AntarabangsaIsu Semasa

Militan IS Di Baghouz Sudah “Dihapuskan Sepenuhnya”

Hari ini, Syrian Democratic Forces (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan bahawa kumpulan militan IS telah berjaya “dihapuskan sepenuhnya” di kubu terakhir mereka di Baghouz, Syria.

“Baghouz telah dibebaskan. Kemenangan tentera menentang Daesh (nama lain bagi IS) sudah tercapai,” kata Mustafa Bali, ketua pejabat media SDF.

SDF telah berjuang bermati-matian selama berminggu-minggu untuk menghapuskan cengkaman IS di kawasan berkenaan.

“Kami memperbaharui ikrar untuk meneruskan peperangan dan mencari serpihan-serpihan mereka sehingga mereka dihapuskan secara menyeluruh,” ujar Mustafa lagi.

Namun begitu, militan berkenaan masih lagi kekal sebagai ancaman besar. Sesetengah pejuangnya dilaporkan sedang bersembunyi di kawasan padang pasir terpencil di Syria dan beberapa bandar di Iraq.

Tetapi, mereka tidak bersembunyi untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa semata-mata, malah sedang merancang untuk bangkit semula dan melancarkan serangan atau penculikan.

Kerajaan AS turut mempercayai bahawa ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi, masih hidup dan berada di Iraq.

Selain itu,sumber perisikan berkata bahawa militan-militan di Afghanistan, Nigeria dan pelbagai negara lain dikatakan masih lagi setia dengan IS, dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk menarik semula kesetiaan itu.

Walau bagaimanapun, kejatuhan IS di Baghouz adalah satu pencapaian besar dalam perjuangan menentang IS dalam tempoh lebih daripada 4 tahun.

Menurut SDF, ia juga telah menangkap ratusan pejuang IS dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang cuba melarikan diri ke Iraq dan padang pasir di Syria.

Tahanan-tahanan IS kemudian ditempatkan di sebuah kem kecil, tetapi pejuang-pejuangnya masih lagi cuba untuk menembak anggota-anggota SDF.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga sempat merakamkan kejadian itu, dan video tersebut diterbitkan oleh IS untuk menunjukkan ‘semangat perjuangan’ yang tinggi agar boleh ‘memberi inspirasi’ kepada bakal militan.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker