Isu SemasaTempatan

LIMA 2019 “Bukan Biasa-Biasa”

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan persiapan rapi demi mempamerkan aksi mantap dan luar biasa menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang akan berlangsung pada 26 sehingga 30 Mac 2019.

LIMA 2019 disertai oleh 390 syarikat dari 32 buah negara di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, malah TUDM juga berjanji akan menampilkan kelainan bagi aksi “opening gambit” atau persembahan pembukaan bagi LIMA kali ini.

Kerja-kerja serta proses persediaan turut disaksikan sendiri oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, yang terbang dari Pangkalan Udara Subang ke Padang Matsirat, Langkawi pada Jumaat baru-baru ini.

“Kita berada pada landasan tepat. Mereka (peserta-peserta LIMA) mengambil masa kira-kira seminggu untuk melakukan persiapan. Mereka berlatih di Pangkalan Udara Butterworth pada minggu lalu. Hari ini (Jumaat), adalah kali pertama semua elemen berkumpul di Langkawi.

“Saya memberitahu mereka bahawa ini adalah peluang untuk kita menunjukkan kemampuan kita,” katanya.

Menurut Affendi, barisan TUDM bagi acara LIMA edisi tahun ini adalah menakjubkan dan yang terbesar setakat ini, membabitkan sepuluh jet pejuang Sukhoi SU-30MKM, enam Boeing F/A-18D Hornet, lima BAE Systems Hawk, lapan pesawat Pilatus PC-7 Mk IIs, tiga Airbus A400M “Grizzlies”, tiga helikopter EC725 Cougar, dan dua Sikorsky S-61A-4 Nuri.

“Anda akan merasai kelainan pada persembahan kali ini. Daripada rutin sehinggalah lagu yang mengiringi rutin itu,” jelas beliau.

Buat julung kalinya dalam sejarah LIMA, aksi persembahan pembukaan akan diikuti dengan pertunjukan taktikal dan solo.

Walaupun sekuen utama persembahan akan mempamerkan aset-aset milik TUDM, elemen-elemen taktikal dan solo ini akan menyerlahkan kuasa asli dan keupayaan jet-jet berkenaan.

Aksi ini akan menyaksikan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) milik TUDM —- SU-30MKM yang dikendalikan oleh No. 11 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Gong Kedak, dan Boeing F/A-18D Hornet oleh No. 18 Skuadron, dari Pangkalan Udara Butterworth.

Ketua Bahagian Operasi No 11 Skuadron (TUDM), Leftenan Kolonel Faizal Abu Bakar (nama gelaran “Fab”) berkata, rutin-rutin yang dipamerkan adalah “spektrum penuh keupayaan tempur MRCA TUDM”.

“Ini adalah kai pertama dua jenis pesawat – satu dari Rusia, dan satu lagi dari Amerika Syarikat (AS), membuat persembahan bersama,” ujar beliau.

Difahamkan, krew-krew pesawat Sukhoi dan Hornet mengambil masa kira-kira sebulan melaksanakan pelbagai latihan untuk mencapai tahap ini.

Sementara itu, Leftenan Kolonel Abdul Rahim Jusoh yang juga dikenali sebagai “Blade” dan “Boss” kepada No. 18 Skuadron menyatakan bahawa jurang di antara rutin itu adalah sekitar lima saat.

“Kita merancang untuk membawanya turun ke tiga saat, jadi anda tidak akan sempat menarik nafas,” katanya sambil ketawa.

 

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker