Bisnes & Ekonomi

Tempat Penginapan Yang Diusahakan Oleh Anak Jalanan

Bahay Tuluyan bermula sebagai program anak jalanan pada tahun 1987, setelah menganjurkan pelbagai program untuk anak jalanan, Bahay Tuluyan menjadi pusat di mana kanak-kanak ini boleh dapatkan tempat untuk mandi, berehat, makan dan bermain.

Tetapi setelah terlalu ramai kanak-kanak jalanan ini tidak memiliki tempat untuk tidur di malam hari, pusat ini telah beransur menjadi tempat berlindung bagi kanak-kanak jalanan Filipina.

Tempat perlindungan kanak-kanak Bahay Tuluyan yang bersebelahan dengan tempat penginapan kami, Makabata Guesthouse

Pada 11.11.11, Bahay Tuluyan telah membuka guesthouse mereka di Manila sebagai salah satu perniagaan sosial yang mana 100% keuntungan mereka akan dikembalikan untuk menyokong program kanak-kanak jalanan Filipina.

Makabata Guesthouse & Café adalah tempat tinggal kami selama tiga malam di Filipina bersama rombongan myHarapan untuk mempelajari tentang perniagaan sosial yang telah lama bertapak di sana.

Di Makabata Guesthouse, semua pekerjanya merupakan anak didik Bahay Tuluyan. Mereka mengambil program on-the-job training iaitu latihan kerja dan menguruskan segala yang diperlukan di guesthouse tersebut. Ada juga latihan kerja sebagai chef di cafe mereka yang terdapat dalam guesthouse tersebut.

Bilik tidur di Makabata Guesthouse memiliki saiz yang selesa dengan kelengkapan seperti alat penghawa dingin, alat pemanas air untuk mandi dan televisyen. Mereka juga menyediakan bilik mesyuarat.

Latihan kerja selama 12 bulan ini juga peluang untuk anak didik Bahay Tuluyan ini mendapatkan wang sampingan yang bakal dikumpul untuk pendidikan mereka. Malah ada yang juga berjaya mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Selain daripada memiliki guesthouse sebagai perniagaan sosial, Bahay Tuluyan juga memiliki empat buah ladang. Ladang ini juga digunakan oleh remaja yang sedang menjalani proses pemulihan juvana sebagai terapi dan mendapatkan kemahiran apabila mereka kembali ke masyarakat.

Hasil daripada program latihan kerja di Makabata Guesthouse, anak muda Bahay Tuluyan ini ada yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang pemasaran, kewangan, pekerjaan sosial dan jenayah.

Semasa hari terakhir kami berada di Manila, kami berpeluang berjumpa dengan pengarah urusan Bahay Tuluyan, Lily V. Flordelis.

Tita Lily menceritakan kisah anak jalanan Bahay Tuluyan yang kini menempatkan 250 kanak-kanak terabai dan teraniaya.

Bahay Tuluyan yang menjalankan 10 program dalam 3 peringkat iaitu tindak balas, campur tangan awal dan pencegahan. Ia juga berfungsi untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu yang dihadapi oleh kanak-kanak yang memerlukan perlindungan melalui program advokasi.

Melalui program-program yang dijalankan oleh Bahay Tuluyan di tiga kawasan iaitu Manila, Quezon dan Laguna, seramai hampir 9 ribu anak mendapatkan manfaat program anjuran mereka dalam waktu tiga tahun. Setiap tahun mereka membantu hampir 500 kanak-kanak yang teraniaya dan memberi perlindungan kepada mereka di pusat-pusat bantuan Bahay Tuluyan.

Walaupun mereka memberi perlindungan kepada anak-anak terabai atau teraniaya ini, Bahay Tuluyan mempunyai pendekatan untuk mereka berkomunikasi bersama keluarga dan komuniti mereka untuk menggalakkan anak-anak ini berhubung dengan mereka walaupun sudah meninggalkan keluarga mereka.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker