AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Akan Bangunkan Peluru Berpandu Baru Untuk Menangkis Ancaman China?

Kementerian Pertahanan Jepun berhasrat untuk membangunkan peluru berpandu pelayaran jarak jauh udara ke kapal, untuk dipasang pada jet pejuang milik Angkatan Pertahanan Diri Jepun (ASDF) bagi membolehkannya menyerang kapal perang musuh dari jarak jauh.

Pembangunan senjata baru ini adalah berdasarkan peluru berpandu supersonik udara ke kapal XASM-3 milik negara itu, dan akan menjadi peluru berpandu pertama yang dibangunkan sendiri oleh Jepun.

Memetik laporan Asia News Network, rancangan pembangunan senjata ini adalah sebagai langkah tindak balas, berikutan kemajuan pesat Tentera Laut China dari segi keupayaan serangan.

Peluru berpandu berkenaan dilaporkan mampu memperkasakan lagi keupayaan pertahanan Jepun, di mana jarak tembakannya dinaik taraf kepada lebih daripada 400 kilometer.

Menurut sumber kerajaan, Kementerian Pertahanan sasar untuk menggunakannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Peluru berpandu itu juga dianggap sebagai “keupayaan pertahanan jarak selamat”, di mana serangan akan dilancarkan jauh daripada lokasi musuh.

Perkara ini telah pun ditetapkan di bawah Garis Panduan Program Pertahanan Kebangsaan yang digunapakai oleh Kabinet Jepun pada bulan Disember lalu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan juga telah melengkapkan pembangunan XASM-3 pada tahun 2017.

Peluru berpandu berkenaan dipasang pada jet pejuang F-2 ASDF, dan ia mempunyai kelajuan Mach 3, iaitu tiga kali ganda lebih pantas daripada peluru berpandu anti-kapal konvensional.

Walau bagaimanapun, XASM-3 hanya boleh mencapai jarak di antara 100 kilometer sehingga 200 kilometer.

Pada sekitar tahun 2000, China telah memperkenalkan sebuah kapal perang berkuasa tinggi dikenali sebagai “Chinese Aegis Destroyer,” yang dilengkapi dengan peluru berpandu yang boleh mencecah jarak sejauh 150 kilometer.

Di antara tahun 2013 sehingga 2018 pula, China berjaya menghasilkan lebih daripada 15 buah kapal itu dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat.

Justeru, Jepun memerlukan peluru berpandu yang mempunyai jarak operasi dua kali ganda lebih banyak berbanding XASM-3 bagi menangkis serangan tentera laut China dengan lebih efektif.

Sumber: Straits Times – Asia News Network
Show More

Related Articles

Back to top button