Isu SemasaTempatan

Cadangan Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah Disambut Baik, Tetapi…

Pada 19 Mac baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercadang untuk menubuhkan mahkamah khas rasuah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes berkaitan salah laku berkenaan.

Cadangan ini adalah selaras dengan inisiatif pelan anti rasuah nasional, dan mahkamah tersebut boleh memberi tumpuan kepada kes-kes terdahulu yang membabitkan rasuah.

Menurut Dr Mahathir, antara kes yang akan dibawa ke mahkamah tersebut membabitkan Kementerian Pertahanan, di mana kerajaan mengenal pasti terdapat penjualan tanah dengan cara yang menyalahi undang-undang bagi tujuan membina kem tentera.

“Kem-kem tentera dibina dengan begitu dikenalpasti dibina kerana untuk pilihan raya supaya askar-askar boleh ditempatkan di kem-kem ini dan dapat undi di kawasan tertentu.

“Ini adalah satu kesalahan tapi kita dapati banyak yang dilakukan secara landswap (pertukaran tanah) supaya mempercepatkan kem pertahanan ini didirikan.

“Ada kes selepas pilihan raya kem ini dikosongkan,” katanya.

KERAJAAN SERIUS DALAM HAPUSKAN RASUAH

Cadangan untuk menubuhkan mahkamah khas ini mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menghapuskan rasuah di dalam negara.

Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, usaha ini akan memberi tanggapan baik seluruh dunia terhadap kesungguhan Malaysia untuk membanteras rasuah menerusi langkah-langkah proaktif demi mempercepatkan proses keadilan.

“Dengan penubuhan dua mahkamah ini, kes-kes rasuah boleh diselesaikan dengan pantas kerana ia tidak akan mengendalikan kes-kes lain.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam hal-hal berkaitan keadilan, dan ia juga adalah satu penzahiran ke arah mencapai objektif Kedaulatan Undang-Undang,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor melihat cadangan ini sebagai visi jangka masa panjang ke arah menjadi negara bebas rasuah, justeru harus disambut baik oleh semua pihak.

Jelas beliau, penubuhan mahkamah ini juga tidak semestinya akan memakan kos yang besar.

“Ia tidak semestinya membabitkan perbelanjaan yang besar untuk menubuhkan mahkamah ini, di mana sebarang perbelanjaan yang dikeluarkan menjurus kepada perkara positif dan ia tidak seharusnya menjadi kekangan untuk dilaksanakan,” katanya.

PENUBUHAN MAHKAMAH PERLU DIKAJI TERLEBIH DAHULU

Walaupun cadangan ini disambut baik, Fareed berpandangan bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum menubuhkan mahkamah berkenaan dan ia perlu melibatkan pihak-pihak berkepentingan utama termasuk Badan Peguam Malaysia.

Tambahnya, Badan Peguam Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan demi memastikan kajian terperinci dilakukan dilakukan sebelum penubuhan mahkamah tersebut.

Dalam pada itu, peguam Samantha Chong yang merupakan bekas timbalan pendakwa raya, mempersoalkan sama ada negara ini sudah mempunyai jumlah pendakwa raya dan hakim terlatih yang mencukupi, yang berpengalaman dalam kes-kes rasuah untuk mengendalikan mahkamah khas itu.

“Peraturan bukti dan prosedur bagi kes-kes di bawah Akta SPRM adalah lain daripada kes-kes jenayah biasa.

“Untuk mempercepatkan pendengaran bagi kes rasuah, kita memerlukan pendakwa raya dan hakim yang dilatih khusus untuk mengendalikan kes rasuah yang menekankan integriti, efisiensi, dan kepakaran tanpa menjejaskan hak tertuduh,” kata Chong.

Sumber: The Star, The Sun Daily

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button