AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Menang Atau Kalah Pilihan Raya, PM Thailand Akan Terus Kekal Berkuasa?

Selepas pihak tentera (Junta) menggulingkan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra pada tahun 2014, mereka berjanji untuk memerintah bagi tempoh dua tahun sahaja, dan akan memulihkan keadaan negara, termasuk menghapuskan rasuah.

Walau bagaimanapun, janji ‘bulan dan bintang’ itu tidak dikotakan dengan baik memandangkan mereka masih memerintah sehingga ke hari ini.

Malah, gejala rasuah dilaporkan bertambah buruk dan tentera juga telah melakukan pindaan perlembagaan untuk terus kekal berkuasa.

Indeks Persepsi Rasuah 2017 memberikan markah yang rendah kepada Thailand, iaitu 37 daripada 100.

Agensi anti-rasuah turut menyiasat kerajaan tentera kerana disyaki menyalahguna dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin bernilai kira-kira 129 juta baht (RM 15.9 juta).

Ini sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat, lebih-lebih lagi kerana pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada tahun lepas didakwa ‘sengaja’ ditangguhkan oleh kerajaan Junta.

Justeru, rakyat telah mengadakan pelbagai siri protes di jalanan bagi membantah pemerintahan tentera dan menggesa agar pentadbiran demokrasi dikembalikan semula.

Selepas beberapa kali ditangguhkan, Thailand akhirnya akan mengadakan Pilihan Raya Umum pertama sejak peristiwa rampasan kuasa 2014 pada Ahad ini, 24 Mac 2019.

 

‘SEPARA DEMOKRASI – SEPARA TENTERA’

Jawatan tertinggi dalam kerajaan Thailand adalah Perdana Menteri. Jawatan tersebut kini dipegang oleh Jeneral Prayuth Chan-o-Cha, iaitu individu yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014.

Keadaan politik di Thailand pada waktu ini juga adalah ‘separa demokrasi – separa tentera’.

Walaupun masih mengamalkan sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih, pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh tentera turut membolehkan kesemua 250 anggota Senat (selain daripada Ahli Parlimen) untuk memilih bakal perdana menteri.

Apa yang menjadi kebimbangan ramai pihak adalah 250 Senator itu akan dipilih oleh tentera.

Ini secara jelas akan memberi kelebihan kepada Prayuth, dan ia turut menunjukkan bahawa beliau sebenarnya ‘terdesak’ untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga adalah satu-satunya calon perdana menteri yang akan bertanding mewakili Junta.

Tentera juga memperkenalkan sistem undian baru yang ternyata tidak adil dan akan menjadi halangan besar kepada parti Pheu Thai yang pro-bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra (abang kepada Yingluck) untuk meraih kemenangan.

Selain itu, sistem baru ini juga memperuntukkan bahawa seseorang Perdana Menteri tidak semestinya perlu menjadi Ahli Parlimen (MP) untuk memegang jawatan tersebut.

 

 

SISTEM PENGUNDIAN BARU

Parlimen Thailand mempunyai 750 kerusi secara keseluruhan. 500 kerusi adalah di Dewan Rakyat bagi wakil rakyat, manakala 250 kerusi lagi adalah di Dewan Senat yang diperuntukkan untuk anggota Senat.

Kerusi minimum yang perlu diperoleh untuk membentuk kerajaan adalah 376.

Sebelum ini, pengundi akan membuat dua undian, satu bagi MP dan satu lagi bagi parti politik pilihan mereka.

Di bawah sistem baru pula, pengundi hanya boleh membuang satu undian sahaja, di mana undian bagi seseorang calon MP adalah undian untuk partinya juga.

Dalam pada itu, 350 daripada 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan akan diduduki oleh calon yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya.

Baki 150 lagi pula adalah ‘kerusi parti’, yang akan diduduki oleh anggota-anggota parti politik yang dipilih oleh beberapa calon daripada setiap parti, mengikut jumlah undian yang diterima oleh parti-parti tersebut.

 

 

PARTI MANA YANG BERTANDING?

Pilihan Raya kali ini menyaksikan pertembungan di antara pro-tentera, anti-tentera serta pihak neutral dan populis iaitu:

Pro-tentera: Palang Pracharat Party, yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-Cha.

Anti-tentera: Pheu Thai Party yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan.

Anti-tentera: Future Forward Party (FFP) yang baru ditubuhkan pada tahun lepas, dan dipimpin oleh bilionaire muda, Thanathorn Juangroongruangkit.

Neutral: Democrat Party yang dipimpin oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.

Populis: Bhumjaithai Party ditubuhkan pada tahun 2008 dan ia adalah ‘serpihan’ bekas parti Thaksin.

 

PEMBUBARAN PARTI THAI RAKSA CHART

Parti Thai Raksa Chart yang juga parti pro-Thaksin telah dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada awal bulan ini kerana menamakan Puteri Ubolratana, iaitu kakak sulung kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, sebagai calon Perdana Menteri.

Pembubaran ini memberi tamparan hebat kepada kem Thaksin untuk mendominasi Parlimen serta hasrat mereka dalam mengembalikan demokrasi secara penuh di Thailand.

Barisan kepimpinan tertinggi parti itu juga dilarang menyertai politik buat tempoh yang panjang dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Di Thailand, martabat keluarga diraja adalah lebih tinggi daripada politik dan mereka dianggap sebagai ‘separa dewa’.

Raja Maha Vajiralongkorn juga mengecam tindakan parti itu sambil menyifatkannya sebagai “tidak sesuai dan bertentangan dengan perlembagaan.”

Ketiadaan Thai Raksa Chart turut mendatangkan ‘senyuman’ kepada pihak tentera kerana salah satu pesaing utama mereka sudah ‘dihapuskan’.

 

CALON-CALON UTAMA PERDANA MENTERI 

1. Prayuth Chan-o-cha, Palang Pracharath Party

Prayuth merupakan individu utama disebalik penggulingan kuasa pentadbiran adik Thaksin, Yingluck pada tahun 2014.

Selepas mengambil alih pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri, beliau melaksanakan pelbagai dasar yang mengukuhkan lagi kedudukannya, sambil melemahkan parti-parti lain, terutamanya jentera politik Thaksin.

Sementara itu, caranya yang kasar, lidahnya yang ‘tajam’, dan sifat pemarahnya menimbulkan keraguan rakyat terhadap kemampuannya untuk bekerja dengan lancar dalam rangka kerja yang lebih demokratik.

Prayuth juga adalah satu-satunya calon Perdana Menteri yang mewakili tentera, dan beliau memiliki kelebihan kerana akan meraih sokongan meluas daripada anggota-anggota Senat lantikannya.

2. Sudarat Keyuraphan, Pheu Thai Party

Sudarat adalah pemimpin kepada parti pro-Thaksin. Walaupun Thaksin hidup dalam buangan, pengaruh politiknya masih kekal kuat di Thailand.

Kini berusia 57 tahun, Sudarat adalah seorang wanita yang berpendidikan tinggi. Beliau memasuki arena politik pada tahun 1991, dengan memenangi kerusi di Bangkok mewakili parti reformis, Palang Dharma Party.

Pada 1994 pula, Sudarat dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan di bawah kerajaan pimpinan Democrat Party.

Kelebihan utama yang ada pada Sudarat kali ini adalah beliau menjadi calon bagi parti utama Thaksin, iaitu Pheu Thai Party.

Lebih menarik lagi, parti-parti berkaitan bekas pemimpin itu telah memenangi setiap pilihan raya umum sejak tahun 2001.

3. Abhisit Vejjajiva, Democrat Party

Abhisit adalah salah seorang bekas Perdana Menteri Thailand. Beliau menyertai Democrat Party pada tahun 1992, dan menjadi pemimpin parti itu pada 2005.

Democrat Party, yang merupakan parti terlama di Thailand, mempunyai pengaruh yang kuat di bahagian selatan negara itu.

Parti tersebut juga telah menjadi ‘pembangkang utama’ kepada parti-parti Thaksin.

Salah satu titik hitam dalam pemerintahan Abhisit adalah protes jalanan besar-besaran pada tahun 2010, apabila penyokong-penyokong Thaksin berkumpul di Bangkok untuk menuntut pilihan raya baru.

Menjelang beberapa minggu, protes tersebut menjadi semakin ganas sekali gus menyebabkan campur tangan tentera untuk menamatkan krisis itu.

Walau bagaimanapun, insiden tersebut mengorbankan 91 nyawa dan mencederakan lebih daripada 2,000 mangsa, yang kebanyakannya terdiri daripada orang awam.

Pada pilihan raya selepas itu, Abhisit mengalami kekalahan besar apabila ditewaskan oleh Pheu Thai pimpinan Thaksin.

Kini, Abhisit melihat dirinya sebagai ‘bakal Perdana Menteri’ bagi pihak yang tidak mahu lagi dipimpin oleh tentera atau Thaksin.

4. Thanathorn Juangroongruangkit, Future Forward Party (FFP)

Thanathorn yang kini berusia 40 tahun memimpin FFP yang baru ditubuhkan olehnya pada tahun lepas.

Beliau adalah seorang ahli perniagaan kaya yang dilahirkan dan dibesarkan di Bangkok.

Sebelum berkecimpung dalam politik, beliau mengendalikan perniagaan keluarganya yang menjadi pengeluar alat ganti pelbagai barangan termasuk automotif, motosikal, peralatan elektrik, serta jentera pertanian.

Selain itu, kebanyakan kepimpinan FFP adalah individu yang bergiat aktif dalam komuniti badan bukan kerajaan (NGO), dan berusia dalam lingkungan 20 dan 30 tahun.

Walaupun parti ini dianggap masih ‘mentah’ dan mungkin tidak akan memenangi kerusi yang cukup bagi melayakkan Thanathorn menjadi Perdana Menteri, ia boleh membantu parti Pheu Thai yang juga anti-tentera untuk ‘menyekat’ Prayuth.

5. Anutin Charnvirakul, Bhumjai Thai Party

Anutin adalah pewaris kepada sebuah syarikat pembinaan yang maju. Mengikuti jejak langkah bapanya, beliau melibatkan diri dalam kedua-dua dunia politik dan perniagaan.

Bhumjai Thai Party meraih sokongan yang agak memberangsangkan apabila ia memperjuangkan isu-isu populis termasuk ‘penghalalan’ ganja, perkhidmatan perkongsian kenderaan (e-hailing), dan mahu membantu memudahkan pelajar untuk membayar semula hutang pengajian.

Pada pilihan raya umum tahun 2011, parti ini berada pada tangga ketiga. Anutin juga dilihat sebagai calon yang tidak berapa diketahui kemampuan sebenarnya, namun pada masa yang sama dijangka berpotensi untuk memenangi pilihan raya kali ini.

BERAPA RAMAI PENGUNDI DALAM PEMILIHAN KALI INI?

Usia minimum untuk mengundi di Thailand adalah 18 tahun, berbanding 21 tahun seperti yang diamalkan di negara Asia Tenggara yang lain seperti Malaysia dan Singapura.

Dalam pilihan raya kali ini, terdapat hampir 52 juta pengundi yang layak untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.

Daripada jumlah tersebut, 7 juta adalah pengundi kali pertama, dan mereka dilihat cenderung memberi sokongan terhadap FFP, memandangkan parti itu memberi fokus terhadap anak muda.

“Idea saya adalah untuk menjadikan parti ini agar berpegang teguh pada prinsip demokratik.

“Saya mahu melihat sebuah parti politik yang berani untuk membantah mana-mana organisasi, institusi, dan nilai yang menentang demokrasi,” kata Thanathorn ketika mendaftar partinya pada tahun lepas.

Jelas Thanathorn, beliau akan menjadikan amalan demokrasi sebagai sebahagian daripada setiap proses pembuatan keputusan, bermula daripada memilih anggota parti, menentukan hala tuju dan strategi, sehinggalah menubuhkan dasar-dasar parti.

FFP juga memperjuangkan tadbir urus yang telus, kesamarataan ekonomi dan hak, dan juga prinsip-prinsisp progresif.

 

BELIA SEMAKIN SEDAR

Sebelum ini, belia di Thailand dilaporkan tidak berminat dengan politik disebabkan perseteruan yang tiada penghujung di antara puak Baju Merah yang pro-Thaksin dan Baju Kuning yang pro-tentera.

Walau bagaimanapun selepas hampir lima tahun negara diperintah oleh tentera, golongan muda semakin sedar akan kepentingan untuk terlibat dalam politik secara aktif demi membawa perubahan yang sewajarnya.

Kebanyakan daripada mereka kecewa dengan tentera kerana gagal membawa perubahan substantif.

Berdasarkan sebuah tinjauan yang dilakukan oleh King Prajadhipok’s Institute, lebih daripada 90% responden pengundi muda berusia 18 sehingga 24 tahun berkata bahawa mereka akan keluar mengundi dalam pilihan raya kali ini.

“Belia pada hari ini tidak seperti sebelumnya. Kita semakin aktif berpolitik, dan kita adalah sebahagian besar pengundi.

“Ini adalah pilihan raya yang amat penting untuk kita. Ia bukan sekadar tentang pertukaran ahli politik, tetapi ia adalah testimoni sama ada kita menerima pemerintahan diktator, detik hidup dan mati untuk masa depan kita,” kata Netiwit Chotiphatphaisal, seorang aktivis pelajar.

Bagi pelajar berusia 21 tahun, Kittiphum Pannadermitri,  ekonomi adalah isu yang paling kritikal sekali.

“Saya rasa Thanathorn adalah daripada generasi baru dan mempunyai idea-idea baru. Saya rasa beliau mampu membantu memulihkan ekonomi, membantu petani-petani Thai, dan menangani masalah pencemaran,” katanya.

Boonyanuch Prachasingh, 20, pula menjelaskan bahawa dia mahukan sebuah parti yang mempunyai dasar yang kukuh dalam pendidikan, demokrasi, ketelusan, dan mampu membawa perubahan.

Menurut Boonyanuch, FFP adalah parti yang menarik kerana ia “menggalakkan anak muda untuk memberi perhatian terhadap politik.”

Dalam pada itu, seorang gadis berusia 23 tahun bernama Sawitree Puangngern berkata, minat rakan-rakan sebayanya dalam pilihan raya kali ini adalah amat tinggi, dan dia juga sudah memutuskan untuk mengundi FFP.

“Saya berminat dengan parti yang mahukan perubahan. Saya mahu tentera keluar daripada politik, dan saya mahu rakyat mendapatkan semula hak mereka,” tegasnya.

Seorang aktivis muda turut meluahkan kekecewaannya terhadap tentera dan mendesak agar negara tidak lagi ditadbir oleh mereka.

“Tentera sepatutnya melindungi negara, bukan menentang rakyat. Kita mahukan pilihan raya,” kata Parit Chiwarak, 20.

 

TENTERA PERKENAL “KAD KEBAJIKAN”

Kerajaan tentera telah memperkenalkan “kad kebajikan”, iaitu bantuan wang bagi meringankan beban golongan miskin.

Pemegang kad itu boleh menggunakannya untuk membeli barang-barang keperluan yang telah disubsidi oleh kerajaan di kedai-kedai runcit tertentu.

Difahamkan, sebanyak 14 juta kad kebajikan telah diberi kepada rakyat-rakyat hidup dalam keadaan miskin tegar.

Tentera juga berikrar untuk:

– Membantu lebih ramai wanita yang bakal menjadi ibu dan ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil

– Memberi pelepasan kepada pelajar daripada membayar hutang selama 3 tahun

– Subsidi untuk petani

– Mengekalkan kestabilan negara

 

KAWASAN PEDALAMAN ‘KUBU KUAT’ THAKSIN

Walaupun tidak berada di Thailand, Thaksin masih disokong oleh ramai rakyat kerana dasar-dasar yang diperkenalkan oleh beliau ketika memerintah dahulu yang dikenali sebagai “Thaksinomics.”

Difahamkan, Thaksin mula menjadi Perdana Menteri tiga tahun selepas Krisis Kewangan Asia 1998, dan beliau berjaya memulihkan ekonomi yang Thailand yang terjejas teruk pada waktu itu.

Dalam tahun pertama pemerintahannya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menyaksikan telah meningkat kepada 6.15%.

Beliau juga memberi fokus dan menjaga kebajikan penduduk-penduduk di kawasan pedalaman yang sering dilepas pandang oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Thaksin memperkenalkan pelbagai program termasuk sistem mikrokredit One Million Baht, One Village Fund Program dan 30 Baht Policy, program penjagaan kesihatan universal pertama di negara itu.

Program-program tersebut ternyata memberi manfaat besar terhadap rakyat, khususnya golongan petani di wilayah Utara dan Timur Laut negara itu, yang sehingga ke hari ini kekal sebagai penyokong besar Thaksin.

Kini, Pheu Thai Party dilihat mengambil langkah yang serupa seperti tentera untuk memenangi hati rakyat.

Mereka berjanji untuk:

– Menambah baik skim kad kebajikan yang diperkenalkan oleh tentera, 

– Pelepasan pembayaran hutang

– Subsidi untuk petani

– Memotong bajet pertahanan negara dengan jumlah yang besar

Walaupun Pheu Thai Party dan tentera mempunyai rancangan yang lebih kurang sama, rakyat mungkin akan lebih tertarik dengan parti berkaitan Thaksin itu memandangkan beliau sudah membuktikan prestasi yang cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat ketika zaman pemerintahannya dahulu.

Bagi tentera pula, kebanyakan janji tersebut, setakat ini, hanyalah kata-kata sahaja. Untuk mengetahui sama ada ia akan dikotakan atau tidak, rakyat perlu menunggu selepas pilihan raya.

Namun, tentera mempunyai rekod yang agak buruk dalam menunaikan janji. Seperti sebelum ini, mereka berjanji untuk memerintah selama dua tahun sahaja, tetapi sekarang ini mereka pula yang mahu terus memerintah, malah memperkukuhkan lagi kedudukan mereka sehingga seolah-olah memegang ‘kuasa mutlak’.

Jadi, tidak mustahil jika ‘sejarah lama berulang’ lagi selepas pilihan raya nanti.

SIAPA YANG AKAN MENANG?

Harrison Cheng, pengarah bersekutu dan ketua penganalisis di syarikat perundingan Control Risks, telah menggariskan ramalannya bagi parti-parti utama.

Menurut beliau, parti tentera, Palang Pracharat Party dijangka akan memenangi sehingga 70 kerusi.

Democrat Party berpotensi memperoleh di antara 80 dan 120 kerusi, manakala Pheu Thai Party pula akan menjadi parti yang paling cemerlang, dengan meraih 130 sehingga 200 kerusi.

Walau bagaimanapun, peluang tentera untuk membentuk kerajaan lebih cerah berbanding parti-parti pembangkang.

Memandangkan kesemua 250 anggota Senat dijamin akan memilih tentera, ini bermakna bahawa tentera hanya memerlukan sokongan 126 MP untuk membentuk kerajaan.

Dalam erti kata lain, walaupun pilihan raya belum lagi dilaksanakan, tentera sudah mempunyai jaminan 250 sokongan dalam Parlimen.

Parti-parti lain pula tidak boleh bergantung kepada sebarang undian Senat, dan memerlukan sokongan minimum 376 MP di Dewan Rakyat untuk memperoleh majoriti.

Justeru, terdapat kemungkinan besar parti-parti pembangkang perlu bergabung untuk mendapatkan kerusi yang cukup sekali gus membentuk kerajaan campuran.

Peraturan tersebut juga terpakai dalam pemilihan Perdana Menteri. Sebagai contoh, sekiranya semua Senator sebulat suara memilih seseorang calon itu sebagai Perdana Menteri, calon tersebut hanya memerlukan 126 undian daripada MP untuk merealisasikan perkara tersebut.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, seseorang calon Perdana Menteri tidak perlu menjadi MP untuk memegang jawatan tertinggi berkenaan.

Ini bermakna, jika Prayuth tewas sekali pun dalam pilihan raya, anggota-anggota partinya yang menjadi MP (jika cukup 126 orang minimum) dan anggota Senat lantikan tentera boleh mengangkat beliau menjadi Perdana Menteri dengan mudah.

Jadi, kalah atau menang sekali pun Prayuth dalam pilihan raya nanti, beliau dijangka masih akan kekal sebagai pemimpin negara.

Jika tentera memperoleh kerusi yang banyak, Prayuth akan mempunyai kuasa yang amat luas dalam pentadbiran akan datang dan jika tidak, beliau masih boleh memerintah sebagai kerajaan minoriti.

ADAKAH AKAN BERLAKU KEKECOHAN?

Keputusan pilihan raya, tidak kira berpihak kepada tentera atau parti lain, berpotensi untuk mencetuskan ketegangan di antara penyokong kedua-dua belah pihak.

Thitinan Pongsudhirak, seorang profesor sains politik di Chulalongkorn University berkata, rampasan kuasa bukanlah satu perkara asing dalam sejarah Thailand, dan protes ganas mungkin akan berlaku selepas selesai pilihan raya.

“Keadaan tidak menentu dalam pilihan raya ini. Saya rasa akan timbul pelbagai kontroversi walaupun sebelum keputusan akhir diumumkan,” katanya.

Selepas pilihan raya selesai, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempunyai masa sehingga 9 Mei untuk mengesahkan keputusan akhir.

Sepanjang tempoh itu juga, tampuk pemerintahan negara masih akan dipegang oleh Prayuth dan beliau mempunyai kuasa untuk ‘mengharamkan’ calon-calon politik lain atau menjadikan undi mereka ‘tidak sah’.

Campur tangan sedemikian oleh tentera cenderung untuk berlaku sekiranya Pheu Thai didapat mendahului undian.

“Kemungkinan-kemungkinan radikal lain termasuk membatalkan terus keputusan pilihan raya secara menyeluruh dan menetapkan tarikh baru untuk pilihan raya semula,” jelas Pongsudhirak.

Lebih teruk lagi, jika parti pembangkang menang, Pongsudhirak tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi episod rampasan kuasa yang dilancarkan oleh tentera bagi melewatkan pengembalian pemerintahan demokratik.

“Jika tentera menerima hakikat bahawa Pheu Thai memenangi pilihan raya, mereka akan cuba untuk melewat-lewatkan pembentukan kerajaan baru itu,” tambah beliau.

BAGAIMANA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA AKAN MEMBERI KESAN KEPADA EKONOMI?

Pakar-pakar ekonomi menjelaskan bahawa ekonomi Thailand berpotensi untuk terjejas susulan ketidaktentuan dalam pilihan raya kali ini.

“Sesiapa pun yang menang, peralihan ke arah populisme ekonomi cenderung untuk berterusan, (sekali gus) melewatkan pembaharuan yang diperlukan untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti,” kata mereka.

Tambah pakar, sekiranya berlaku huru-hara, sektor pelancongan yang membentuk 18% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand, akan terjejas dengan teruk.

Protes-protes ganas juga akan menjejaskan perniagaan dan keyakinan pengguna, selain daripada menyebabkan kejatuhan pasaran kewangan.

Tetapi, perlembagaan baru yang dipinda oleh tentera mewajibkan kerajaan yang akan datang untuk mengekalkan pelan strategi kebangsaan 20 tahun tentera.

Pelan itu termasuk perbelanjaan infrastruktur dan pelbagai inisiatif untuk mengangkat Thailand dari segi rangkaian nilai.

Dengan adanya pelan berkenaan, pelabur-pelabur akan menjadi lebih yakin untuk melabur di Thailand memandangkan sudah wujud satu dasar yang berterusan buat jangka masa panjang, tanpa mengira kerajaan mana yang memerintah.

Sumber: CNBC, Reuters, The Diplomat, BBC, Al-Jazeera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker