Gaya HidupKesihatan

Mengapa TV di Bilik Tidur Tidak Baik Untuk Kesihatan Kanak-Kanak

Penyelidikan baru di Kanada mendapati bahawa kanak-kanak yang membesar dengan TV di bilik tidur mungkin mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental setelah mencapai usia remaja mereka.

Dijalankan oleh penyelidik di Sekolah Psikologi Pendidikan Université de Montréal dan INRS-IAF, kajian itu mengkaji data yang diperoleh daripada 1,859 orang kanak-kanak Quebec yang lahir antara musim bunga tahun 1997 dan musim bunga 1998.

Kanak-kanak itu dikaji semenjak usia empat tahun, dan penyelidik menilai kesihatan kanak-kanak pada umur 12 dan 13 tahun.

Ini dilakukan dengan mengukur indeks jisim badan dan meminta kanak-kanak melaporkan pengambilan makanan tidak sihat mereka, serta melengkapkan versi ringkas Inventori Kemurungan Kanak-kanak.

Guru sekolah juga diminta menilai pendedahan kanak-kanak terhadap tekanan emosi, bagaimana kanak-kanak dapat bersama-sama dengan orang lain di dalam kelas dan sama ada mereka dibuli.

Menurut para penyelidik, langkah-langkah kesihatan ini adalah merupakan petunjuk kesihatan fizikal dan mental mereka apabila dewasa.

Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Pediatric Research menunjukkan bahawa mempunyai TV di bilik tidur pada usia empat tahun dikaitkan dengan indeks jisim badan yang lebih tinggi, tabiat makan yang tidak sihat, tahap pergaulan yang lebih rendah, dan tahap tekanan emosi yang lebih tinggi, gejala depresi dan keganasan tanpa mengira faktor individu dan keluarga yang mungkin telah meningkatkan risiko masalah tersebut.

“Tahun-tahun awal adalah tempoh kritikal dalam perkembangan kanak-kanak,” kata penulis kajian Linda Pagani, yang akan membincangkan kajian ini di Konvensyen Sains Psikologi Antarabangsa di Paris.

“Secara intuitif, ibu bapa tahu bahawa bagaimana anak-anak mereka menghabiskan masa lapang mereka akan memberi kesan kepada kesejahteraan mereka selama jangka panjang,” tambahnya.

“Jelaslah bahawa banyak masa yang mereka habiskan di depan skrin mempunyai kesan ke atas pertumbuhan dan perkembangan mereka, terutama jika TV berada di tempat persendirian seperti bilik tidur.”

“Dengan perhatian mereka dialihkan, kanak-kanak berisiko tidak mempunyai interaksi fizikal dan sosial yang mencukupi untuk mempromosikan pembangunan fizikal dan sosio-emosi yang betul,” kata Pagani.

“Hari ini, memandangkan akses kepada peranti digital sangat terbuka, garis panduan American Academy of Pediatrics jelas mempunyai alasan untuk menggalakkan zon bebas skrin dan lokasi bebas skrin di rumah, terutamanya memandangkan implikasi untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

“Penyelidikan kami menjadi bukti yang kuat untuk panduan ibu bapa mengenai kesan TV dan peranti lain dalam pembesaran anak-anak,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button