AntarabangsaIsu Semasa

Selepas Tragedi Christchurch, New Zealand Haramkan Terus Penjualan Senjata Api!

New Zealand (NZ) pada hari ini menguatkuasakan larangan ke atas senapang dan senjata-senjata semi-automatik berikutan serangan pengganas di dua buah masjid di Bandar Christ pada Jumaat lepas.

Menurut Perdana Menteri, Jacinda Ardern, pengharaman ini dilaksanakan demi memastikan tragedi yang mengorbankan 50 orang itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

“Secara ringkasnya, semua senjata semi-automatik yang digunakan dalam serangan pengganas pada Jumaat akan diharamkan di negara ini,” kata Ardern.

Langkah yang diambil oleh New Zealand ini disambut baik dan dipuji oleh seluruh dunia serta penyokong-penyokong kawalan senjata api di Amerika Syarikat (AS).

Namun, ia adalah ‘mimpi ngeri’ bagi kumpulan penyokong pro-senjata api di AS yang mempertahankan hak mereka untuk memiliki senjata seperti yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan negara.

IKUT JEJAK LANGKAH NEW ZEALAND

“Inilah tindakan sebenar dalam menghentikan keganasan senjata api,” kata Senator Demokrat AS, Bernie Sanders menerusi laman Twitternya.

“Kita perlu mengikuti tindakan New Zealand ke atas NRA (National Rifle Association) dan mengharamkan penjualan serta pengagihan senjata api di AS,” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang anggota Kongres Demokrat berprofil tinggi, Alexandria Ocasio-Cortez turut mengkritik kegagalan kerajaan AS untuk mewujudkan undang-undang kawalan senjata api yang paling ringan sekali pun, berikutan pelbagai insiden tembakan rambang seperti yang berlaku di Sandy Hook Elementary School di Connecticut pada tahun 2012, yang meragut nyawa 20 kanak-kanak dan 6 kakitangan sekolah.

“(Insiden) Sandy Hook berlaku 6 tahun lalu, dan kita pula gagal mendapatkan Senat untuk mengadakan undian semakan latar belakang universal (ke atas pembeli senjata).

“(Insiden) Christchurch telah berlaku, dan dalam tempoh beberapa hari, New Zealand bertindak mengeluarkan senjata-senjata peperangan daripada pasaran pengguna. Ini adalah kepimpinan sebenar,” katanya.

Tetapi setakat ini, Presiden Donald Trump masih tidak memberikan sebarang reaksi berhubung larangan senjata api yang dilaksanakan oleh New Zealand.

“SERANGAN PENGGANAS MENGUBAH KAMI”

Majoriti rakyat New Zealand turut memberi sokongan padu ke atas perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ini adalah perkara yang baik. Mengapa kita memerlukan pistol di rumah kita? Senjata semi-automatik, adakah anda akan menyimpannya di rumah? Ini tidak bagus,” kata Kawthar Abulaban, 54, salah seorang mangsa yang terselamat dalam insiden di Christchurch.

Simon Bridges, ketua parti pembangkang National Party juga menyambut baik larangan berkenaan sambil berikrar untuk “bekerjasama secara konstruktif” dengan kerajaan.

“Serangan pengganas di Christchurch pada minggu lepas telah mengubah kita sebagai sebuah negara.

“Kami bersetuju bahawa orang awam tidak memerlukan akses kepada senjata semi-automatik,” jelasnya.

Sumber: The Sun Daily – AFP

Show More

Related Articles

Back to top button