Isu SemasaTempatan

Apa Sudah Jadi Dengan oBike? Dah Lama Tak Nampak Kelibatnya…

Adakah anda masih ingat dengan basikal kuning ini?

Kelibat basikal yang dikenali sebagai ‘oBike’ ini selalu dilihat di pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan Subang Jaya, di mana ia digunakan oleh setiap lapisan masyarakat sebagai medium pengangkutan alternatif.

Tetapi adakah anda perasan bahawa basikal ini tidak lagi kelihatan sejak kebelakangan ini?

Justeru, pasti ramai juga yang tertanya-tanya. Apa yang sudah berlaku kepada oBike? Wujud lagi ke tidak?

Difahamkan, ribuan basikal milik syarikat oBike (M) Sdn Bhd kini menjadi ‘besi usang’ yang tersadai di depoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Basikal-basikal oBike yang terbengkalai di depoh DBKL – Sumber imej: The Star

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turut memberi amaran keras kepada syarikat tersebut “menuntut basikal-basikal ini sebelum pertengahan April” dan jika gagal berbuat demikian, ia akan disita dan dihapuskan atau dijual sebagai besi buruk.

DI MANA SILAPNYA?

Pada April 2017, aplikasi perkongsian basikal telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Dalam tempoh masa yang singkat, basikal kuning itu dilihat membanjiri bandar tersebut kerana menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Berdasarkan satu wawancara StarMetro pada bulan Jun tahun itu bersama seorang eksekutif daripada oBike, aplikasinya mempunyai lebih daripada 20,000 pengguna, di mana mereka dicaj RM1 bagi penggunaan setiap 15 minit.

Bayaran dilakukan menerusi eWallet beserta deposit. Pengguna yang memuat turun aplikasi boleh menempah mencari, menempah, dan kemudian menggunakan kod QR untuk mendapat akses kepada basikal itu.

Walau bagaimanapun, DBKL berdepan waktu yang sukar untuk ‘mengumpul’ semula basikal-basikal tersebut yang telah dibiarkan begitu sahaja di hampir setiap pelusuk bandar, termasuk di kawasan sungai, lorong, dan juga parit.

Sebahagian besar masalah ini berpunca daripada kekurangan tempat khusus untuk meletak semula basikal itu selepas penggunaannya.

Ini sekali gus menyebabkan ramai pengguna membiarkan basikal mereka di merata-rata tempat secara tidak bertanggungjawab.

“Ia lebih kepada pembengkalaian,” kata seorang pegawai penguatkuasa DBKL.

“Pegawai-pegawai kami sentiasa mengumpul basikal-basikal ini yang telah rosak teruk, dan mereka memakan ruang di depoh kami.

“Adalah ironik bahawa syarikat (oBike), yang mengangkat dirinya sebagai mesra alam dan mahu memelihara alam sekitar, kini mengabaikan tanggungjawab itu,” kata pegawai tersebut.

SYARIKAT OBIKE HANYA ‘BERDIAM DIRI’

Pegawai DBKL berkenaan turut berkata bahawa pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada wakil oBike.

Malah, DBKL juga telah mengadakan beberapa mesyuarat dalaman bagi menyelesaikan masalah ini, dan sebahagiannya adalah untuk mencari nasihat undang-undang mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap basikal-basikal yang telah dibiarkan.

“Kita sedang cuba mencari jalan bagi melakukan ‘pembersihan’ basikal-basikal ini dan menuntut kos untuk membuat demikian kerana basikal itu tidak dimiliki oleh kami.

“Kebanyakannya telah ditinggalkan dan ia adalah satu proses yang panjang untuk mendapat kelulusan daripada pelbagai jabatan, termasuk pentadbiran dan penguatkuasaan,” jelasnya.

 

 

‘TARIKH MATI’ UNTUK TUNTUT BASIKAL 15 APRIL INI

Pihak oBike diberi tempoh sehingga 15 April ini untuk menuntut semula basikal-basikalnya yang berada di depoh DBKL.

Namun, pegawai-pegawai DBKL meluahkan kekecewaan kerana gagal untuk menghubungi wakil daripada oBike.

“Kita telah cuba menghubungi mereka dan ia tidak mudah. Malah, kami berhak untuk mengeluarkan saman kepada oBike atas kesalahan membuang sampah dan gangguan.”

“Pada asalnya, kami mewujudkan perkongsian dengan oBike kerana prinsip ‘mesra alamnya’, dan DBKL juga sedang berusaha untuk mengurangkan karbon dan menyelamatkan alam sekitar, tetapi basikal-basikal tersebut kini menjadi gangguan kepada kami dan juga telah menjadi sampah,” tegas seorang pegawai.

Sementara itu, StarMetro juga dikatakan gagal untuk menghubungi oBike.

Pengurus-pengurus yang pernah diwawancara sebelum ini memberitahu StarMetro bahawa mereka tidak lagi bekerja di syarikat itu selain daripada tidak tahu sama ada oBike masih wujud atau tidak.

Walaupun aplikasinya masih boleh dimuat turun di Android dan Apple store, terdapat pelbagai aduan oleh pengguna yang tidak berpuas hati kerana deposit mereka tidak dipulangkan.

Sumber: StarMetro

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker