihan penerbangan, beliau turut menjalani latihan ketenteraan asas, payung terjun, dan survival.

Malah, Lt Kol Norhana sebenarnya pernah ditawarkan untuk menjadi juruterbang jet pejuang, namun beliau menolak tawaran tersebut kerana:

“Saya teringat bahawa abah saya memberitahu saya untuk tidak terbang terlalu tinggi atau laju. Jadi, saya pilih untuk menerbangkan helikopter.”

Beliau secara rasmi dilantik menjadi juruterbang helikopter pada tahun 1997.

Pada zaman dahulu, kebanyakan wanita yang bekerja sebagai kakitangan tentera tidak memegang jawatan yang dianggap “berbahaya.”

Kaum wanita selalunya akan berperanan sebagai kakitangan sokongan dan tidak berkhidmat sebagai tentera atau juruterbang jet pejuang.

Namun, zaman sudah berubah dan wanita kini diberi peluang yang sama rata untuk memegang tanggungjawab yang sama seperti laki, termasuk peranan kepimpinan.

Pada hari ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai 40 juruterbang wanita, termasuk 7 juruterbang helikopter.

Kebanyakan daripada mereka berpangkalan di kolej latihan penerbangan TUDM di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Wanita mampu mempertahankan negara, sama seperti lelaki,” katanya.

Sumber: Star2

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker