Hiburan

Hello Kitty Bakal Muncul Dengan Filem Sendiri Di Hollywood

Ikon pop terkemuka Hello Kitty yang dihasilkan oleh syarikat reka bentuk Jepun, Sanrio, akan ke Hollywood dan membintangi filemnya sendiri.

Filem itu adalah terbitan bersama antara New Line Cinema dan FlynnPictureCo, Warner Bros mengumumkan pada 5 Mac. Studio itu telah bekerjasama untuk menerbitkan filem berbahasa Inggeris untuk penonton di seluruh dunia buat kali pertama dalam sejarah watak itu.

Projek ini merupakan kemuncak perjalanan selama hampir lima tahun untuk mendapatkan hak bagi memberi laluan kepada Hello Kitty untuk muncul di skrin besar seluruh dunia, kata studio itu.

Perjanjian itu juga memberi Warner Bros hak kepada beberapa watak lain dari syarikat Sanrio, termasuk Gudetama, My Melody dan Little Twin Stars.

“Saya sangat gembira kerana Hello Kitty dan watak-watak Sanrio yang lain akan membuat kemunculan mereka di Hollywood,” kata pengasas, presiden dan CEO Sanrio, Shintaro Tsuji dalam satu kenyataan.

“Hello Kitty telah lama menjadi simbol persahabatan dan kami berharap filem ini akan berkembang dengan baik dan menjalin persahabatan di seluruh dunia.”

Hello Kitty sebelum ini pernah muncul dalam beberapa program animasi di skrin kecil termasuk di Netflix, tetapi ia adalah kali pertama jenama gaya hidup global itu akan bekerjasama dengan sebuah studio utama Hollywood.

Beau Flynn dari FlynnPictureCo, yang mahir dalam filem studio berkonsep tinggi, akan menghasilkan filem itu dan Wendy Jacobson akan bertindak sebagai pengeluar eksekutif. Pada masa ini tidak jelas sama ada projek itu sedang dibangunkan dalam bentuk animasi atau “live-action”, tetapi pencarian penulis skrip telah pun bermula.

Hello Kitty bukanlah seekor kucing seperti yang disangka tetapi seorang gadis manusia. Ia mula diperkenalkan pada dompet duit syiling di Jepun pada tahun 1970-an.

Figura tanpa ekspresi wajah itu tiba di Amerika Syarikat sejurus selepas itu dan menjadi fenomena global, menghasilkan lebih banyak barang seperti kotak pensil automatik dan 50,000 produk berjenama setiap tahun, dengan kafe, kapal terbang dan konvensyen peminat yang diilhamkan darinya juga.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button