Bisnes & Ekonomi

Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka & Ketidakpuasan Hati Sesetangah Pihak?

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melaksanakan Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka bermula pada 1 Januari 2019.

Pelaksanaan ini adalah selaras dengan keputusan Kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar ini dengan beberapa penambahbaikan termasuk memberi peluang kepada usahawan Bumiputera baharu menceburkan diri dalam industri ini.

Ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI telah menerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP Terbuka. Tawaran ini telah dibuat melalui kenyataan media bertarikh 13 Mei 2016 di portal MITI dan media massa.

Setelah penilaian dibuat, yang turut melibatkan kerja-kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat, iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.

Apa Itu AP Terbuka?

AP Terbuka adalah kemudahan import permit yang diberikan oleh MITI khusus untuk syarikat-syarikat Bumiputera yang layak untuk mengimport kenderaan terpakai untuk dijual di pasaran domestik.

Syarikat-syarikat ini tertakluk kepada syarat-syarat pematuhan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh MITI.

Antara Terma dan Syarat Syarikat AP

  1. Tiada orang tengah atau syarikat perantaraan diwujudkan untuk menjual kenderaan import
  2. AP yang dikeluarkan perlu digunakan pada tahun yang sama diluluskan sebelum 31 Disember
  3. Kenderaan perlu dipamerkan atau disimpan di premis yang telah diluluskan oleh MITI

Syarat-syarat Syarikat Diberikan AP

Di antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi ialah:

  1. Syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan-jawatan penting di peringkat pengurusan
  2. Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan
  3. Mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Syarat-syarat semasa mengenai kelayakan sebagai syarikat AP Terbuka dan senarai terkini syarikat yang telah dilantik sebagai syarikat AP Terbuka di bawah Dasar Baharu AP Terbuka boleh dirujuk di portal MITIĀ www.miti.gov.my.

Dasar Baharu MITI

Dasar baharu ini yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2017 telah ditangguhkan selama hampir 2 tahun berikutan keadaan pasaran domestik automotif yang tidak menentu.

Objektif dasar baharu ini adalah bertujuan:
i) menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera baharu di dalam industri automotif;
ii) memastikan dasar ini terus menyumbang kepada matlamat sosioekonomi negara; dan
iii) menyuntik persaingan di dalam pasaran yang akan memberi manfaat kepada pembeli terutamanya dari segi harga kenderaan dan perkhidmatan.

Di bawah dasar baharu ini, tiada had untuk keseluruhan AP yang akan diluluskan sepanjang tahun. Semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu, boleh memohon tambahan AP berdasarkan prestasi jualan.

Pada masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi.

Proses pemantauan dan pengauditan ke atas syarikat-syarikat AP Terbuka ini akan dilakukan berterusan oleh pihak MITI.

Tindakan Jika Melanggar Dasar Baharu

1. Menarik balik atau membekukan AP yang telah diperuntukkan dan diluluskan;
2. Menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperolehi AP Terbuka pada masa hadapan; dan
3. Mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.

Pada 2018, MITI telah menyenarai hitam 9 syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat-syarat AP Terbuka yang ditetapkan oleh Kementerian pada masa ini lapor BERNAMA.

Ada Yang Masih Tidak Berpuas Hati Dengan AP Diberikan Kepada Bumiputera?

Setelah pengumuman MITI memberikan 36 AP baharu kepada syarikat milik bumiputera, FMT telah mengeluarkan sebuah rencana mengatakan ahli ekonomi mengatakan sistem AP yang dikeluarkan ini tidak akan membantu golongan bumiputera.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak telah mempersoalkan alasan kerajaan untuk membantu Bumiputera dengan meneruskan sistem AP tersebut kerana ia tidak memiliki halatuju yang jelas untuk membantu komuniti. Ini kerana menurut Borjoyai, pemilik AP tidak mengambil ramai pekerja.

“Jika kerajaan mahu membantu Bumiputera dengan sistem AP, mereka seharusnya mendirikan sebuah yayasan yang menguruskan AP yang mana keuntungan yang mereka dapati boleh digunakan untuk meningkatkan dana,”kata Barjoyai.

“Yayasan ini akan menyalurkan wang keuntungan dengan memberi biasiswa kepada golongan B40 atau memberi bantuan kewangan jangka pendek kepada pelajar ataupun usahwan kecil,” tambahnya lagi.

Seorang lagi ahli ekonomi, Firdaos Ramli dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berkata Putrajaya seharusnya jelas dengan perancangan Dasar Automotif Nasional (NAP).

“Dalam merancang NAP baharu, perundingan dengan pihak berkepentingan perlu juga melibatkan persatuan pengguna dan bukannya hanya mereka yang terlibat dalam industri automotif.

Pada penghujung hari, apa-apa akibat yang tidak diingini seperti harga kereta yang lebih tinggi sehingga kurangnya pilihan kenderaan ianya akan jatuh ke atas tangan pengguna,” kata Firdaos.

Menurut Firdaos lagi permohonan AP tidak konsisten dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan langkah ke depan adalah untuk menukarkan AP ke arah format yang didorong oleh jualan dan bukannya format yang didorong oleh import.

“Kita perlu kembali kepada yang ada di mana pemilik AP menjual kereta yang sama mereka import. Memberikan laporan audit kepada orang awam dengan semak dan imbang yang betul,” kata Firdaos.

Mantan ketua DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata sistem AP ini tidak memupuk perniagaan kompetitif. Ia seharusnya dilakukan melalui tender terbuka, sesuatu yang dipromosikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Tender terbuka AP boleh dilihat juga boleh dilihat sebagai langkah peralihan sementara untuk bergerak ke arah pasaran automotif yang bebas dan kompetitif,” katanya sambil menambah AP perlu dihapuskan dan digantikan dengan cukai import yang diubahsuai.

“Ini boleh melahirkan pasaran tempatan yang lebih kompetitif, menjana inovasi orang tempatan dalam industri automotif dan melahirkan ekonomi yang lebih mendorong pasaran,” kata Boo.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker