Isu SemasaTempatan

Gaji CEO Naik Berlipat Kali Ganda, Tetapi Gaji Pekerja Biasa Pula ‘Bergerak Lembap’

Tidak dinafikan bahawa kemajuan sesebuah negara adalah bergantung kepada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pasaran sahamnya.

Namun dalam satu kenyataan baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur dengan dua perkara itu semata-mata.

Menurut Dr Mahathir, taraf kehidupan yang lebih tinggi bagi rakyat juga adalah faktor yang sama penting dalam mengukur kemajuan negara.

Justeru, beliau menggesa majikan-majikan untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja sekiranya meraih keuntungan yang besar.

“Saya menggesa anda semua untuk mempunyai pemikiran pihak berkepentingan. Bayar gaji lebih tinggi kepada pekerja anda jika anda meraih keuntungan lebih.

“Kami mendapati bahawa gaji CEO (ketua pegawai eksekutif) telah meningkat berlipat kali ganda, tetapi pendapatan pekerja meningkat dengan perlahan, atau tidak naik langsung,” katanya ketika berucap di majlis Invest Malaysia 2019 pada Selasa.

Selain itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan jurang pendapatan. Jika perkara ini diabaikan, ia boleh mencetuskan ketegangan dan permusuhan, malah membawa kepada konfrontasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh mempunyai hanya satu kumpulan sahaja yang berjaya, mendominasi, atau memonopoli segala perkara sementara (golongan) lain ketinggalan di belakang,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia Ke-7 itu turut mengingatkan komuniti pelaburan tentang peranannya dalam menghapuskan rasuah.

Jelas Dr Mahathir, pelabur boleh memutuskan untuk tidak membeli saham atau membuat sebarang perjanjian dengan pengarah atau syarikat yang melakukan amalan rasuah.

Bagi pihak kerajaan pula, langkah-langkah yang sewajarnya telah diambil demimemastikan tiada seorang pun ahli politik aktif yang dipilih untuk memegang jawatan tertinggi dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Kita juga sedang berada dalam proses melaksanakan inisiatif-inisiatif baru yang memerlukan pindaan Perlembagaan dan Akta-akta tertentu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Dr Mahathir juga menasihati golongan muda bahawa sekiranya mereka mahu meminta gaji yang lebih tinggi, mereka perlu menjadi lebih produktif.

“Jika mereka produktif, mereka boleh dibayar gaji lebih tinggi, kerana mereka menjadi produktif menerusi pendidikan dan latihan yang lebih baik,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi.

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker