Isu SemasaTempatan

Adakah PUBG Akan Diharamkan Di Malaysia? Ini Jawapan SKMM

Insiden serangan pengganas yang berlaku di dua buah masjid di Bandar Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu adalah satu tragedi yang tidak akan dilupakan.

Pengganas warga Australia bernama Brenton Tarrant itu bertindak melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan 50 nyawa, manakala ramai mangsa lain yang turut tercedera.

Di dalam pengakuan bertulisnya, Tarrant mengakui permainan video adalah salah satu faktor yang mempengaruhinya untuk melancarkan serangan berkenaan.

Berikutan itu, wujud segelintir pihak yang menganggap bahawa insiden keganasan di Christchurch menyamai permainan video berunsur ganas seperti PlayersUnknown Battleground, atau lebih dikenali sebagai PUBG.

Malah, terdapat juga gesaan yang mendesak agar permainan itu diharamkan terus.

PUBG “MENGHILANGKAN PERASAAN SIMPATI”

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataan pada Ahad lalu menegaskan bahawa kerajaan perlu mengharamkan PUBG kerana permainan itu mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain daripada menghilangkan perasaan belas kasihan.

Jelas beliau, perkara ini perlu dipertimbang oleh kerajaan kerana PUBG memberi kesan terhadap kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar.

“Bagi saya permainan seperti ini sudah lama dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” katanya sambil menambah bahawa permainan itu juga boleh membentuk anak muda yang “tidak mempunyai perasaan.”

Melihat pada keadaan semasa, Mohd Yusof turut meluah kebimbangannya terhadap perkara tidak diingini yang berpotensi untuk berlaku pada masa akan datang.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Dalam keadaan semasa, jika hukuman mati mahu dihapuskan, tidak mustahil suatu hari nanti senjata api boleh dimiliki tanpa lesen. Jika PUBG sudah dihadam ramai anak muda, fikirkanlah kesannya,” ujarnya.

APA KATA MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA?

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah berkata, adalah tidak wajar untuk mengaitkan PUBG dengan unsur keganasan yang berlaku di Christchurch kerana seseorang individu yang sudah mempunyai fahaman pelampau akan tetap melakukannya, walaupun tanpa pengaruh permainan video.

“Percayalah, ada atau tiada games (permainan berunsur penembakan secara dalam talian), kalau orang dah ada fahaman ekstremisme… mereka akan lakukan dan laksanakan keganasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan bahawa permainan tersebut tiada kaitan dengan keganasan yang berlaku.

“Kita harus beri penghormatan kepada mangsa. Adakah ia bermaksud kita kena haramkan semua games kerana ia berkait rapat dengan unsur penembakan? Saya rasa ia (insiden di Christchurch) lebih besar daripada itu.

“Sebelum (kewujudan) PUBG, keganasan tetap berlaku justeru, kita jangan cepat salahkan satu sebab,” ujarnya.

ADAKAH PUBG AKAN DIHARAMKAN DI MALAYSIA?

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan menghentikan permainan video berunsurkan peperangan buat masa ini, tetapi dengan syarat.

Syaratnya adalah kandungan permainan itu ada di dalam peruntukan undang-undang.

Namun, Pengerusi SKMM, AL-Ishsal Ishak telah ditanya, adakah pihak berkuasa akan mempertimbangkan langkah untuk mengharamkan permainan seumpamanya?

Ini jawapan beliau:

“Jawapan ringkas saya adalah tidak. Kita tidak memantau atau menghentikan permainan berasaskan perang buat masa ini selagi kandungannya di dalam peruntukan undang-undang.

“Tetapi jika kandungannya tiada dalam peruntukan undang-undang, kita jelas mempunyai keupayaan untuk mengambil tindakan.”

PIHAK BERKUASA INDIA HARAMKAN PUBG

Sementara itu, pihak berkuasa Gujarat, India telah mengharamkan PUBG di beberapa daerah termasuk Bandar Rajkot dan Surat berkuatkuasa ada 6 Mac sehingga 30 April 2019.

Menurut polis, langkah tersebut diambil sususlan peningkatan kes keganasan dalam kalangan kanak-kanak dan belia di sana, dan pengharaman ini juga dilaksanakan pada waktu yang tepat kerana peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi.

PUBG juga dikatakan merbahaya kerana menyebabkan ketagihan kepada pemain sehingga memberi kesan negatif ke atas perekmbangan sosiologi.

Namun beberapa hari selepas larangan itu mula berkuatkuasa, polis telah menahan seramai 10 individu di Rajkot kerana bermain PUBG di kawasan umum.

“Akibat sibuk bermain PUBG, tertuduh langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis yang mendekati mereka,” kata Rohit Raval, memetik laporan The Indian Express.

 

Sumber: The Star, Astro Awani, Indian Express

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker