Isu SemasaTempatan

Ramai Militan Ganas ‘Tumpas’ Di Tangan PDRM

Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan pada Isnin, 18 Mac 2019 berkata bahawa seramai 13 suspek pengganas telah ditahan dalam operasi anti-keganasan yang dilancarkan oleh Cawangan Khas Counter-Terrorisme Bukit Aman baru-baru ini.

Daripada kesemua suspek itu, 12 adalah warga Filipina manakala seorang lagi adalah rakyat Malaysia. Tangkapan dilaksanakan pada 11 Mac dan 12 Mac di Semporna dan Tambunan.

“Mereka yang ditahan adalah sama ada anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG), Maute, atau Tentera Diraja Sulu (RSF).

“Sesetengah daripada mereka turut ditahan kerana melindungi militan,” kata Fuzi.

SIRI TANGKAPAN PERTAMA (SEMPORNA) – 11 MAC

Jelas beliau, siri pertama tangkapan dilakukan pada 11 Mac di Semporna membabitkan lima orang warga Filipina dan seorang lelaki Malaysia.

“Empat suspek terlibat dengan kumpulan pengganas Maute dalam serangan di (Bandar) Marawi, Filipina pada tahun 2017.

“Empat suspek itu juga melindungi anggota-anggota Maute yang lain dan juga militan dari Timur Tengah yang melarikan diri ke Sabah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, dua lagi suspek yang ditahan dalam siri tangkapan pertama merupakan anggota RSF yang bertanggungjawab dalam serangan di Lahad Datu dan Semporna pada tahun 2013.

“Kita juga mempercayai bahawa mereka sedang merekrut anggota baru dalam kalangan warga Filipina di Sabah,” tambah IGP.

SIRI TANGKAPAN KEDUA (TAMBUNAN) – 11 MAC

Siri tangkapan kedua yang bertempat di Tambunan pada hari yang sama (11 Mac), menyaksikan penahanan lima lelaki serta seorang wanita Filipina yang berusia di antara 24 dan 63 tahun.

Difahamkan, salah seorang lelaki yang ditahan adalah anggota ASG yang juga terlibat dalam pertempuran di Bandar Marawi dua tahun lalu.

“Dia telah melarikan diri ke Sabah pada bulan Disember tahun lalu untuk mengelak daripada ditangkap oleh pasukan keselamatan Filipina,” kata Fuzi.

Lima lagi yang ditangkap pula mempunyai kaitan dengan anggota-anggota ASG dan Maute di negeri Sabah.

SUSPEK PENGGANAS DITAHAN DI BAWAH SOSMA

Tangkapan terakhir membabitkan seorang lelaki Filipina berusia 39 tahun di Tambunan yang dipercayai menawarkan perlindungan kepada ASG dan Maute.

Sementara itu, Fuzi mendedahkan bahawa 10 warga Filipina lain yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang lengkap turut ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Dengan beberapa siri tangkapan terbaru ke atas elemen kumpulan-kumpulan pengganas yang berpangkalan di Filipina, beliau menjelaskan bahawa Cawangan Counter-Terrorisme yakin akan dapat menangkap saki-baki militan yang sedang bersembunyi di Sabah.

Suspek-suspek pengganas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Di bawah SOSMA, Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Individu yang ditangkap pula boleh ditahan selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan, dan polis juga boleh melanjutkan tempoh tahanan tidak lebih daripada 28 hari.

 

APAKAH YANG DIANGGAP ‘ANCAMAN’ DI BAWAH SOSMA?

Tujuan utama SOSMA diwujudkan adalah bagi membendung aktiviti seseorang individu atau kumpulan yang berniat untuk mengguling atau melemahkan negara.

Antara kegiatan yang dianggap sebagai ‘ancaman’ di bawah SOSMA adalah:

1. Menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu

2. Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

3. Memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya

 

 

Sumber: The Star, Astro Awani

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker